Masjid Salim Mattar rintis sistem derma masa nyata; kutipan lonjak 60%
Masjid Salim Mattar rintis sistem derma masa nyata; kutipan lonjak 60%
Masjid Sallim Mattar memperkenalkan sistem paparan derma digital secara masa nyata pada Ramadan ini, satu inovasi yang berjaya melonjakkan kutipan dana masjid sebanyak 60 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.
Data terbaru menunjukkan kutipan derma bagi tempoh awal tahun hingga 5 Ramadan tahun ini mencecah $5,200, berbanding $3,200 bagi tempoh yang sama pada 2025.
Melalui sistem yang dibangunkan oleh syarikat ISGN Ventures, sumbangan jemaah melalui kod QR akan dipaparkan di skrin televisyen bersaiz 75 inci di bahagian luar dan dua televisyen 55 inci ditempatkan di ruang solat.
Sistem ini menggantikan kaedah slaid PowerPoint yang sebelum ini memerlukan pemantauan harian di masjid yang terletak di Mattar Road itu.
Pengerusi Masjid Sallim Mattar, Encik Muhammad Sharul Abdul Latib, berkata langkah ke arah pendigitalan itu telah menarik minat jemaah untuk menyumbang dengan lebih aktif.
“Dulu kami gunakan papan kayu atau sepanduk yang perlu dikemas kini secara manual. Sekarang, bila jemaah lihat nama atau jumlah pada skrin berubah dalam beberapa saat selepas menderma, ia menarik minat mereka.
“Kami dapat lihat nombor itu naik, dan ia mendorong orang ramai untuk turut serta,” kata Encik Sharul kepada Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Inspirasi projek perintis ini bermula daripada lawatan pengarah bersama ISGN Ventures, Encik Fadzuli Wahab dan Encik Fazli Mansor, ke Perlis, Malaysia pada Julai 2025.
Mereka memerhatikan bagaimana sistem maklumat bersepadu di sana dapat mengurangkan beban kerja manual kakitangan masjid.
Walaupun konsep asal dari Perlis ialah seragam, sistem di Singapura direka secara modular bagi membolehkan setiap masjid menyesuaikan paparan mengikut identiti dan keperluan operasi masing-masing.
“Teknologi mampu mengurangkan beban operasi kakitangan masjid secara senyap tetapi berkesan, sambil meningkatkan pengalaman para jemaah. Saya merasakan pendekatan ini sangat sesuai untuk memberi manfaat kepada masjid-masjid di Singapura.
“Banyak masjid hari ini masih menggunakan slaid PowerPoint yang dipaparkan di skrin televisyen. Walaupun waktu solat dipaparkan, ia selalunya memerlukan kemas kini manual setiap hari oleh kakitangan masjid.
“Jika kakitangan bercuti atau tidak dapat hadir, maklumat tersebut mungkin tidak dikemas kini dengan tepat,” kata Encik Fadzuli apabila ditemu bual BH.
“Selain itu, infrastruktur digital di Singapura kini sangat kukuh, membolehkan paparan dikemas kini secara masa nyata dengan lebih stabil.
“Pada masa yang sama, jemaah juga semakin selesa menggunakan telefon bimbit untuk membuat sumbangan, menjadikan integrasi paparan digital dan derma mudah alih lebih praktikal dan mesra pengguna,” tambah Encik Fadzuli.
Dari aspek teknikal, penggunaan kod QR membolehkan setiap transaksi dihubungkan dengan nombor invois unik yang dipaparkan pada rujukan pembayaran.
Ini memudahkan pegawai kewangan mengesahkan pembayaran di bahagian belakang dengan lebih pantas sebelum jumlah terkini dipaparkan di skrin setiap 10 saat.
Menurut Encik Fadzuli, sistem ini mampu menjimatkan ratusan jam kerja pentadbiran yang sebelum ini digunakan untuk menyemak akaun secara manual.
Kos pemasangan modul waktu solat bermula dari $500, dengan yuran tahunan antara $50 hingga $100 bagi penyelenggaraan pangkalan data.
Setakat ini, enam buah masjid termasuk Masjid Darul Makmur, Masjid Abdul Razak, Masjid Aleem Siddique, Masjid Mydin dan Masjid Al-Muttaqin telah melaksanakan modul waktu solat digital.
Namun, hanya Masjid Sallim Mattar merupakan yang pertama mempelopori paparan skrin derma secara langsung.
Inisiatif ini juga menyokong sasaran dana Ramadan masjid sebanyak $80,000 bagi membiayai program CERAH iaitu program penjagaan, pendampingan dan pemulihan bagi individu yang telah dipenjarakan.
Meskipun langkah untuk pendigitalan masjid itu canggih, Encik Sharul menambah bahawa aspek kerohanian tetap diutamakan.
“Kita perlu berhati-hati supaya paparan ini tidak terlalu berwarna-warni atau mengganggu jemaah seperti menonton televisyen di dalam dewan solat. Ia harus menjadi alat bantuan, bukan gangguan,” katanya lagi.
Bagi jemaah yang ingin mengekalkan kerahsiaan, sistem ini turut menyediakan pilihan nama “hamba Allah”.
Encik Sharul juga memerhatikan bahawa golongan jemaah warga emas kini semakin selesa dengan teknologi ini.
“Warga emas kita sekarang sudah mahir menggunakan perbankan telefon. Malah bagi urusan zakat, kita nampak mereka lebih selesa melakukan transaksi sendiri secara dalam talian,” ujar beliau.
Melihat ke hadapan, Encik Sharul berharap penggunaan teknologi ini dapat memastikan operasi masjid tetap mampan walaupun jumlah jemaah terus meningkat.
Beliau berhasrat agar kakitangan dapat dibantu dengan tugasan manual dan supaya tenaga kerja masjid dapat dialihkan sepenuhnya kepada khidmat masyarakat.
“Kita perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan teknologi seperti AI (kecerdasan buatan) dan pendigitalan untuk memastikan proses lebih cekap.
“Matlamat akhirnya adalah supaya kakitangan tidak lagi terbeban dengan tugas rutin, sebaliknya dapat memberi lebih tumpuan kepada jemaah,” tambahnya lagi.

