Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

35 calon sudah isytihar belanja GE2025, tertinggi lebih $100,000

ELD terbit penyata di laman web, jumlah setakat ini $884,978
May 29, 2025 | 2:11 PM
ELD, GE2025
Di bawah undang-undang Singapura, calon pilihan raya wajib mengisytiharkan jumlah perbelanjaan mereka serta bagaimana wang tersebut dibelanjakan. - Foto fail

Seramai 35 calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada 3 Mei telah mengemukakan perbelanjaan pilihan raya mereka setakat ini, dengan jumlah keseluruhan mencecah $884,978.

Pada 28 Mei, penyata perbelanjaan mereka telah diterbitkan di laman web Jabatan Pilihan Raya (ELD).

Di bawah undang-undang Singapura, calon pilihan raya wajib mengisytiharkan jumlah perbelanjaan mereka serta bagaimana wang tersebut dibelanjakan, bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawapan dalam perbelanjaan kempen.

Calon GE2025 perlu berbuat demikian selewat-lewatnya pada 16 Jun.

Dalam kalangan calon yang telah mengemukakan perbelanjaan pilihan raya mereka, purata perbelanjaan setiap calon adalah sekitar $25,285. 

Namun, jumlah yang dibelanjakan berbeza-beza – ada yang tidak membelanjakan walau sesen, ada juga seorang calon membelanjakan lebih $100,000.

Mereka yang telah mengemukakan penyata mereka termasuk para calon daripada parti Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Kemajuan Singapura (PSP), Parti Perpaduan Nasional (NSP), Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Titik Merah Bersatu (RDU) dan Parti Rakyat Singapura (SPP).

Calon daripada Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan Perikatan Demokratik Singapura (SDA) – masing-masing satu calon – turut mengemukakan perbelanjaan mereka, bersama dua calon bebas – siswazah undang-undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Encik Darryl Lo, dan mantan ahli perniagaan, Encik Jeremy Tan.

Setakat ini, belum ada calon Parti Pekerja (WP) yang mengemukakan penyata perbelanjaan mereka.

Ini bermakna terdapat 176 calon yang sama ada belum menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya, atau penyata mereka belum diterbitkan dalam Warta Pemerintah.

Daripada kumpulan awal penyata yang diterima, PAP mencatatkan purata perbelanjaan tertinggi iaitu $77,751 bagi setiap calon, diikuti PSP sebanyak $32,303 dan NSP sebanyak $24,378. 

Di bahagian bawah senarai pula ialah RDU dengan $1,297 dan PAR dengan $898.

Tujuh calon mengisytiharkan bahawa mereka tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan bagi GE2025 – calon RDU, Encik Sharad Kumar, Encik David Foo dan Encik Pang Heng Chuan; calon SDP, Encik Alec Tok; calon SDA, Encik Harminder Pal Singh; serta calon SPP, Encik Lim Rui Xian dan Encik Muhammad Norhakim.

Sementara itu, calon bebas, Encik Tan, yang bertanding di Mountbatten, membelanjakan $16,075, manakala Encik Lo yang bertanding di Radin Mas, membelanjakan $12,213.

Setakat ini, calon PAP, Encik Goh Pei Ming, mencatatkan perbelanjaan tertinggi dengan jumlah $104,085. 

Encik Goh adalah sebahagian daripada pasukan PAP bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights yang menang tanpa bertanding pada Hari Penamaan Calon.

Pasukan itu secara keseluruhan membelanjakan sebanyak $388,756.

Satu-satunya pasukan penuh lain yang telah mengemukakan perbelanjaan ialah pasukan NSP untuk GRC Sembawang, dengan jumlah perbelanjaan sebanyak $121,888.

Seperti pilihan raya sebelum ini, lebih separuh daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan yang diisytiharkan – sebanyak $516,761 – digunakan untuk iklan fizikal, termasuk poster, sepanduk dan bendera.

Kos besar lain termasuk perbelanjaan untuk iklan pilihan raya dalam talian serta penganjuran rapat.

Orang ramai yang ingin menyemak perbelanjaan calon boleh berbuat demikian melalui perkhidmatan digital ELD menggunakan akaun Singpass mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg