Kita semua maklum bahawa ibu bapa memainkan peranan amat kritikal dalam perkembangan awal kanak-kanak.

Penyelidikan mendapati bahawa penglibatan ibu bapa – termasuk menyediakan persekitaran rumah yang menyokong pembelajaran, menyampaikan jangkaan pendidikan, dan melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran di rumah – merupakan faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian akademik kanak-kanak.

Hakikat ini tidak boleh dipandang remeh atau dianggap sampingan.

Asuhan di rumah adalah tunjang utama yang membentuk asas keyakinan diri, rasa ingin tahu serta daya tahan anak-anak dalam menghadapi pelbagai cabaran apabila mereka dewasa kelak.

Penyelidikan jangka panjang menunjukkan bahawa kualiti persekitaran pembelajaran di rumah memainkan peranan yang lebih penting dalam perkembangan intelek dan sosial kanak-kanak berbanding pekerjaan, tahap pendidikan atau pendapatan ibu bapa.

Dapatan ini menggariskan satu mesej yang jelas: apa yang dilakukan oleh ibu bapa dalam membentuk pengalaman pembelajaran anak jauh lebih signifikan daripada latar belakang mereka, menegaskan bahawa pendidikan sememangnya bermula di rumah.

Namun demikian, sebagai seorang ayah, saya faham realiti kehidupan masa kini memperlihatkan ibu bapa berdepan dengan pelbagai cabaran yang adakalanya rumit dan kompleks.

Kekangan masa akibat tuntutan kerja, tekanan kewangan, keletihan emosi, kurang keyakinan dalam ilmu keibubapaan serta keterbatasan sumber sering menimbulkan ketegangan dalam institusi keluarga.

Keadaan ini, jika tidak ditangani dengan baik, boleh menjejas usaha membina sebuah keluarga yang kukuh – faktor utama yang diperlukan untuk memupuk anak-anak menjadi pelajar yang lebih berkeyakinan dan cemerlang.

Rumah, sekolah pertama anak

Daripada pengalaman saya sendiri, rumah sebenarnya adalah sekolah pertama anak-anak, dan kita sebagai ibu bapa adalah guru dan contoh teladan utama mereka, sebelum memasuki alam pendidikan formal.

Mewujudkan suasana pembelajaran yang positif tidak perlu rumit: cukup dengan rutin yang mudah, perbualan terbuka, dan kesediaan untuk belajar bersama anak-anak. Sedikit demi sedikit, amalan harian ini mampu memupuk keyakinan dan rasa ingin tahu mereka terhadap ilmu.

Cara kita sebagai ibu bapa berinteraksi, berkomunikasi, amalan disiplin harian, serta menguruskan tekanan emosi memberi kesan langsung kepada pencapaian akademik dan perkembangan tingkah laku anak-anak.

Selain apa yang ibu bapa lakukan, kajian juga menunjukkan bahawa cara ibu bapa mendidik anak membentuk suasana emosi untuk pembelajaran.

Didikan yang penyayang dan memberi ruang kepada anak untuk berdikari sering dikaitkan dengan pencapaian akademik yang lebih baik, manakala kawalan emosi atau disiplin yang terlalu keras boleh menjejaskan pencapaian anak.

Anak-anak yang dibesarkan dalam persekitaran yang stabil, penuh sokongan dan rangsangan positif membesar dengan keyakinan diri yang lebih kukuh serta keupayaan belajar yang lebih baik.

Apabila anak-anak rasa disokong dan selamat, mereka lebih cenderung untuk berkembang maju – bukan sahaja dalam pelajaran, bahkan dari segi emosi dan sosial.

Mulakan dengan kegiatan yang ringkas tetapi bermakna seperti berbual secara santai, bertanya pendapat anak, membaca bersama atau berkongsi cerita harian.

Walaupun ringkas, amalan-amalan ini memberi impak besar dalam memupuk kemahiran bahasa serta membuka ruang buat anak-anak untuk berani bersuara dan bertanya.

Ia bukan sekadar mengasah keyakinan diri dan minat ingin tahu, malah turut membina keupayaan mereka berkomunikasi secara sopan dan berfikir secara kritis.

Kanak-kanak yang menerima sokongan emosi dan rangsangan intelektual daripada ibu bapa terbukti menunjukkan prestasi akademik lebih baik dan lebih yakin menghadapi cabaran.

Sentiasa beri dorongan

Membesarkan anak-anak dengan kasih sayang yang tulus dan mengamalkan komunikasi yang jujur serta terbuka memang membawa perubahan besar.

Apabila kita sentiasa meluangkan masa untuk mendengar dan menghargai perasaan mereka, anak-anak akan rasa diri mereka dihormati dan difahami.

Mereka lebih mudah berkawan, lebih berani mencuba perkara baharu, dan lebih berdaya tahan apabila menghadapi kegagalan atau kesukaran.

Sikap ibu bapa yang mendorong, membimbing dan memberi ruang untuk belajar daripada kesilapan dan bukan menghukum secara berlebihan menjadi pemangkin untuk memupuk pelajar yang lebih berkeyakinan dan seimbang dari segi emosi.

Apa yang diperlukan bukan kesempurnaan dalam setiap aspek tetapi kehadiran yang konsisten dan sikap peduli terhadap apa yang anak kita lakukan.

Keprihatinan yang ditunjukkan melalui tindakan kecil tetapi berterusan seperti mendengar dengan penuh perhatian, memberi peluang, menawarkan kata-kata galakan dan meluangkan masa yang berkualiti – mampu membenihkan rasa yakin diri, motivasi dalaman serta sikap positif terhadap pembelajaran.

Dengan sokongan sebegini, anak-anak akan lebih berani dan tambahan menghadapi cabaran dan lebih yakin terhadap kebolehan diri mereka.

Wujudkan etika kehidupan, pekerjaan positif

Salah satu aspek kehidupan yang saya warisi daripada arwah ibu dan bapa saya ialah etika pekerjaan dan kehidupan yang sentiasa mereka tonjolkan.

Ibu bapa saya amat mementingkan adab, ketabahan serta nilai tanggungjawab dalam menjalani kehidupan seharian.

Mereka juga mempamerkan etika kehidupan dan pekerjaan yang positif seperti bekerja keras, berdisiplin dalam mengurus perbelanjaan harian serta memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa dalam melaksanakan tugas pekerjaan mereka.

Hari demi hari dan dekad demi dekad, nilai-nilai serta etika tersebut disemai dan akhirnya menjadi sebahagian daripada prinsip kehidupan saya.

Seperti pepatah Melayu yang sering diungkapkan, bagaimana acuan, begitulah kuihnya – pendedahan yang dibentuk ibu bapa akan mencorakkan kehidupan dan masa depan anak-anak kita.

Berikut adalah beberapa kegiatan mudah yang boleh ibu bapa amalkan untuk memupuk keyakinan dan minat belajar anak-anak kita:

– Membaca secara berkala: Luangkan masa membaca bersama anak setiap hari, walaupun hanya beberapa minit. Amalan ini bukan sahaja membina kemahiran bahasa, tetapi juga mengeratkan hubungan emosi antara ibu bapa dan anak.

– Berbual dan berbincang: Galakkan anak bertanya dan berkongsi pendapat mereka. Setiap soalan dan perbualan adalah peluang untuk mereka belajar dan berkembang.

– Mewujudkan rutin harian: Jadual tetap seperti waktu tidur, makan dan bermain memberi rasa selamat dan membantu anak membina disiplin dan kestabilan emosi.

– Pembelajaran berasaskan permainan: Permainan, sama ada moden atau tradisional seperti congkak dan batu seremban, adalah cara terbaik untuk anak belajar secara santai, membina kreativiti, keyakinan serta kemahiran sosial dan menyelesaikan masalah.

Usaha ‘sekampung’ dan sokongan berterusan

Sokongan berterusan daripada keluarga, sekolah dan masyarakat melalui usaha bersama atau pendekatan “sekampung” amat penting untuk memperkukuh persekitaran pembelajaran anak-anak dan membantu perkembangan akademik mereka secara menyeluruh.

Hal ini memerlukan komitmen bersama daripada masyarakat, institusi dan pemerintah agar keluarga mendapat sokongan sejak awal lagi.

Ibu bapa tidak perlu rasa segan atau bersalah untuk mendapatkan bantuan.

Sumber sokongan untuk keluarga tersedia luas di Singapura, oleh pemerintah dan badan bantu diri seperti Mendaki.

Program seperti ReadySetLearn (RSL) membantu memperkukuh persekitaran pembelajaran di rumah dengan memperkasakan ibu bapa dengan sumber-sumber yang praktikal.

Melalui RSL, ibu bapa dan anak-anak berpeluang mengikuti program khusus dalam Matematik, bahasa Inggeris dan Melayu yang direka untuk meningkatkan kemahiran asas serta membina keyakinan dalam kedua-dua bidang ini.

RSL menyediakan bahan latihan dan aktiviti interaktif yang boleh dilakukan bersama di rumah.

Dengan kaedah ini, ibu bapa bukan sahaja dapat memperkukuh kemahiran asas anak-anak, malah membantu membina keyakinan diri dan menanam minat belajar sejak usia kecil.

Selain itu, RSL menawarkan bengkel serta sesi perkongsian ilmu yang memberi peluang kepada ibu bapa memperoleh tips dan strategi daripada tenaga pengajar berpengalaman serta berkongsi pendapat dengan ibu bapa lain.

Dengan pendekatan holistik ini, setiap keluarga diberikan peluang menjadi pendidik utama di rumah dan membentuk asas pendidikan yang kukuh bagi anak-anak.

Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan permainan, sokongan komuniti serta bimbingan berterusan daripada Mendaki, RSL Roadshow membuka lebih banyak peluang kepada ibu bapa untuk menyokong perkembangan dan pembelajaran anak-anak mereka.

Program ini menjadi wadah tambahan untuk mendapatkan sokongan pendidikan awal anak-anak.

Dengan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan, sokongan daripada masyarakat dan bimbingan berterusan pihak Mendaki, RSL Roadshow menawarkan lebih banyak peluang kepada ibu bapa untuk membantu perkembangan serta pembelajaran anak-anak mereka.

Dengan penglibatan ibu bapa secara aktif, anak-anak mendapat sokongan moral dan akademik, sekali gus mengeratkan hubungan keluarga dan memupuk minat belajar yang berterusan.

Manfaat utama ialah ibu bapa menjadi lebih yakin membimbing anak, dan anak lebih mudah memahami serta mengaplikasikan pembelajaran dalam kehidupan seharian.

Usaha membina generasi masa depan yang berdaya tahan dan berakhlak mulia bukan tanggungjawab individu semata-mata, sebaliknya memerlukan semangat kerjasama dan sokongan berterusan daripada seluruh komuniti demi kesejahteraan keluarga dan kemajuan negara.

Penulis ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).