Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura tambah 500 katil psikiatri akut jelang 2040

Sedia penjagaan untuk individu alami penyakit mental yang perlu pengawasan berterusan, intensif
Oct 10, 2025 | 7:01 PM
psikiatri akut, tambah katil, kesihatan mental
Katil psikiatri akut menyediakan penjagaan pesakit dalam jangka pendek untuk individu yang mengalami fasa akut penyakit mental yang memerlukan pengawasan berterusan dan penjagaan intensif.  - Foto ST

Menjelang 2040, Singapura akan menambah 500 katil psikiatri akut di hospital setempat sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan kapasiti penjagaan kesihatan mental, kata Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan, Dr Koh Poh Koon.

“Ini untuk memastikan walaupun populasi kita semakin menua, walaupun keperluan sokongan kesihatan mental semakin meningkat, kita mempunyai lebih banyak hospital penjagaan akut dengan katil yang tersedia dan lebih dekat dengan rumah pesakit,” kata Dr Koh.

Katil psikiatri akut menyediakan penjagaan pesakit dalam jangka pendek untuk individu yang mengalami fasa akut penyakit mental yang memerlukan pengawasan berterusan dan penjagaan intensif, lapor The Straits Times (ST).

Rawatan ini mungkin melibatkan pengurusan simptom teruk, seperti psikosis, pemikiran untuk bunuh diri atau masalah tingkah laku yang ekstrem.

Katil psikiatri akut tambahan ini akan ditambah di setiap kelompok penjagaan kesihatan Singapura.

Ini termasuk katil di Institut Kesihatan Mental (IMH) – satu-satunya hospital psikiatri akut tertiari di Singapura – serta di Hospital Alexandra (AH) yang sedang dibangunkan semula.

IMH akan terus mengendalikan kes kesihatan mental yang paling serius, terutamanya yang memerlukan penjagaan institusi jangka panjang, kerana ia menyediakan perkhidmatan dan kepakaran psikiatri yang lengkap, kata Dr Koh.

“Hospital lain akan mengendalikan lebih banyak penjagaan akut, iaitu pesakit dengan tekanan psikologi akut yang perlu dimasukkan ke wad sementara untuk pemulihan,” katanya.

Walaupun perkhidmatan pakar kesihatan mental pesakit luar tersedia di semua hospital akut, penjagaan psikiatri pesakit yang perlu dimasukkan ke dalam wad di hospital Singapura kini hanya tersedia di enam daripada 11 hospital awam.

Hospital-hospital tersebut ialah IMH, Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Hospital Universiti Nasional (NUH), Hospital Besar Changi (CGH), Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Besar Sengkang (SKH).

Setakat Februari 2024, terdapat hampir 1,000 katil psikiatri akut di hospital awam, dengan lebih 800 katil di IMH. 

Menjelang 2030, jumlah katil psikiatri akut akan meningkat kepada sekitar 1,070 katil, dengan kira-kira 70 katil ditambah di AH yang dibangunkan semula.

Dr Koh bercakap kepada ST dalam siri kesihatan tahunan ‘No Health Without Mental Health’ yang meningkatkan kesedaran dan perbincangan tentang sokongan kesihatan mental.

Kira-kira satu daripada tiga orang muda antara 15 hingga 35 tahun di Singapura melaporkan mengalami simptom kemurungan, kebimbangan dan/atau tekanan yang teruk atau sangat teruk, menurut kajian IMH pada 2024.

Kajian 2024 turut menunjukkan bilangan warga emas dengan demensia meningkat dari 51,934 pada 2013 kepada 73,918 pada 2023, berikutan peningkatan populasi dewasa. 

Angka ini dijangka terus meningkat seiring penuaan populasi Singapura.

Sementara itu, Dr Koh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu untuk Kesihatan Mental dan Kesejahteraan, menjelaskan pendekatan pencegahan yang sama seperti inisiatif SG Lebih Sihat, sedang diambil oleh Singapura untuk kesihatan mental supaya keperluan ditangani pada peringkat awal sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

Menurut beliau, sumber akan disalurkan ke arah membantu individu yang mempunyai sedikit atau bahkan, tiada gejala masalah kesihatan mental untuk kekal sihat.

“Kelebihan SG Lebih Sihat adalah dalam pencegahan dan itu mesti bermula dari usia muda.

“Untuk kesihatan mental, ia adalah sama,” kata Dr Koh.

SG Lebih Sihat menggalakkan warga Singapura dan penduduk tetap berusia 40 tahun ke atas untuk menguruskan kesihatan mereka, mencegah penyakit kronik dan menjalani gaya hidup yang lebih sihat.

Sistem penjagaan kesihatan mental Singapura beroperasi mengikut model penjagaan bertahap dengan empat peringkat, bergantung pada tahap simptom.

Misalnya, pada peringkat satu, individu sihat boleh meraih manfaat daripada galakan kesihatan mental dan sokongan rakan sebaya manakala pada peringkat dua, individu yang mempunyai simptom ringan boleh meraih manfaat daripada kaunseling dan pengurusan tekanan.

Pada peringkat tiga pula, mereka yang mempunyai simptom sederhana memerlukan psikoterapi dan rawatan perubatan sementara pada peringkat empat, mereka yang ada simptom teruk memerlukan penilaian psikiatri dan rawatan psikologi jangka panjang.

“Matlamatnya adalah untuk memindahkan intervensi ke peringkat satu dan dua, kerana jika tidak, kita akan kehabisan katil hospital dan klinik psikiatri,” kata Dr Koh.

Jika rakyat Singapura mengamalkan tabiat mental yang lebih sihat, mereka yang akan memerlukan sokongan intensif akan berkurangan, tambahnya.

“Ini untuk memastikan walaupun populasi kita semakin menua, walaupun keperluan sokongan kesihatan mental semakin meningkat, kita mempunyai lebih banyak hospital penjagaan akut dengan katil yang tersedia dan lebih dekat dengan rumah pesakit.”
Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan, Dr Koh Poh Koon.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg