Pihak berkuasa telah merampas 35.7 kilogram (kg) tanduk badak sumbu putih pada 8 November lalu, yang dianggar bernilai sekitar $1.13 juta.
Rampasan itu merupakan yang terbesar bagi spesimen tersebut di Singapura setakat ini.
Menurut Lembaga Taman Negara (NParks), siasatan awal mendapati bahawa penghantaran yang diseludup itu berasal dari Afrika Selatan dan dalam perjalanan ke Laos.
Selain tanduk badak sumbu, pihak berkuasa turut merampas 150kg bahagian haiwan lain, termasuk tulang, gigi dan kuku, yang kini sedang dianalisis atau dikaji untuk mengenal pasti spesies dan asal usulnya.
Siasatan masih dijalankan dan suspek masih belum dikenal pasti.
Kakitangan Penerimaan Kargo Sats, syarikat pengendali kargo udara, Encik Vengadeswaran Letchumanan, 30 tahun, sedang melakukan pemeriksaan rutin apabila beliau mengesan bau busuk yang mencurigakan dari empat unit kargo di Terminal Kargo Udara Sats di Lapangan Terbang Changi.
Curiga kerana bau tersebut tidak sepadan dengan kandungan yang diisytiharkan pada bil udara, dinyatakan sebagai kelengkapan perabot atau ‘furniture fittings’, beliau segera memaklumkan perkara itu kepada pengurus bertugas.
Beliau kemudian mengarahkan Perkhidmatan Keselamatan Sats supaya menjalankan pemeriksaan lebih terperinci.
“Apabila kami membuka kargo itu, saya terkejut dengan bau busuk seperti sesuatu yang telah mereput.
“Sepanjang tiga tahun bekerja di sini, saya tidak pernah melihat kejadian sebegini,” kata Encik Vengadeswaran semasa temu bual.
Setelah disahkan sebagai bahan seludup, Bahagian Polis Lapangan Terbang dan NParks dimaklumkan.
Pemeriksaan seterusnya mengesahkan empat unit kargo itu mengandungi 20 tanduk badak sumbu seberat 35.7kg, manakala bahagian haiwan lain mencecah 150kg.
Rampasan itu memecahkan rekod sebelum ini – iaitu rampasan tanduk badak sumbu seberat 34.7kg pada Oktober 2022.
Dalam taklimat media pada 18 November di lokasi yang tidak boleh didedahkan, NParks menekankan bahawa walaupun tanduk badak sumbu putih sering dikaitkan bagi “manfaat perubatan”, perdagangan hidupan liar haram membawa risiko besar kepada kesihatan awam dan haiwan, termasuk penularan penyakit.
NParks turut menyatakan bahawa hidupan liar yang asal usulnya tidak diketahui boleh membawa patogen berbahaya yang berisiko menjangkiti haiwan lain serta manusia.
Pengarah Kanan Perdagangan Hidupan Liar NParks berkata: “NParks menggunakan pendekatan dari pelbagai aspek dalam usaha membanteras perdagangan hidupan liar haram.
“Ini termasuk kerjasama dengan agensi seperti Sats untuk melakukan pemeriksaan di pintu masuk negara, serta latihan khusus bagi mengasah keupayaan mengesan penyeludupan.”
Di bawah Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport), mereka yang didapati bersalah memperdagangkan spesies yang dilindungi tanpa permit Konvensyen bagi Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Flora dan Fauna Liar yang Terancam (Cites) yang sah ketika transit melalui Singapura, boleh didenda sehingga $200,000 bagi setiap spesimen, dan/atau penjara sehingga lapan tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg