Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muka baru PAP diperkenal di Marine Parade-Braddell Heights, Mountbatten

Fahmi Aliman dilihat kenalkan muka baru Diana Pang kepada penduduk di Marine Parade
Apr 19, 2025 | 1:48 PM
Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman (tengah) perkenalkan pengarah pembangunan perniagaan, Cik Diana Pang (kiri), kepada penduduk semasa melancarkan Pelan Induk Lima Tahun Bandar Marine Parade pada 19 April.
Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman (tengah) perkenalkan pengarah pembangunan perniagaan, Cik Diana Pang (kiri), kepada penduduk semasa melancarkan Pelan Induk Lima Tahun Bandar Marine Parade pada 19 April. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Penduduk Marine Parade-Braddell Heights dan Mountbatten, pada 19 April, diperkenalkan kepada dua muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bakal bertanding di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman dilihat memperkenalkan pengarah pembangunan perniagaan, Cik Diana Pang, 51 tahun, kepada penduduk semasa melancarkan Pelan Induk Lima Tahun Bandar Marine Parade pada 19 April.

Turut dilihat ialah Anggota Parlimen (AP) SMC Mountbatten, Encik Lim Biow Chuan, yang memperkenalkan peguam perkapalan Cik Gho Sze Kee, 46 tahun, kepada penduduk, di samping menghadiri acara tersebut.

Anggota Parlimen (AP) SMC Mountbatten, Encik Lim Biow Chuan (tiga dari kanan), yang memperkenalkan peguam perkapalan Cik Gho Sze Kee, 46 tahun (kanan) kepada penduduk semasa melancarkan Pelan Induk 5 Tahun Bandar Marine Parade pada 19 April.
Anggota Parlimen (AP) SMC Mountbatten, Encik Lim Biow Chuan (tiga dari kanan), yang memperkenalkan peguam perkapalan Cik Gho Sze Kee, 46 tahun (kanan) kepada penduduk semasa melancarkan Pelan Induk 5 Tahun Bandar Marine Parade pada 19 April. - Foto BM oleh ANWAR SALEH

Buat masa ini, barisan pasukan PAP yang bakal bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights dan SMC Mountbatten belum diumumkan secara rasmi.

Namun kehadiran dua muka baru itu dan cara mereka diperkenalkan kepada penduduk oleh AP-AP itu, bukan sahaja menguatkan desas-desus Cik Pang dan Cik Gho akan berkhidmat di Marine Parade-Braddell Heights dan Mountbatten, malah menimbulkan tanda tanya sama ada Encik Fahmi dan Encik Lim akan bertanding di kawasan undi tersebut pada GE2025.

Ini bermakna Cik Pang berkemungkinan menyertai pasukan lima anggota PAP yang diketuai Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; Cik Tin Pei Ling dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang baru-baru ini dipindahkan dari GRC Nee Soon.

Cik Gho juga berpotensi menggantikan Encik Lim di SMC Mountbatten.

Encik Lim menyertai politik pada 2006 dan telah berkhidmat sebagai AP SMC Mountbatten sejak 2011.

Cik Gho telah dilihat bersama Encik Lim sejak Ogos 2024, dan telah menemaninya ke pelbagai acara seperti sambutan Hari Kebangsaan bersama Pusat Penuaan Aktif Thye Hua Kwan dan Jawatankuasa Penuaan Aktif Mountbatten.

PAP telah menguasai GRC Marine Parade selama 37 tahun – sejak 1988 – apabila sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dibentuk.

Sejak 2011, dua parti pembangkang - Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Pekerja (WP) telah berusaha menambat hati pengundi di kawasan undi tersebut.

NSP, yang mula bertanding di Marine Parade pada GE2011, telah menyatakan hasrat untuk bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights pada GE2025. Ia meraih 43.36 peratus undi menentang pasukan PAP di GRC Marine Parade pada ketika itu

WP juga dijangka bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights pada GE2025, meskipun mereka belum mengumumkan hasrat dan barisan calon mereka.

Ini memandangkan beberapa aktivis WP seperti karyawan IT Encik Nathaniel Koh dan peguam Encik Fadli Fawzi telah dilihat membuat lawatan rumah ke rumah di kawasan undi itu.

Pada GE2015, pasukan WP yang bertanding di GRC Marine Parade buat kali pertama meraih 35.93 peratus undi, berbanding PAP yang mendapat 64.07 peratus undi.

Pada GE2020 yang diadakan di tengah-tengah pandemik, WP meraih lebih banyak undi – 42.26 peratus – berbanding pasukan PAP yang meraih 57.74 peratus undi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg