Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

35 kes tingkap jatuh dalam 11 bulan pertama 2023

Dec 12, 2023 | 6:28 PM
BAIKI TINGKAP: Antara punca tingkap terjatuh ialah pasak aluminium yang terhakis dan lemah sehingga tidak dapat menahan panel tingkap berbingkai di tempatnya.
BAIKI TINGKAP: Antara punca tingkap terjatuh ialah pasak aluminium yang terhakis dan lemah sehingga tidak dapat menahan panel tingkap berbingkai di tempatnya. - Foto fail

Sebanyak 35 kes tingkap jatuh dilaporkan dalam tempoh 11 bulan pertama 2023, menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 12 Disember.

Kenyataan itu berkata lebih separuh daripada kes tersebut, atau 19 kes, melibatkan tingkap berbingkai.

Baki 15 kes melibatkan tingkap gelungsur, dengan satu kes membabitkan tingkap seperti jenis ‘louvre’. Tiada orang dilaporkan cedera dalam mana-mana kes tersebut.

Menurut penyiasatan BCA, punca utama tingkap berbingkai jatuh ialah disebabkan penghakisan dan kelemahan pada pasak aluminium, menyebabkan panel tingkap tidak kukuh.

Sejak 2004, BCA telah memberi mandat kepada pemilik rumah untuk menggantikan semua pasak aluminium dalam tingkap berbingkai kepada pasak yang diperbuat daripada keluli tahan karat.

Dalam pada itu, punca utama tingkap gelungsur jatuh ialah disebabkan kekurangan penyumbat keselamatan dan jalur sudut untuk mengekalkan panel tingkap gelungsur di atas trek.

Tanpa ciri keselamatan ini, tingkap gelungsur boleh tertanggal dan jatuh apabila seseorang itu memaksa untuk membuka atau menutupnya.

Pemilik rumah boleh didenda sehingga $5,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya jika didapati gagal menggantikan semua pasak aluminium pada tingkap mereka kepada pasak keluli tahan karat.

Jika tingkap jatuh disebabkan oleh kekurangan penyelenggaraan, pemilik rumah boleh dikenakan denda sehingga S$10,000, penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sejak 2006, seramai 406 individu telah didenda dan 94 individu telah didakwa kerana tingkap jatuh.

Pengarah Kumpulan BCA dan Pesuruhjaya Kawalan Bangunan, Encik Thanabal Kaliannan berkata:

“Tingkap yang jatuh adalah berbahaya kerana Singapura bukan sahaja mempunyai persekitaran binaan yang padat tetapi juga banyak bangunan tinggi.

“Serpihan kaca yang jatuh daripada ketinggian boleh menyebabkan kecederaan serius dan membawa akibat serius yang lain.”

BCA dan HDB menasihati pemilik dan penghuni rumah untuk memeriksa dan menyelenggara tingkap mereka sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.

Senarai kontraktor tingkap dan panduan penyelenggaraan tingkap yang diluluskan oleh BCA boleh didapati di laman berikut: https://go.gov.sg/windowsafety/ dan juga di http://www.hdb.gov.sg/window_safety.

“Tingkap yang jatuh adalah berbahaya kerana Singapura bukan sahaja mempunyai persekitaran binaan yang padat tetapi juga banyak bangunan tinggi. Serpihan kaca yang jatuh daripada ketinggian boleh menyebabkan kecederaan serius dan membawa akibat serius yang lain.”
Pengarah Kumpulan BCA dan Pesuruhjaya Kawalan Bangunan, Encik Thanabal Kaliannan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg