Topik diikuti
Pergi ke BHku32 pelaksana korban sudah terima bayaran balik kes korban tergendala
Usaha pembayaran balik hasil kerjasama MUIS dengan Case sejak Okt
32 pelaksana korban sudah terima bayaran balik kes korban tergendala
Seramai 32 daripada 123 pelaksana korban yang dirujuk kepada Persatuan Pengguna Singapura (Case) telah menerima bayaran balik mereka setakat 25 November.
Usaha pembayaran balik itu merupakan hasil kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bersama Case sejak Oktober lalu.
Ia khusus bagi membantu pelanggan yang terjejas ekoran gangguan ibadah korban menuntut baki bayaran balik daripada syarikat The Meat Brothers (TMB) pada Mei lalu.
Demikian dikongsi MUIS dan Case dalam satu kenyataan bersama pada 25 November.
Menurut kenyataan itu, pelaksana korban yang terjejas dan masih belum menerima bayaran balik serta belum menghubungi Case boleh menyerahkan butiran di laman web mereka.
Bagi mereka yang telah menyerahkan butiran, mereka tidak perlu menghantar permohonan berulang, tambah MUIS dan Case.
“Case akan meneliti setiap kes dan terus berhubung dengan TMB bagi memastikan baki bayaran balik dapat diselesaikan dengan segera,” kata MUIS dan Case.
Pegawai Case juga akan menghubungi para pengguna secara langsung mengenai perkembangan kes masing-masing.
Mereka yang terjejas turut digesa merujuk kepada Case, dan persatuan itu boleh membimbing penyediaan dokumen bagi memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Kecil (SCT).
Semasa musim korban 2026, TMB gagal membawa masuk sekurang-kurangnya 400 haiwan korban tepat pada masanya sempena Hari Raya Haji pada Mei lalu.
Ini ekoran kelewatan mendapat kelulusan permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (Escas) untuk membawa haiwan korban ke Singapura dari Australia.
Pada 23 Mei, TMB berkata ia menawarkan tiga pilihan alternatif kepada pelanggan yang terjejas.
Pelanggan diberi pilihan meneruskan ibadah korban, tetapi di Australia, dengan daging dihantar kepada mereka.
Bagi pilihan kedua, korban dilaksanakan di Medan, Indonesia, dengan daging yang disembelih kemudian diagihkan kepada asnaf serta masyarakat tempatan.
Pilihan ketiga melibatkan pemulangan bayaran sepenuhnya.
Pada 14 Jun, Berita Harian (BH) melaporkan bahawa sebanyak 300 bayaran balik masih tertunggak dan akan diproses menjelang hujung Ogos.
Namun, sehingga 8 Oktober, lebih 300 sohibul korban (individu yang melakukan ibadah korban) masih menunggu wang mereka dipulangkan oleh TMB, tanpa sebarang kepastian garis masa diberikan oleh TMB untuk mengembalikan bayaran sepenuhnya.
Lantas, MUIS telah mendapatkan kerjasama Case bagi membantu pelanggan yang terjejas, bermula dengan menyerahkan butiran 32 pelanggan terjejas yang pernah menghubungi MUIS dan masjid untuk mendapatkan wang mereka semula, kepada Case.
Ketika bertemu wartawan di taklimat Korban 2027 di Hab Islam Singapura di Braddell Road pada 25 November, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, memberi jaminan bahawa MUIS dan Case akan terus berusaha membantu mereka yang masih menantikan bayaran balik.
Memandangkan bayaran korban tempatan diterima secara langsung oleh TMB, syarikat itu kekal bertanggungjawab melaksanakan khidmat yang dijanjikan dan memulangkan wang pelanggan yang terjejas, kata Encik Zaqy.
“Tidak wajar bagi pihak MUIS menggunakan dana masyarakat bagi menanggung kewajipan kewangan sebuah syarikat swasta.
“Atas sebab inilah MUIS mendapatkan bantuan CASE untuk membantu sohibul korban menuntut bayaran balik daripada TMB,” kata Encik Zaqy.