Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes haiwan korban tak sampai ke S’pura: Ramai masih menanti wang dipulangkan
Pengendali haiwan korban mohon diberi masa hingga akhir Ogos
Kebanyakan individu yang gagal melaksanakan korban di Singapura pada Mei apabila pengendali korban gagal menyediakan haiwan korban masih belum menerima pulangan wang seperti yang dijanjikan pengendali.
Beberapa individu tersebut memberitahu Berita Harian (BH) mereka masih menunggu wang mereka dikembalikan, walaupun belum ada yang berhasrat mengambil tindakan undang-undang.
Laporan Berita Harian (BH) pada 14 Jun, menyatakan pengendali korban, iaitu The Meat Brothers (TMB) sedang berusaha mengembalikan wang kepada pelanggan yang menempah haiwan korban pada awal Ogos.
Sekitar 400 pelanggan, yang berhasrat melaksanakan ibadah korban di Masjid Pusara Aman, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Al-Firdaus dan Al-Wehdah (Persatuan Arab) terjejas. Mengikut kiraan BH berdasarkan dokumen yang ditunjukkan kepada BH oleh TMB, hanya 18 pelanggan telah menerima bayaran balik daripada TMB.
Dipercayai secara keseluruhan, TMB perlu memulangkan bayaran lebih $190,000 kepada pelanggan yang terjejas.
Jurucakap TMB memberitahu BH ia masih menanti bayaran balik daripada rakan kongsi logistik sebelum dapat mengembalikan wang kepada pelanggan yang terjejas. Beliau berkata mereka berharap dapat mengembalikan bayaran kepada pelanggan pada hujung Ogos.
Beliau turut menunjukkan tangkap layar hantaran e-mel daripada rakan kongsi logistik tersebut bertarikh 14 Ogos, yang menyatakan ia “akan mengambil sekurang-kurangnya seminggu untuk menyempurnakan transaksi” bayaran balik.
BH telah menghubungi rakan kongsi logistik tersebut, Maskargo untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Masih ada yang belum menerima pulangan wang… dan kami jangkakan untuk menyelesaikan semua pulangan wang (kepada mereka yang belum menerimanya) pada hujung Ogos,” katanya.
Sementara itu, difahami, jumlah pelanggan yang terjejas juga lebih kecil berbanding yang dinyatakan oleh TMB sebelum ini.
Pada 14 Jun, BH melaporkan sekitar 800 pelanggan terjejas, berdasarkan jumlah yang diberikan oleh TMB. Namun, jurucakap TMB, pada 14 Ogos memberitahu BH jumlah tersebut lebih rendah. Dokumen yang merupakan rekod pelanggan dan haiwan korban tempahan yang ditunjukkan kepada BH oleh TMB juga menunjukkan jumlah lebih kecil, iaitu sekitar 400 pelanggan.
Daripada kumpulan ini, 18 telah menerima kembali wang yang dibayar kepada TMB.
Lagi 20 pelanggan pula memilih untuk melaksanakan korban di Medan, Indonesia, melalui rakan kongsi TMB, dan wang tempahan lebihan telah dipulangkan sepenuhnya kepada golongan ini.
Lagi 350 pelanggan masih menanti wang mereka dikembalikan yang dipercayai melebihi $190,000.
Pada 23 Mei, TMB berkata ia menawarkan tiga pilihan alternatif kepada pelanggan yang terjejas. Pelanggan diberi pilihan meneruskan ibadah korban, tetapi di Australia, dengan daging dihantar kepada mereka.
Bagi pilihan kedua, korban dilaksanakan di Medan, Indonesia, dengan daging yang disembelih kemudian diagihkan kepada asnaf serta masyarakat tempatan.
Pilihan ketiga melibatkan pemulangan bayaran sepenuhnya.
Beberapa pelanggan yang terjejas memberitahu BH mereka belum mendapat kemas kini daripada TMB sejak menerima e-mel pemberitahuan asal pada daripada TMB pada hujung Mei.
Justeru, ada yang merancang untuk meminta bantuan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Bercakap di Parlimen pada 5 Ogos, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata pelanggan yang terjejas dan mengalami sebarang masalah boleh menghubungi Muis supaya langkah seterusnya boleh diambil.
Beliau berkata demikian untuk menjawab soalan yang diajukan Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast). Cik Hazlina bertanya sama ada MUIS sedang mempertimbangkan bagi menyemak semula model operasi perkhidmatan korban di Singapura.
Operasi korban di Singapura yang dijalankan TMB mengalami kegenjotan setelah permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (Escas) untuk membawa haiwan korban ke Singapura dari Australia diluluskan lewat. Ini bermakna haiwan ternakan tidak dapat diimport ke Singapura sebelum Hari Raya Haji, iaitu pada 27 Mei.
Pada 21 Mei, BH melaporkan bahawa urusan, termasuk permohonan permit itu di Australia, dilaksanakan pembekal haiwan korban di sana iaitu Alqudsi Agri Group, manakala TMB menguruskan operasi dan dokumentasi di Singapura.
Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, merupakan antara pelanggan yang terjejas.
Ketika dihubungi, Encik Zhulkarnain berkata beliau telah menempah domba bagi ibadah korban di Masjid Al-Firdaus. Beliau telah menghantar borang memohon wang dipulangkan pada 28 Mei, tetapi masih belum menerima wang tersebut.
Setiap domba dari Australia dikenakan harga $655 oleh TMB.
Seorang lagi individu yang terjejas, Encik Muhammad Ssufy Sunardi, berkata beliau telah membuat bayaran bagi dua domba untuk khidmat akikah di Masjid Petempatan Melayu Sembawang. Akikah adalah penyembelihan kambing atau domba sebagai tanda syukur atas kelahiran anak.
Encik Ssufy memberitahu BH, beliau dimaklumkan oleh TMB pada 25 Mei bahawa khidmat yang dijanjikan terpaksa dibatalkan. Justeru, beliau memohon supaya wang dipulangkan menerusi borang yang diberikan sebelum tarikh yang dikenakan, iaitu pada 26 Mei.
Namun beliau masih belum dihubungi TMB, walaupun telah cuba menghubungi TMB menerusi nombor rasmi syarikat pada hujung Jun.
“Saya ada juga tunggu arahan seterusnya (daripada pihak TMB), tetapi saya pun pasrah,” kata Encik Ssufy.
Encik Muhammad Azuan Suid juga masih menunggu wang bayarannya dipulangkan TMB. Beliau telah memberi seekor domba untuk ibadah korban di Masijd Petempatan Melayu Sembawang.
Menurutnya, beliau belum mempertimbangkan untuk mengambil sebarang tindakan guaman buat masa ini. Namun, beliau berhasrat menghubungi MUIS berkenaan perkara tersebut.
Beliau berkata: “Dari 25 Mei hingga 12 Ogos, saya tidak menghubungi TMB kerana saya diberitahu bayaran balik akan dilakukan awal Ogos.”
Memberi respons mengenai ia kurang berkomunikasi dengan pelanggan yang terjejas sejak 25 Mei, jurucakap TMB berkata ia berhasrat menghubungi mereka ‘secepat mungkin untuk memberikan kemas kini’ tetapi tidak dapat berbuat demikian sebelum ini kerana sibuk dengan aturan logistik dan mengusahakan pulangan wang.
