Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kpod ancaman tersembunyi jejas generasi muda

Ketagihan turut merosak akal, anugerah besar Allah swt kepada manusia, kerana individu salah guna Kpod akan hilang kawalan diri
Aug 22, 2025 | 5:30 AM
Masa muda adalah anugerah yang amat berharga, satu fasa kehidupan tatkala tenaga, semangat dan peluang berada pada puncaknya. Kesihatan pula adalah rahmat yang tidak dapat diganti dengan harta atau pangkat. 
Masa muda adalah anugerah yang amat berharga, satu fasa kehidupan tatkala tenaga, semangat dan peluang berada pada puncaknya. Kesihatan pula adalah rahmat yang tidak dapat diganti dengan harta atau pangkat.  - Foto ISTOCKPHOTO

Sejak kebelakangan ini, fenomena penggunaan vape mengandungi etomidate – sejenis bahan terkawal – yang dikenali sebagai Kpod, semakin menular dalam kalangan belia di Singapura.

Apa yang pada mulanya bermula sebagai sekadar ‘cuba-cuba’ telah berubah menjadi masalah sosial dan kesihatan yang serius.

Seorang ibu berusia 56 tahun berkongsi pengalamannya dengan akhbar, Shin Min Daily News, pada Jun 2025 mengenai anak lelakinya yang berusia 27 tahun.

Sejak mula terjebak dengan Kpod pada Oktober 2024, kehidupan anaknya berubah dengan begitu ketara.

Dalam satu kejadian, anaknya cuba terjun dari tingkap ketika berada di bawah pengaruh Kpod.

“Dia mencakar leher saya semasa saya cuba menghalangnya,” singkap ibu itu, sambil merayu kepada ibu bapa lain agar lebih peka terhadap isu tersebut dan mengambil tindakan awal.

Kpod bukanlah vape biasa, tetapi ia mengandungi bahan yang mampu mengganggu fungsi mental dan menyebabkan ketagihan berpanjangan.

Ramai beranggapan Kpod sama seperti vape biasa tetapi hakikatnya, Kpod jauh lebih berbahaya.

Menurut Pengarah Sementara di Pusat bagi Perubatan Kualitatif, Sekolah Perubatan Duke-NUS, Profesor Madya Bibhas Chakraborty, Kpod boleh memberi kesan maut serta-merta, manakala vape atau rokok biasa lebih kepada risiko kesihatan jangka panjang akibat pendedahan berterusan.

Apa yang kerap bermula dengan niat ingin mencuba atau sekadar mengikut trend, boleh berkembang menjadi ketagihan harian.

Perspektif Islam: Usah hancurkan diri sendiri

Islam telah memberi panduan jelas tentang menjaga diri dan menghindari segala perkara yang membahayakan diri sendiri.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 195:

“Dan janganlah kamu campakkan dirimu ke dalam kebinasaan dengan tanganmu sendiri.”

Salah seorang ulama besar dari Arab Saudi, Sheikh As-Sa’di, mentafsirkan ayat itu dengan menjelaskan bahawa meletakkan diri dalam kebinasaan bermaksud melakukan perkara yang boleh merosakkan tubuh atau jiwa.

Tubuh kita adalah amanah daripada Allah swt.

Kita tidak memilikinya secara mutlak, sebaliknya kita dipertanggungjawabkan untuk menjaganya.

Bahkan antara tujuan utama Allah swt menurunkan syariat kepada manusia adalah untuk memelihara nyawa mereka daripada sebarang kemudaratan.

Baginda turut bersabda dalam sepotong hadis yang masyhur:

“Tidak boleh seseorang (melakukan) kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan.” (HR Ibn Majah).

Setiap kali seseorang menggunakan Kpod, bukan sahaja dia merosakkan kesihatannya sendiri, malah dia juga memberikan contoh buruk kepada orang lain.

Ketagihan itu turut merosakkan akal, iaitu anugerah besar daripada Allah swt kepada manusia, kerana seseorang yang menyalahgunakan Kpod pasti akan hilang kawalan diri akibat berada dalam keadaan berhalusinasi.

Rasulullah saw bersabda:

“Dua nikmat yang sering manusia lalai dan tertipu dengannya ialah kesihatan dan waktu lapang.” (HR Bukhari).

Hadis ini mengingatkan kita bahawa kesihatan dan masa lapang adalah dua nikmat yang kerap tidak dihargai oleh manusia.

Masa muda adalah anugerah yang amat berharga, satu fasa kehidupan tatkala tenaga, semangat dan peluang berada pada puncaknya.

Kesihatan pula adalah rahmat yang tidak dapat diganti dengan harta atau pangkat.

Ia tidak seharusnya diserahkan kepada sesuatu yang secara perlahan-lahan menghancurkan dan merosakkan, seperti penggunaan Kpod.

Setiap sedutan bukan sahaja memudaratkan paru-paru dan organ dalaman, bahkan juga secara perlahan merampas masa depan seseorang, selain menghapuskan keberkatan hidup yang Allah swt telah kurniakan.

Pengaruh rakan sebaya: Bijak pilih kawan

Rakan-rakan memainkan peranan besar dalam membentuk pilihan dan masa depan kita.

Seorang sahabat yang baik tidak akan menjerumuskan kita ke arah kebinasaan, sebaliknya akan mendorong kita ke arah kebaikan.

Ramai yang mula menyalahgunakan Kpod kerana terpengaruh dengan rakan sebaya yang cuba mempengaruhi mereka dengan alasan, “sekali cuba tidak mengapa”, atau bagi membolehkan diri relevan dalam kelompok sosial.

Ada pula yang menyembunyikan tabiat itu daripada pengetahuan ibu bapa.

Tidak kurang juga yang meremehkan bahaya Kpod dengan berkata “tak bahaya sangat pun” sambil mengejek rakan yang enggan mencuba.

Ramai ibu bapa beranggapan cara terbaik untuk mengelakkan anak-anak daripada terjebak dalam masalah seperti menyalahgunakan Kpod atau bergaul dengan rakan yang tidak baik adalah dengan mengawal sepenuhnya kehidupan mereka.

Namun, pendekatan itu bukanlah langkah yang terbaik dan kerap memberi kesan sebaliknya.

Ibu bapa perlu belajar untuk menjalin hubungan rapat dengan anak-anak sehingga mereka berasa tenang untuk berbicara.

Mereka perlu lebih banyak mendengar daripada sekadar memberi ceramah supaya anak-anak berasa selesa untuk berkongsi masalah peribadi mereka.

Mewujudkan suasana yang aman, walaupun kebenaran yang didengar itu menyakitkan, adalah jauh lebih baik daripada membina hubungan berasas ketakutan dan rahsia.

Begitu juga, ingatkanlah mereka untuk memilih sahabat yang mengingatkan kita kepada Allah swt, yang membantu menjaga kita daripada terjerumus dan melakukan perkara yang boleh membawa kemudaratan di dunia dan di akhirat.

Fikirkan orang lain: Ketagihan bukan masalah individu semata-mata

Ketagihan bukan sekadar masalah peribadi yang hanya menimpa individu yang terlibat.

Ia meninggalkan kesan mendalam kepada orang di sekeliling.

Setiap kali seseorang terjerumus dalam ketagihan, hati insan yang menyayanginya hancur melihat individu tersebut kian jauh daripada jalan selamat dan berada dalam keadaan yang tidak terurus.

Rakan-rakan yang pernah bergelak ketawa bersama mula kehilangan teman yang merekan kenal, digantikan dengan seseorang yang dikuasai oleh ketagihan.

Adik-adik yang menjadikan kita contoh pula keliru dan kecewa, bahkan mungkin mengikuti jejak yang sama kerana menyangka ia adalah sesuatu yang baik atau diterima.

Mengucapkan “ini hidup aku” atau memilih untuk menyembunyikan masalah hanya membuka ruang yang lebih luas kepada orang lain untuk ikut terjerumus dalam perangkap yang sama.

Masalah ketagihan turut memudaratkan mereka yang berada di sekeliling kerana trauma emosi yang perlu mereka tanggung dalam berdepan dengan keadaan sedemikian.

Ini di samping dilema untuk melaporkan seseorang yang mereka sayangi kepada pihak berkuasa dengan risiko mungkin tidak dapat berjumpa mereka lagi.

Maka, sebagai seorang Muslim, kita harus memikul amanah bukan sahaja untuk menjaga diri sendiri, bahkan juga untuk melindungi dan memberi teladan yang baik kepada orang di sekeliling.

Tanggungjawab ini merangkumi usaha untuk mencegah kemudaratan daripada disebarkan dan memastikan setiap pilihan kita hari ini tidak menghancurkan kehidupan mereka yang kita sayangi pada hari esok.

Artikel ini disumbang Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg