Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LTA rampas 30 alat mobiliti dalam operasi seluruh negara

Nov 20, 2025 | 8:01 PM
Alat Mobiliti Aktif (AMD)  yang tidak mematuhi piawaian dirampas oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan dimuatkan ke dalam trak tunda di Yishun pada 20 November.
Alat Mobiliti Aktif (AMD) yang tidak mematuhi piawaian dirampas oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan dimuatkan ke dalam trak tunda di Yishun pada 20 November. - Foto ST

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah merampas 30 Alat Mobiliti Aktif (AMD) dalam satu operasi penguatkuasaan seluruh negara, susulan peningkatan kes kebakaran melibatkan alat sedemikian di kawasan perumahan.

Operasi selama tiga hari itu menyasarkan estet kediaman Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), lapor The Straits Times (ST).

Pegawai penguat kuasa LTA turut mendekati pemilik AMD untuk menjelaskan bahaya memiliki dan menggunakan AMD yang tidak mematuhi peraturan keselamatan, kata Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng.

Bercakap pada media di akhir operasi yang dijalankan di Yishun pada 20 November, beliau berkata LTA sedang mempertimbangkan tindakan lebih tegas terhadap penyimpanan, penggunaan dan penjualan AMD yang tidak mematuhi peraturan keselamatan.

Dari Januari hingga Oktober 2025, terdapat 44 kes kebakaran melibatkan AMD.

Pada 2024, jumlah kes kebakaran melibatkan AMD meningkat kepada 67, berbanding 55 kes pada 2023; dan 42 kes pada 2022. Terdapat 63 kes pada 2021; dan 68 kes pada 2020.

Sebahagian besar daripada 30 AMD yang dirampas telah diubah suai secara haram, kata Encik Baey.

LTA berkata siasatan akan dijalankan bagi menentukan tahap pelanggaran dan hukuman yang akan dikenakan mengikut undang-undang.

Antara pengubahsuaian haram yang lazim dibuat termasuk menukar bateri dan motor elektrik kepada komponen bukan asli, sekali gus membatalkan pensijilan keselamatan dan meningkatkan risiko kebakaran.

Lebih 700 AMD yang tidak mematuhi peraturan keselamatan telah dirampas dari Januari hingga Oktober 2025, kata LTA.

“Pemilik AMD yang tidak mematuhi peraturan keselamatan bukan sahaja membahayakan keluarga mereka, bahkan juga jiran-jiran mereka,” ujar Encik Baey yang juga Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia).

Pada 5 November, satu kebakaran yang berkaitan dengan Alat Mobiliti Peribadi (PMD) berlaku di Blok 475B, Yishun Street 44, sekitar 2.30 pagi, menyebabkan sekitar 40 orang dipindahkan dan empat dibawa ke hospital.

Ia berlaku kurang empat jam selepas kebakaran lain melibatkan PMD di Ang Mo Kio Avenue 4, lewat 4 November.

Dalam satu hantaran Facebook pada 30 Oktober, LTA berkata ia telah menyerbu sebuah peruncit di Yishun yang didakwa menambah bateri pada PMD.

Dalam operasi itu, tiga AMD yang tidak mematuhi peraturan keselamatan turut dirampas dan siasatan sedang dijalankan.

“Pengubahsuaian sebegini membahayakan pengguna dan orang awam,” kata LTA.

Dari Januari 2020 hingga Ogos 2025, lebih 100 kesalahan oleh peruncit telah dikesan.

Basikal elektrik atau e-basikal, PMD seperti skuter elektrik, serta Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA) seperti kerusi roda bermotor dan skuter mobiliti, semuanya tergolong dalam kategori AMD.

PMA direka khusus untuk individu yang tidak mampu berjalan atau menghadapi kesukaran bergerak.

LTA menggesa orang ramai supaya membeli hanya AMD daripada sumber dipercayai serta memeriksa kekurangan atau pengubahsuaian apabila membeli alat terpakai.

“Membeli komponen bukan asli mungkin lebih murah hari ini, tetapi boleh membawa padah kepada anda dan keluarga esok,” kata Encik Baey.

Setiap AMD diwajibkan memenuhi piawaian keselamatan UL2272 bagi PMD bermotor dan EN15194 bagi e-basikal.

Hanya AMD yang lulus ujian keselamatan boleh diimport dan digunakan di Singapura.

LTA bekerjasama dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Kastam Singapura untuk mengekang kemasukan AMD yang tidak mematuhi peraturan keselamatan.

Mereka turut bekerjasama untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang membawa masuk AMD tanpa kelulusan.

Mereka yang menggunakan AMD yang tidak mematuhi peraturan keselamatan boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara enam bulan, atau kededuanya.

Pesalah berulang boleh didenda sehingga $20,000 dan dipenjara sehingga setahun.

“Membeli komponen bukan asli mungkin lebih murah hari ini, tetapi boleh membawa padah kepada anda dan keluarga di belakang hari.”
Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Baey Yam Keng.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg