Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tangani cabaran mental dengan sokongan agama

Kesihatan mental bukan sekadar isu peribadi, malah tanggungjawab diri, masyarakat
Oct 3, 2025 | 5:30 AM
mental health, kesihatan mental, depression
Kesihatan mental melibatkan kesejahteraan emosi, sosial dan rohani. Islam menekankan penjagaan jiwa melalui ibadah dan sokongan keluarga serta masyarakat. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Kesihatan mental kini semakin mendapat perhatian masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Singapura.

Jika dahulu ia sering dipandang remeh atau dianggap isu peribadi, hari ini semakin banyak pihak tampil memberi penekanan tentang kepentingannya.

Usaha meningkatkan kesedaran turut giat dijalankan, supaya masyarakat lebih memahami dan lebih peka dalam menyokong individu yang berdepan cabaran kesihatan mental.

Takrif kesihatan mental

Kesihatan mental merujuk kepada kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial seseorang.

Ia mempengaruhi cara kita berfikir, berasa dan bertindak, termasuk bagaimana kita menangani tekanan hidup, membuat keputusan, serta berinteraksi dengan orang lain.

Individu dengan kesihatan mental yang baik lazimnya mampu mengawal emosi dengan stabil, mengatasi tekanan hidup, menjalin hubungan sihat dengan orang lain, serta menyumbang secara produktif kepada masyarakat.

Penting difahami bahawa kesihatan mental bukan sekadar ketiadaan penyakit, tetapi keupayaan berfungsi dengan baik dari segi emosi dan sosial.

Dalam perspektif Islam, kesihatan mental bukan hanya menyentuh soal emosi, malah merangkumi kesejahteraan hati, akal dan roh.

Kaitannya erat dengan iman, akhlak, serta hubungan seseorang dengan Allah swt.

Konsep kesihatan mental dalam Islam

Antara konsep penting dalam Islam berkaitan kesihatan mental adalah:

1) ‘Qalbun Salim’ – hati yang bersih daripada penyakit rohani seperti hasad, riyak, dengki dan dendam.

2) ‘Tuma’ninah’ – ketenangan jiwa yang lahir daripada zikir dan tawakal. Seperti firman Allah swt dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28: “Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ (mengingati Allah) itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

3) Sabar dan Reda – kekuatan menghadapi ujian hidup dengan penuh keyakinan bahawa setiap dugaan ada hikmahnya.

4) ‘Tazkiyah An-Nafs’ – proses penyucian jiwa daripada sifat negatif yang boleh merosakkan diri.

Justeru, Islam mengajar bahawa kesihatan mental adalah sebahagian daripada amanah diri, dan menjaga jiwa merupakan bentuk ibadah.

Faktor jejas kesihatan mental

Dalam masyarakat moden, isu kesihatan mental semakin mendesak, termasuk dalam kalangan umat Islam.

Antara punca utama yang boleh menjejas kesihatan mental ialah:

1) Tekanan hidup yang tinggi – berpunca daripada kos sara hidup, beban kerja, hutang, perceraian, pendidikan dan suasana sosial yang menekan.

Ramai akhirnya berdepan keresahan dan kemurungan tanpa disedari.

2) Trauma dan pengalaman silam – seperti penderaan fizikal, emosi atau seksual, kehilangan insan tersayang, perceraian atau kegagalan besar.

Trauma yang tidak diurus boleh meninggalkan kesan berpanjangan.

3) Masalah hubungan dan persekitaran – konflik rumah tangga, tekanan daripada media sosial yang membandingkan diri dengan orang lain, kurang sokongan sosial, serta gaya hidup tidak sihat boleh mendorong seseorang kepada kemurungan.

Kesejahteraan jiwa dalam Islam

Islam sangat menekankan kesejahteraan jiwa, sebagaimana ditegaskan melalui pelbagai dalil Al-Quran dan hadis.

Sepertimana ayat 28 daripada Surah Ar-Ra’d menegaskan bahawa ketenangan hati dan jiwa adalah matlamat hidup seorang Muslim dan ia dapat dicapai melalui hubungan rohani yang kukuh dengan Allah swt.

Rasulullah saw juga sering berdoa memohon kesejahteraan jiwa:

“Ya Allah, berilah jiwaku ketakwaannya dan sucikanlah ia. Engkaulah sebaik-baik yang menyucikannya. Engkau pelindung dan penguasanya.” (HR Muslim).

Islam bukan hanya menekankan ibadah fizikal, malah ketenangan jiwa dan penjagaan emosi.

Kesejahteraan mental merupakan sebahagian daripada jalan menuju keredaan Allah swt dan syurga-Nya.

Islam tidak hanya menekankan ibadah zahir, malah kebersihan hati dan kesejahteraan emosi.

Manusia pasti akan diuji sepanjang hidup di dunia ini.

Seperti contoh Nabi saw yang pernah menghadapi tekanan dan kesedihan mendalam pada Tahun Dukacita, apabila Baginda kehilangan isteri tercinta, Sayidatina Khadijah, dan pak ciknya, Sayidina Abu Talib.

Kehilangan dua insan yang amat dekat dengan diri Baginda pada masa yang sama pastinya sangat berat.

Peristiwa itu menunjukkan bahawa kesedihan dan cabaran mental adalah sebahagian daripada ujian hidup, dan mengalami tekanan mental bukanlah tanda kelemahan iman.

Stigma kesihatan mental dalam masyarakat

Kajian tempatan menunjukkan ramai individu dengan masalah kesihatan mental di Singapura enggan mendapatkan rawatan profesional.

Kebimbangan terhadap stigma menyebabkan sesetengah daripada mereka takut dipandang serong oleh keluarga, rakan dan masyarakat.

Kita perlu memahami bahawa mencari bantuan adalah satu bentuk ikhtiar yang dituntut.

Walaupun masalah mental tidak kelihatan seperti kesakitan fizikal, ia tetap serius dan tidak boleh diabaikan.

Rawatan seperti kaunseling, terapi, atau ubat-ubatan perlu diterima sebagai sebahagian daripada penjagaan diri.

Sokongan Islam terhadap proses penyembuhan

Dalam Islam, doa, zikir dan solat berperanan sebagai terapi jiwa, membolehkan seseorang mencari ketenangan melalui hubungan dengan Allah swt.

Di samping itu, sokongan sosial daripada keluarga, masyarakat dan masjid memainkan peranan penting dalam proses penyembuhan.

Sebagai masyarakat Muslim, empati, tidak menghakimi dan menyediakan ruang selamat untuk mendengar luahan perasaan adalah sangat penting, tidak kira peringkat umur.

Masjid dan sekolah agama seharusnya menjadi tunjang sokongan, bukan sumber tekanan.

Dengan membuka ruang untuk bertanya dan berbincang mengenai kesihatan mental, serta mengadakan latihan kesedaran untuk guru dan ibu bapa, masyarakat dapat lebih memahami isu itu dan memberi sokongan berkesan.

Kesihatan mental yang terjaga adalah asas kepada ibadah dan akhlak yang bermutu.

Dengan memberi ruang dan sokongan, individu dapat menjalani proses penyembuhan tanpa perlu menderita dalam diam.

Islam menekankan penjagaan jiwa sama pentingnya seperti menjaga fizikal.

Maka, kita wajib menjaga diri sendiri dan peka terhadap orang di sekeliling.

Semoga dengan usaha yang lebih prihatin dan terbuka, umat Islam dapat menjadi lebih kuat dan sejahtera secara rohani.

Penulis ialah guru di Sekolah Ugama Radin Mas. Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Al-Quran daripada Universiti Mansoura, Mesir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg