Jawatankuasa yang menyelia operasi korban di Singapura akan dibentuk lebih awal bagi memastikan lebih banyak masa diperuntukkan untuk kelulusan kawal selia luar negara dan perancangan operasi bagi memastikan upacara korban tempatan berjalan dengan lancar.

Jawatankuasa Korban SalamSG 2027, yang akan dibentuk pada September, akan melibatkan masjid dan pengendali korban sekurang-kurangnya enam hingga lapan bulan sebelum Hari Raya Haji, yang dijadualkan jatuh pada Mei 2027.

Berucap di Parlimen pada 5 Ogos, Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan melaksanakan langkah-langkah konkrit demi memperkukuh model operasi semasa dan menyokong pengendali korban tempatan dengan lebih baik.

Ini termasuk memperkukuh pengawasan terhadap pengendali korban tempatan, terutamanya pengendali baharu, dan memperkenalkan keperluan kontrak dan operasi yang lebih kukuh, termasuk piawaian perkhidmatan, pelan kontingensi dan obligasi yang lebih jelas.

“Jawatankuasa SalamSG Korban 2027 akan dibentuk pada September untuk kita memberi tumpuan menambah baik proses korban ini,” kata Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan).

“Ini penting kerana kita bukan sahaja melanjutkan lagi persiapan kami, kita juga boleh melihat bagaimana kita dapat memperbaiki kontrak dan memperbaiki proses korban.”

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang difailkan oleh Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) yang telah bertanya sama ada MUIS akan mempertimbangkan menyemak semula model operasi perkhidmatan korban semasa di Singapura.

Cik Hazlina juga bertanya sama ada MUIS akan memperkenalkan rangka kerja pelesenan atau akreditasi untuk pengendali korban dan mewujudkan piawaian perkhidmatan yang perlu dipatuhi oleh pengendali tempatan.

Soalan beliau menyusuli kegenjotan yang dialami pengendali korban berlesen tempatan, The Meat Brothers (TMB), yang tidak dapat membawa masuk sekurang-kurangnya 400 haiwan korban tepat pada masanya untuk Hari Raya Haji pada Mei lalu.

Ini setelah permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (Escas) untuk membawa haiwan korban ke Singapura dari Australia diluluskan lewat.

Ia menyebabkan ibadah korban di tiga masjid, iaitu Masjid Al-Firdaus, Masjid Petempatan Melayu Sembawang dan Masjid Pusara Aman, tidak dapat diteruskan sepenuhnya, manakala sebahagian bekalan haiwan korban Masjid Jamae Chulia terjejas.

Susulan kejadian tersebut, Encik Zaqy, memberi jaminan bahawa MUIS telah menjalankan kajian menyeluruh terhadap insiden tersebut.

Beliau, yang baru sahaja mengambil alih sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam kira-kira dua minggu lalu pada 20 Julai, juga telah membincangkan dapatan dan pelan tindakan berkenaan kejadian itu dengan MUIS.

“MUIS akan terus memantau keberkesanan langkah-langkah di atas dan membuat penyesuaian selanjutnya jika perlu,” kata Encik Zaqy.

“Pemerintah akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, bagi memastikan anggota masyarakat Islam tempatan dapat melaksanakan ibadah korban mereka dengan yakin, sama ada di dalam atau di luar negara.”

Menjawab soalan tambahan oleh Cik Hazlina mengenai status pemulangan kembali bayaran kepada sohibul korban yang terjejas, Encik Zaqy berkata TMB telah memberi jaminan bahawa mereka akan cuba menyelesaikan semua pembayaran balik pada awal Ogos.

Semasa di Parlimen, Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) juga telah bertanya sama ada Muis akan mempertimbangkan menambah pampasan kepada sohibul korban yang terjejas akibat gangguan sebagai kriteria pelesenan masa hadapan.

Beliau juga bertanya sama ada Muis akan mempertimbangkan untuk mengutamakan pengendali korban yang mendapatkan ternakan dari negara selain Australia.

Dalam jawapannya, Encik Zaqy berkata: “Kita boleh mempertimbangkan tapi kita akan melihat bagaimana kita dapat merangkumnya dalam proses kita ataupun sama ada ia sesuai untuk keadaan kita hari ini.”