Fasa kedua kempen lengkapi keluarga dengan tabiat digital yang sihat
Fasa kedua kempen lengkapi keluarga dengan tabiat digital yang sihat
FDC Fasa 2 sediakan Kotak Sumber praktikal mengandungi empat set aktiviti, “misi” khas
Satu usaha baru untuk membantu rakyat Singapura mendakap dunia digital sebagai usaha sepanjang hayat serta melengkapkan keluarga dengan tabiat digital yang sihat telah dilancarkan pada 14 Februari.
Inisiatif ini merupakan lanjutan kepada Kempen Peranti Pertama (FDC) yang diperkenal pada 2024 oleh TOUCH Cyber Wellness, dan dilancarkan sempena Hari Internet Lebih Selamat yang jatuh pada 10 Februari.
FDC Fasa 2 pula menyediakan Kotak Sumber atau Resource Box praktikal yang mengandungi empat set kegiatan dan misi khas untuk menggantikan masa skrin dengan permainan bermakna bagi ibu bapa bersama anak.
Selain itu, siri animasi empat bahagian juga diperkenal sebagai pemula perbualan untuk membantu ibu bapa membincangkan topik keselamatan Internet yang sukar dengan cara yang lebih santai dan mudah difahami oleh kanak-kanak.
Bercakap di acara pelancaran kempen tersebut di Sekolah Rendah Keming di Bukit Batok East Avenue 6, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, akur akan cabaran besar yang dihadapi ibu bapa dalam mendidik anak zaman sekarang.
“Sebagai ibu bapa, kita sanggup melakukan apa sahaja demi memberikan yang terbaik untuk anak kita.
“Namun saya akur, membesarkan anak sekarang bukan mudah, malah sangat mencabar kerana ada banyak perkara untuk kita imbangi,” ujar Cik Rahayu.
Beliau juga menekankan bahawa teknologi harus dilihat secara positif namun terkawal.
“Teknologi tidak semuanya buruk. Ia adalah alat dan sebahagian daripada cara hidup anak-anak kita.
“Pada masa akan datang, mereka perlu mempelajari tentang teknologi,” katanya.
Bercakap tentang tujuan kempen tersebut, Cik Rahayu berkata:
“Kita juga mahu memastikan adanya perlindungan yang betul, adanya sokongan yang sewajarnya bagi ibu bapa mengajar nilai yang betul, supaya mereka dapat menggunakan alat ini dengan baik.
“Kita boleh membina ini sebagai satu ekosistem supaya terdapat lebih banyak sokongan untuk ibu bapa dalam masyarakat.”
Ketua pegawai transformasi Pusat Perkhidmatan Touch, Cik Anita Low-Lim, pula menjelaskan bahawa kempen ini menyasarkan cabaran utama di rumah iaitu penggunaan peranti digital dan masa skrin.
Cik Low-Lim berkata:
“Ibu bapa digalakkan membina tabiat digital yang sihat dengan rutin digital yang mudah... agar ia dapat memberi keluarga pemahaman yang sama untuk berbincang tentang kehidupan dalam talian.
“Selama lebih 20 tahun, TOUCH Cyber Wellness telah mendampingi ibu bapa dalam usaha merapatkan jurang digital dengan anak-anak mereka.
“Dengan sokongan daripada pemerintah dan rakan masyarakat, kami gembira dapat menyediakan sumber dan peralatan baru hari ini.
“Ia bertujuan menyokong ibu bapa dalam memperkukuh hubungan dengan anak-anak serta memupuk pengalaman pembelajaran bersama sambil melayari dunia digital secara bersama,” katanya lagi.
Acara itu dihadiri lebih 130 orang, termasuk ibu bapa dan anak-anak.
Antaranya ialah Cik Nursuhailah Abu Samat, 44 tahun, yang mendapati peralatan FDC Fasa 2 itu dapat membantu dirinya sebagai ibu.
“Sebelum ini saya perlu mencari peralatan sendiri di rumah untuk mencuba pendekatan keibubapaan. Tetapi kini, peralatan disediakan dengan arahan yang terperinci dan mudah diikuti,” kata ibu tiga anak berusia antara lapan dengan 14 tahun.
Beliau melihat kesan positif selepas mengehadkan masa skrin anak bongsunya yang berusia lapan tahun, dengan anaknya kini lebih cenderung bercerita dan mempunyai lebih banyak topik untuk berbual.
Fasa 1 yang dilancarkan pada 2024 berjaya menjangkau 15,000 keluarga melalui panduan menetapkan sempadan digital.

