Sekitar 35 penunggang motosikal turun padang mengagihkan beriani bagi acara amal Persatuan Muhammadiyah pada 2 Ogos yang diadakan sempena Hari Kebangsaan SG60.
Inisiatif “Beriani Barakah” itu ialah sebahagian daripada usaha “SG60 Bersama” Muhammadiyah, yang bertujuan memupuk rasa ihsan terhadap golongan memerlukan dan semangat perpaduan menjelang Hari Kebangsaan Singapura yang ke-60.
Bagi kumpulan penunggang motosikal yang menggelar diri mereka Team Kerengga, yang kebanyakannya berasal dari latar belakang yang sederhana atau berpendapatan rendah, penglibatan dalam acara itu ialah cara yang bermakna untuk berbakti kepada masyarakat.
“Ia adalah sebahagian daripada program biasa keluarga penunggang motosikal kami, dan kami sentiasa mengalu-alukan peluang seperti pengagihan ini.
“Dari pihak kami, kami ingin menjadi sukarelawan sama ada dengan meluangkan masa atau mengumpul dana untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Ramai di antara kami juga datang daripada keluarga berpendapatan rendah, jadi kami memahami cabaran yang dihadapi orang lain,” kata anggota Team Kerengga, Encik Hazaan Omar, 50 tahun.
Kira-kira 400 bungkus nasi beriani telah diagihkan kepada 130 keluarga oleh kakitangan dan sukarelawan Persatuan Muhammadiyah, bersama penunggang motosikal.
Ia dibiayai oleh sumbangan orang ramai melalui Give Asia, Makan Chapter, dan penderma daging korban.
“Kami telah bekerjasama dengan beberapa kumpulan penunggang motosikal selama bertahun-tahun untuk acara amal seperti ini, dan mereka sentiasa menyokong.
“Salah seorang wakil mereka datang kepada kami semasa kami merancang acara ini,” kongsi Setiausaha Besar Persatuan Muhammadiyah, Cik Roszanah Abdul Salim.
Pengagihan kedua dijadualkan pada 10 Ogos dan akan memberi tumpuan kepada pekerja asing.
“Ini juga sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah menyumbang untuk membina Singapura. Apabila kami mempunyai kemampuan, kami akan melibatkan mereka dan menyumbang kepadanya, mereka juga sebahagian daripada masyarakat kami,” tambahnya.
Antara penerima bantuan pada 2 Ogos ialah Cik Siti Suriatini Abdul, 49 tahun, yang kakinya dipotong di atas lutut kirinya. Beliau juga seorang ibu tunggal, dan mangsa strok yang turut kehilangan penglihatan.
“Saya tidak sangka akan menerima hidangan beriani ini,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Muhammadiyah dan berharap persatuan itu dapat mendekati lebih ramai orang yang memerlukan bantuan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg