Lelaki dipenjara atas kebakaran libatkan pengecas PMD tidak serasi, ragut nyawa tunang bapa saudara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dipenjara atas kebakaran libatkan pengecas PMD tidak serasi, ragut nyawa tunang bapa saudara

Jan 29, 2026 | 3:43 PM

Lelaki dipenjara atas kebakaran libatkan pengecas PMD tidak serasi, ragut nyawa tunang bapa saudara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kesan kebakaran yang terjadi pada 22 November 2022 yang meragut nyawa Cik Nuratiqah Zahari.
Kesan kebakaran yang terjadi pada 22 November 2022 yang meragut nyawa Cik Nuratiqah Zahari. - Foto FAIL

Seorang lelaki yang menggunakan pengecas bateri peranti mobiliti peribadi (PMD) yang tidak serasi, sehingga mencetuskan kebakaran yang mengorbankan tunang bapa saudaranya, telah dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan.

Tragedi yang berlaku pada 9 Mac 2022 di flat tiga bilik di Blok 27 New Upper Changi Road itu mengakibatkan kematian Cik Nuratiqah Zahari, 26 tahun.

Pada 28 Januari, Putra Nur Iman Muhammad Danial Zhang, 22 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan menyebabkan kematian dengan melakukan tindakan cuai.

Hakim Daerah Shen Wanqin berkata hukuman tersebut harus menjadi amaran jelas kepada masyarakat pengguna PMD, terutamanya pengguna muda, supaya tidak mengabaikan amalan pengecasan yang selamat.

Sambil menarik perhatian bahawa Putra tidak pernah melakukan pemeriksaan keselamatan asas atau bertanya tentang keserasian pengecas bateri tersebut, hakim berkata:

“Sikap sedemikian mencerminkan sikap tidak peduli yang berterusan terhadap risiko keselamatan dan kebajikan orang lain.”

Mahkamah diberitahu bahawa ketika kejadian, Putra merupakan seorang pelajar berusia 18 tahun yang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan.

Dia tinggal di flat tersebut bersama dua bapa saudaranya, datuknya, dan Cik Nuratiqah, bersama empat kanak-kanak lain termasuk bayi pasangan tersebut yang berusia satu tahun.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Hidayat Amir berkata apabila Putra berasa penat melakukan penghantaran menggunakan basikal kayuh, dia memutuskan untuk membeli sebuah e-skuter sebelum 6 Mac 2022 daripada seorang penjual yang tidak dikenali.

Putra menyedari e-skuter itu tidak didaftarkan dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan tidak memeriksa sama ada ia mematuhi peraturan. E-skuter tersebut tidak disertakan dengan bateri, namun penjual menunjukkan langkah-langkah untuk memasangnya.

Pada 6 Mac, Putra melihat bateri ganti yang disenaraikan pada harga $290 di laman jual beli Carousell. Pemilik terdahulu memutuskan untuk menjual bateri tersebut kerana menyedari ia berisiko mengalami kerosakan.

Putra hanya bertanya jika bateri itu disertakan dengan pengecas, tetapi tidak bertanya jenis pengecas yang sesuai apabila diberitahu ia dijual tanpa pengecas. Dia membeli bateri itu semata-mata kerana ia adalah pilihan yang paling murah di Carousell.

Bapa saudara dan Cik Nuratiqah pernah memarahi Putra kerana membeli e-skuter yang tidak berdaftar, namun DPP Hidayat berkata teguran tersebut tidak memberi kesan.

Pinjam pengecas daripada rakan

Pada hari kebakaran, Putra memutuskan untuk mengecas bateri menggunakan pengecas yang dipinjam daripada seorang rakan. Pengecas itu tidak berdaftar dan tidak mempunyai tanda keselamatan.

Putra tidak tahu sama ada pengecas itu serasi, dan dia juga tidak bertanya kepada rakannya tentang perkara itu.

Selepas memasang pengecas pada soket sambungan – yang sudah disambungkan kepada kipas dan pengecas telefon bimbit, Putra menyambungkan pengecas tersebut ke bateri sebelum masuk ke bilik tidurnya. Pada masa itu, kededua bapa saudara Putra dan Cik Nuratiqah berada di dalam flat, dan bayi itu berada di luar flat dalam sebuah kereta sorong.

Sekitar jam 1 tengah hari, salah seorang bapa saudara Putra terhidu bau asap dan melihat bateri tersebut terbakar dan menjerit meminta ahli keluarga keluar dari flat. Bapa saudaranya berjaya melarikan diri bersama bayi tersebut, namun Putra dan pasangan tunang itu terperangkap di dalam. Sebanyak 30 panggilan polis dibuat mengenai kebakaran itu.

Empat orang dibawa ke hospital: Putra, pasangan tersebut, dan seorang jiran. Cik Nuratiqah didapati tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di hospital sekitar jam 2.30 petang akibat terhidu produk pembakaran dan mengalami lecur 10 peratus pada badannya.

Keluarga tersebut terpaksa membelanjakan $22,000 untuk kos pembaikan dan tinggal di kediaman sewa sementara selama lapan bulan.

Dalam rayuannya, Putra berkata dia telah melakukan kesilapan yang bodoh dan jahil.

“Saya masih muda ketika itu dan... tidak berfikir dengan betul. Tetapi saya berasa kesal atas kematian tersebut... dan saya mengalami trauma sehingga menjauhkan diri daripada apa-apa yang berkaitan dengan elektrik,” katanya.

Hakim Shen menegaskan bahawa usaha mencari jalan pintas dan penjimatan kos dalam penggunaan PMD boleh membawa kesan buruk kepada orang awam yang tidak bersalah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg