Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekitar 50 kes disyaki Kpod direkod di institusi kesihatan awam

Sep 4, 2025 | 5:28 PM
kpod, etomidate
Menyusuli penyenaraian etomidate sebagai dadah Kelas C, semua pengamal perubatan diwajibkan melaporkan penyalah guna yang disyaki kepada pihak berkuasa dalam tempoh tujuh hari. - Foto ST

Antara 9 Julai dengan 18 Ogos, institusi penjagaan kesihatan awam mencatat purata sekurang-kurangnya satu kes yang disyaki penggunaan Kpod setiap hari.

Dalam tempoh enam minggu itu, hampir 50 kes yang disyaki penggunaan Kpod, iaitu vape mengandungi etomidate, direkodkan oleh institusi tersebut.

Pada 3 September, sebagai menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), Kementerian Kesihatan (MOH) berkata kes-kes tersebut direkodkan dalam sistem perubatan elektronik atau dilaporkan kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sebagai kejadian buruk, atau ‘adverse events’.

Ia merujuk kepada kejadian apabila pesakit menunjukkan gejala berkaitan etomidate, seperti hilang koordinasi motor, kekeliruan, pening dan pertuturan tidak jelas.

Seorang jurucakap MOH berkata tindakan penguatkuasaan tidak akan diambil terhadap individu yang sebelum ini menggunakan vape, namun tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Beliau menambah, maklumat yang dikumpul akan digunakan untuk membentuk dasar mengenai penggunaan etomidate dalam vape.

Dalam satu surat pekeliling yang dihantar pada 9 Julai, MOH dan HSA memberitahu institusi penjagaan kesihatan awam supaya merekodkan semua kes yang disyaki atau disahkan sebagai penggunaan vape berkaitan etomidate.

Langkah itu diambil selepas pihak berkuasa mendapati peningkatan membimbangkan dalam bilangan vape yang mengandungi etomidate di Singapura, antara 2024 dengan 2025.

Surat itu ditujukan kepada jabatan kecemasan, pusat rawatan segera, jabatan psikiatri di institusi penjagaan kesihatan awam, serta Pusat Perkhidmatan Pengurusan Ketagihan Negara (Nams) di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Surat itu memaklumkan kepada pengamal perubatan supaya meminta pesakit menyerahkan peranti vape mereka dan mempertimbangkan untuk menjalani ujian air kencing.

Pihak berkuasa sedang mengkaji kesan mudarat dan potensi ketagihan penggunaan etomidate dalam vape melalui individu yang mendapatkan rawatan perubatan. 

Kajian itu akan menjadi asas bagi membentuk dan menyemak dasar, termasuk sama ada peraturan sedia ada perlu diperketat atau dipinda.

Etomidate ialah dadah yang sepatutnya disuntik ke dalam salur darah untuk memberi kesan pelali semasa prosedur perubatan dan bukan untuk disedut.

Penggunaan Kpod telah dikaitkan dengan beberapa kematian di Singapura, dengan etomidate dikesan dalam sampel darah dua individu yang terlibat dalam kemalangan maut di Punggol Road pada Mei.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata pada 20 Julai bahawa sepertiga daripada lebih 100 vape yang dirampas semasa operasi penguatkuasaan, mengandungi etomidate.

Pemerintah mengumumkan pada 28 Ogos bahawa etomidate akan disenaraikan sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah mulai 1 September.

MOH dan HSA mengeluarkan satu lagi surat pekeliling pada 29 Ogos, kali ini ditujukan kepada semua pengamal perubatan, termasuk mereka yang berkhidmat di peringkat swasta.

Surat itu menyatakan bahawa menyusuli penyenaraian etomidate sebagai dadah Kelas C, semua pengamal perubatan diwajibkan di bawah undang-undang melaporkan individu yang disyaki menyalahgunakan dadah tersebut kepada pihak berkuasa dalam tempoh tujuh hari.

Berbeza dengan individu yang tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan, mereka yang dilaporkan boleh disiasat dan didakwa.

Sebagai sebahagian daripada langkah lebih ketat untuk menangani penggunaan vape mulai 1 September, mereka yang mengimport Kpod kini boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat 15 kali. 

Mereka yang didapati menjual atau mengedarkan Kpod pula, berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan sebanyak lima kali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg