Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal ke Marine Parade-Braddell Heights 

Apr 12, 2025 | 5:39 PM
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) dan Dr Tan See Leng beramah-tamah bersama penduduk semasa sebuah karnival anjuran Rangkaian Penduduk (RN) Eunos pada 12 April.
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) dan Dr Tan See Leng beramah-tamah bersama penduduk semasa sebuah karnival anjuran Rangkaian Penduduk (RN) Eunos pada 12 April. - Foto ST

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, bakal bertanding di kawasan Kembangan di GRC Marine Parade-Braddell Heights.

Ini dinyatakan Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, berhubung perubahan yang dapat dijangka dalam calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Pilihan Raya Umum 2025.

Dr Tan, menteri utama PAP bagi GRC Marine Parade, berkata demikian kepada media di sebuah acara masyarakat di Taman Koon Seng pada 12 April. Beliau turut memberitahu penduduk tentang rancangan menaik taraf kawasan perumahan privet di Joo Chiat.

Kembangan sebahagian daripada kawasan Kembangan-Chai Chee dalam GRC Marine Parade, yang sebelum ini diterajui mantan Speaker Parlimen yang juga Anggota Parlimen (AP) Marine Parade, Encik Tan Chuan-Jin.

Encik Tan meletak jawatan pada Julai 2023 apabila hubungan sulitnya dengan AP GRC Tampines ketika itu, Cik Cheng Li Hui, terdedah.

Di bawah semakan sempadan pilihan raya terkini, estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Chai Chee diserap ke dalam GRC East Coast.

Dr Faishal mengumumkan pada 11 April bahawa beliau akan meninggalkan GRC Nee Soon untuk menyertai pasukan PAP di GRC Marine Parade-Braddell Heights yang baru.

Menurut Dr Faishal, Perdana Menteri Lawrence Wong meminta beliau berpindah dan beliau bersetuju.

“Dr Faishal kembali ke tempat asalnya. Kami amat mengalu-alukan kepulangan beliau semula ke GRC Marine Parade,” kata Dr Tan pada 12 April.

Apabila beliau menceburi politik pada 2006, Dr Faishal, 56 tahun, menjadi anggota pasukan PAP di GRC Marine Parade sebelum berpindah ke GRC Nee Soon pada 2011.

Dr Faishal, yang menghadiri karnival anjuran Rangkaian Penduduk (RN) Eunos pada 12 April, berkata: “Ia kepulangan menyenangkan, dan saya telah ke Kembangan serta Ubi dan ramai penduduk mengenali saya dan berkongsi dengan saya pengalaman pertama mereka apabila mereka menemui saya pada 2006 dan bagaimana keadaan kini telah berubah.

“Setelah berkecimpung dalam politik bertahun-tahun, dan bertugas bersama enam kementerian, orang ramai mengenali anda dan tahu apa yang anda lakukan, bukan di Parlimen (saja), bahkan dalam pelbagai aspek pembangunan Singapura”.

Ditanya sama ada beliau menjangkakan pemindahan dari GRC Nee Soon ke GRC Marine Parade-Braddell Heights, Dr Faishal, berkata:

“Saya tidak menjangkakan (ini), tetapi apabila saya diminta kembali, ia adalah perkara mudah kerana saya telah bekerjasama dengan Menteri Tan (Dr Tan), Mayor (Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman), dan Menteri Edwin (Encik Edwin Tong).

Mengenai senarai calon PAP bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights, Dr Tan berkata ia belum diputuskan, dan muka baru seperti Cik Diana Pang diberi pendedahan di kawasan berbeza.

Cik Pang, 51 tahun, mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Wanita Fengshan dan Majlis Rangkaian Integrasi Wanita (WIN) Persatuan Rakyat (PA), di samping mengetuai daya usaha seperti Rangkaian Penjaga WIN. 

Kali pertama beliau diperkenalkan ialah semasa sesi interaksi bersama penduduk pada 30 Mac. Beliau berpengalaman 19 tahun dalam pembangunan perniagaan, audit, cukai dan penasihat perniagaan.

Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman (kanan), yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, serta wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Diana Pang, beramah mesra dengan penduduk di sebuah karnival anjuran Rangkaian Penduduk (RN) Eunos pada 12 April.
Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman (kanan), yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, serta wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Diana Pang, beramah mesra dengan penduduk di sebuah karnival anjuran Rangkaian Penduduk (RN) Eunos pada 12 April. - Foto ST

Dr Tan berkata: “Hari ini, ia tentang pendedahan. Apabila senarai calon sudah siap, kami tentu akan mengumumkannya kepada anda.”

Banyak bergantung pada apa yang berlaku menjelang pilihan raya, tambahnya.

Beliau berkata: “Hingga ke pusingan terakhir... kami masih melihat dan menilai sumbangan serta keserasian, dan bagaimana jalinan hubungan dengan penduduk.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg