Lebih 570,000 warga Singapura akan menerima bonus ‘Earn and Save’, antara $400 hingga $1,000 pada Mac.
Ini adalah pembayaran pertama daripada bonus tahunan yang diumumkan semasa Rapat Hari Kebangsaan 2023 sebagai sebahagian daripada Pakej Majulah bernilai $9 bilion.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata bonus ini akan memberi rangsangan tambahan kepada simpanan persaraan bagi warga emas yang bekerja, lapor The Straits Times (ST).
Warga Singapura yang lahir pada 1973 atau lebih awal akan menerima bonus ini jika memenuhi syarat berikut:
Bekerja dan mempunyai purata pendapatan bulanan antara $500 hingga $6,000 pada tahun penilaian sebelumnya; Tinggal di hartanah dengan nilai tahunan $31,000 ke bawah; Punyai tidak lebih dari satu hartanah.
Jumlah bonus yang lebih tinggi diberikan kepada mereka yang berpendapatan bulanan lebih rendah.
Mereka yang berpendapatan antara $500 hingga $2,500 akan menerima $1,000, sementara yang berpendapatan antara $2,500 hingga $3,500 akan menerima $700.
Warga emas yang berpendapatan lebih dari $3,500 hingga $6,000 akan menerima $400.
Pakej Majulah yang terdiri daripada tiga bahagian ini disasarkan kepada warga Singapura yang berusia 50-an hingga awal 60-an tahun, yang dikenali sebagai “warga emas muda”.
Kumpulan ini juga merangkumi mereka yang lebih muda daripada Generasi Merdeka (lahir antara 1950 hingga 1959) dan Generasi Perintis (lahir pada 1949 atau lebih awal).
Sekitar 1.6 juta warga Singapura yang layak menerima Bonus MediSave pada Disember 2024, dan sekitar 800,000 daripada kumpulan dengan usia yang sama menerima Bonus Simpanan Persaraan sekali-sekala dalam akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.
Bonus ‘Earn and Save’ akan dimasukkan secara automatik ke dalam akaun CPF penerima yang layak, kata MOM. Penerima akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada April selepas bonus tersebut dimasukkan.
Penerima yang tidak mempunyai nombor telefon berdaftar dengan Singpass akan diberitahu melalui surat yang dihantar ke alamat mereka.
MOM juga ingatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap penipuan. SMS yang dihantar dari “gov.sg” akan memberi maklumat tentang apa yang akan mereka terima, dan penerima tidak akan diminta untuk membalas SMS, menekan pada pautan yang diberi, atau memberi maklumat kepada penghantar.
Orang ramai boleh menyemak kelayakan mereka untuk bonus di laman web govbenefits dengan log masuk menggunakan Singpass.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg