LRT Bukit Panjang (BPLRT) akan memulakan semula perkhidmatan sepenuhnya dengan dua pusingan (loop) mulai 30 Disember.
Pada 16 Disember, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan di Facebook bahawa program pembaharuan BPLRT berjalan dengan baik, yang akan membolehkan perkhidmatan dua pusingan beroperasi sepenuhnya sepanjang hari semasa waktu operasi.
Perkhidmatan satu pusingan dilancarkan sejak 1 Disember 2019, dengan BPLRT hanya mengendalikan Perkhidmatan B dari stesen Choa Chu Kang ke Bukit Panjang, melalui stesen Petir, semasa waktu tidak sibuk bagi membolehkan kerja pembaharuan, yang bermula pada 2018.
Perkhidmatan A antara Choa Chu Kang dengan Bukit Panjang, melalui stesen Senja, hanya beroperasi semasa waktu sibuk pada hari bekerja, kecuali pada cuti umum.
Ia tidak beroperasi semasa waktu tidak sibuk, lapor The Straits Times.
Perkhidmatan dua pusingan pula disambung semula pada Mac setiap Sabtu, dari 11 pagi hingga 1 petang, dan 5 petang hingga 7 malam.
Pada Jun, perkhidmatan disambung semula pada waktu yang sama pada Ahad.
Sejak 28 September, terdapat perkhidmatan dua pusingan sepanjang hari pada hujung minggu dan cuti umum.
Dengan pengumuman terkini oleh LTA, BPLRT akan menyambung semula perkhidmatan dua pusingan sepanjang hari pada hari bekerja juga, mulai 30 Disember.
Namun, laluan itu akan terus ditutup sejam lebih awal, pada 10.30 malam, dari Khamis ke Ahad sehingga 31 Oktober 2025.
Penutupan awal itu, yang diumumkan pada 1 November, adalah untuk membolehkan peningkatan sistem isyarat BPLRT dan ujian kenderaan rel ringan baru dan yang telah dibaik pulih.
BPLRT kini dalam program pembaharuan yang disasarkan untuk disiapkan menjelang penghujung 2026.
Rangkaian yang berusia 25 tahun itu telah lama mempunyai masalah kebolehpercayaan, dengan kejadian terbaru berlaku pada 22 Oktober apabila khidmat LRT terhenti antara stesen Bukit Panjang dengan Choa Chu Kang semasa waktu sibuk sebelah petang.
Ujian intensif diperlukan untuk BPLRT menyepadukan sepenuhnya sistem isyarat dengan peralatan di sisi landasan, dan lebih banyak masa diperlukan untuk ujian di luar waktu kejuruteraan, iaitu tempoh selepas perkhidmatan penumpang tamat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg