Sekitar 300,000 rakyat Singapura daripada Generasi Perintis (PG) akan menerima tokokan MediSave antara $300 dengan $1,200 pada Julai.
Secara keseluruhannya ini akan berjumlah lebih $160 juta, kata Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan media pada 16 Jun.
Tambah MOF, jumlah tokokan 2025 lebih tinggi daripada $250 hingga $900 yang mereka terima pada 2024, menyusuli semakan ke atas MediShield Hayat.
Tokokan tersebut boleh digunakan untuk membayar premium bagi MediShield Hayat, CareShield Hayat, ElderShield dan pelan insurans lain yang diluluskan MediSave, serta perbelanjaan perubatan seperti kos masuk hospital, prosedur pembedahan siang hari dan rawatan pesakit luar tertentu.
Ia akan diberikan sebagai tambahan kepada baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahunan bagi warga Singapura yang berusia 65 tahun dan ke atas, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Rakyat Singapura yang dilahirkan antara 1945 dengan 1949 akan mendapat $300, dan mereka yang lahir antara 1940 dengan 1944 akan mendapat $500.
Mereka yang dilahirkan antara 1935 dan 1939 akan menerima $700, manakala mereka yang dilahirkan pada 1934 atau lebih awal akan mendapat $1,200.
Sementara itu warga emas PG yang lebih tua, yang dilahirkan pada 1939 dan sebelumnya, serta menghidapi keadaan perubatan prawujud yang serius akan menerima tokokan tambahan sebanyak $50 atau $200 bagi membantu membayar premium MediSave Hayat mereka yang lebih tinggi.
Menurut MOF, mereka yang lahir lebih awal boleh menjangkakan jumlah tambah nilai MediSave yang lebih tinggi kerana mereka lazimnya mempunyai simpanan yang kurang sedikit berbanding anggota PG yang lebih muda.
MOF menambah bahawa anggota PG tersebut mungkin memerlukan lebih banyak bantuan untuk membayar premium tahunan MediShield Hayat mereka.
Tokokan tersebut akan dimasukkan ke dalam Akaun MediSave Tabung Simpanan Pekerja (CPF) anggota PG yang layak secara automatik.
Pakej PG telah diperkenalkan pada 2014 bagi menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada kumpulan rakyat Singapura ini atas sumbangan mereka semasa tahun-tahun awal negara.
MOF memberi jaminan bahawa anggota PG yang lebih tua yang berusia 91 tahun dan ke atas juga akan terus menikmati premium MediShield Hayat mereka sepenuhnya, sementara anggota PG yang lebih muda akan mendapat perlindungan kira-kira dua pertiga daripada premium mereka.
Anggota PG yang telah mendaftar nombor telefon bimbit mereka dengan aplikasi SingPass sebelum 2 Jun akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) selewat-lewatnya pada 18 Jun yang memaklumkan jumlah tokokan yang mereka layak terima.
Anggota PG yang lain akan menerima surat pemberitahuan pada akhir Jun.
Untuk mengelakkan daripada penipuan, SMS akan memaklumkan kepada warga emas hanya mengenai faedah-faedah mereka dan tidak akan meminta jawapan atau sebarang maklumat.
Kata MOF, tiada mesej mengenai faedah PG akan dihantar melalui aplikasi WhatsApp atau wadah pesanan sedemikian yang lain.
Mereka yang mempunyai pertanyaan juga boleh menghubungi talian 1800-222-2888 atau 1800 - 650-6060 dan juga boleh mengirim e-mel kepada contactus@pioneers.gov.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg