Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sats orak langkah agar Lapangan Terbang Changi lebih bijak

Antara rancangan termasuk manfaat kereta pandu sendiri, huraian AI
Oct 29, 2025 | 5:48 PM
Sats, AI, bijak
Syarikat pengendali darat dan katering penerbangan tersenarai Singapura, Sats, memperkenalkan visi masa depan melalui program, ‘Hub Handler of the Future’ (Pengendali Hab Masa Depan), yang diumumkan pada 29 Oktober. - Foto SATS

Pada masa akan datang, para penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Changi mungkin menyaksikan kenderaan pandu sendiri membawa pekerja dari satu lokasi ke lokasi lain.

Kenderaan autonomi (AV) pula akan menjalankan tugas di belakang tabir, memindahkan muatan bagasi dari terminal kargo udara ke terminal penumpang, dan seterusnya ke pesawat.

Sebuah platform yang dikuasakan dengan kecerdasan buatan (AI) pula menentukan cara paling cekap untuk menggerakkan AV serta pengendalinya, berdasarkan tugasan semasa dan jadual penerbangan.

Ini adalah sebahagian daripada visi yang diperkenalkan oleh syarikat pengendali darat dan katering penerbangan tersenarai di Singapura, Sats, melalui program Pengendali Hab Masa Depan atau ‘Hub Handler of the Future’, yang diumumkan pada 29 Oktober.

Ketua Eksekutif Sats Singapore Hub, Encik Henry Low, tidak memberi jangka masa untuk pelaksanaan program itu, tetapi berkata ia bertujuan memenuhi keperluan baru lapangan terbang yang direka untuk operasi penumpang dan kargo berkapasiti tinggi.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata) menjangkakan jumlah kargo udara sejagat akan mencapai 69 juta tan pada 2025 – meningkat sedikit berbanding 2024.

“Usaha berterusan kami untuk kecemerlangan dan pendekatan inovatif dalam operasi hab udara akan memajukan dan mempersiapkan ekosistem penerbangan Singapura untuk masa depan.

“Dengan menyepadukan teknologi canggih dan membangunkan bakat, kami akan menyokong pembinaan hab yang berdaya tahan, fleksibel dan mampan untuk kemudian hari,” kata Encik Low.

Beliau memberitahu akhbar The Straits Times (ST) bahawa ujian traktor bagasi autonomi bersama Changi Airport Group (CAG), yang telah dijalankan selama beberapa tahun, akan memasuki fasa baru pada 2026.

“Kami kini berada dalam fasa memajukan konsep operasi sedia ada, serta memikirkan cara menggabungkan AV dalam proses pekerjaan kami.

“Kami sudah mempunyai unit percubaan dan akan secara berperingkat meningkatkan bilangan AV yang digunakan,” kata Encik Low.

Mereka turut merancang menggunakan bas pandu sendiri bagi pekerja lapangan terbang menjelang akhir 2026, tambahnya.

Inisiatif yang dijalankan oleh CAG, Singapore Airlines Engineering Company dan Sats Airport Services itu telah berada dalam fasa percubaan sejak Julai 2024, lapor ST.

Ia bertujuan meningkatkan produktiviti tenaga kerja di lapangan terbang melalui automasi.

Rancangannya adalah untuk menggunakan bas autonomi di kawasan rusuk udara atau ‘airside’ – iaitu bahagian lapangan terbang di mana proses memuat dan memunggah pesawat serta pelepasan dan pendaratan dilakukan.

Ini bertujuan memastikan pekerja di sana tidak perlu melakukan tugas pemanduan rutin dan dapat menumpukan perhatian kepada peranan lebih rumit.

Pada Mei, Sats mengumumkan akan melabur lebih $250 juta untuk menaik taraf operasi darat dan prasarana pengendalian kargo di Lapangan Terbang Changi.

Lebih $150 juta daripada pelaburan itu akan digunakan untuk memperbaharui dan memperluas peralatan sokongan darat Sats di Singapura.

Encik Low berkata inisiatif AI Sats yang dikenali sebagai pengerahan ‘Flight to Task’, yang digunakan untuk menguruskan tenaga kerja dan sumber, turut menyaksikan peningkatan produktiviti sebanyak 15 peratus semasa fasa percubaan awal.

Platform itu telah mula digunakan secara berperingkat sejak April, dengan rancangan untuk digunakan secara sepenuhnya menjelang 2027.

Sats turut berhasrat membangunkan bakat masa depan melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi membangunkan modul penerbangan digital, pensijilan mikro, serta latihan kejuruteraan arahan AI.

Sats telah memperoleh pengendali kargo udara, Worldwide Flight Services, pada 2023.

Secara keseluruhan, kedua-dua syarikat itu mempunyai sekitar 55,000 pekerja di seluruh dunia, termasuk 10,000 di Hab Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg