Lebih $324 juta akan dibelanjakan bagi membiayai lebih 140 projek untuk menyegarkan prasarana bandar merentasi kawasan estet perumahan GRC Marine Parade-Braddell Heights dan SMC Mountbatten menjelang 2030.
Ini termasuk membina sebuah Taman Ikonik Berbilang Generasi baru yang sesuai untuk semua peringkat umur di MacPherson, taman permainan air dan sudut kecergasan baru di Marine Parade, dan tiga prasarana Sukan dalam Kejiranan (SIP) baru di Mounbatten, Geylang Serai dan Kembangan.
Bercakap pada pelancaran Pelan Induk Lima Tahun Bandar Marine Parade (2025-2030) pada 19 April, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata projek yang bakal dibangunkan itu adalah hasil maklum balas dan cadangan yang diberi oleh penduduk.
“Ini bukan sekadar senarai projek. Ia adalah visi bermatlamat yang dibentuk dan direka melalui maklum balas anda, dipandu oleh semua aspirasi kolektif dan perkongsian kita.
“Pada intinya, pelan induk ini adalah usaha kita bersama membina sebuah bandar yang akan sentiasa berkembang bersama anda, sebuah bandar di mana anak-anak kita, cucu-cucu kita boleh bermain, ketawa dan berinteraksi secara bebas...
“Di mana warga emas kita boleh hidup secara aktif, menua dengan aman, di mana semua keluarga kita, rakan-rakan kita merentas generasi, boleh menjadi lebih rapat,” kata Dr Tan, yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah AP GRC Marine Parade, Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman; serta AP MacPherson, Cik Tin Pei Ling, dan AP SMC Mountbatten, Encik Lim Biow Chuan.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang dipindahkan dari GRC Nee Soon untuk menyertai pasukan GRC Marine Parade-Braddell Heights baru-baru ini, turut dilihat di acara tersebut.
Turut hadir ialah dua muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) – pengarah pembangunan perniagaan, Cik Diana Pang, 51 tahun, dan peguam perkapalan Cik Gho Sze Kee, 46 tahun.
Dr Tan turut berkongsi bahawa lebih 134 projek kerja naik tarif telah selesai dijalankan dalam tempoh lima tahun sejak 2020 di Marine Parade, MacPherson dan Mounbatten.
“Selama bertahun-tahun, kami telah berada di lapangan, mendengar kebimbangan anda, bertemu anda di lapangan, mengadakan sesi dialog dan sesi sembang, dan melawat anda di rumah anda dan berjumpa dengan anda di banyak acara kemasyarakatan.
“Kami telah bekerjasama rapat dengan pegawai majlis bandaran, agensi rakan kongsi, serta sukarelawan akar umbi , tidak kira hujan atau cerah, meskipun semasa musim pandemik, kami sentiasa berkhidmat untuk anda,” kata Dr Tan.
Taman Ikonik Berbilang Generasi itu akan dibina berhampiran Blok 108 Aljunied Crescent di MacPherson, manakala Blok 267 Serangoon Ave 3 di Braddell Heights akan diubah menjadi sebuah hab sosial, dengan ruang belajar, kedai makan dan pasar basah yang diubah suai.
Taman permainan air tema pantai baru dengan zon flying fox juga akan dibina di bidang tanah kosong di sebelah Blok 57 Marine Terrace, bersebelahan stesen MRT Marine Terrace, kata Dr Tan.
Berdekatan Block 54 Marine Terrace, tempat di mana acara pelancaran Pelan Induk 5 Tahun itu diadakan, sebuah hab kecergasan dan acara baru, yang dilengkapi dengan peralatan senaman dan buaian baru serta sebuah pavilion untuk masyarakat berkumpul, juga akan dibina.
“Kami akan mempunyai empat kelab masyarakat baru di Marine Parade, Joo Chiat, Kembangan dan Mounbatten. Dan kami juga akan menjalankan program pembaharuan kejiranan (NRP) untuk penduduk di Sims Avenue dan Joo Chiat Road.
“Kami juga akan menambah lebih banyak laluan pejalan kaki berbumbung dan tempat turun penumpang atau ‘drop-off’. Jadi anda boleh menantikan ketersambungan yang lebih baik di seluruh bandar,” kata Dr Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg