Akhbar Berita Harian (BH) bukan sekadar saluran penyampaian berita, bahkan kandungannya perlu bermutu tinggi, mampu merangsang pemikiran kritis, membina kefahaman mendalam dan mendidik pembaca.
Ini kerana BH dilihat sebagai satu-satunya akhbar berbahasa Melayu yang mencerminkan denyut nadi masyarakat, maka penting untuk ia menyampaikan suara pelbagai lapisan dalam masyarakat Melayu.
Memandang ke dekad seterusnya, BH perlu mengubah suai kepada perubahan landskap media digital – termasuk memperkukuh kehadiran di media sosial dan memanfaatkan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) – agar kekal relevan.
Demikian antara perkara yang dikongsi pemimpin masyarakat Melayu/Islam di sesi perbincangan kumpulan fokus (FGD) BH pada 23 Julai.
Sesi itu bertujuan mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada mereka untuk mengekal dan mempertingkatkan mutu pemberitaan BH menjelang 2027.
Ini kerana BH bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-70 pada Julai 2027.
Sesi di pejabat BH di bangunan SPH Media di Toa Payoh, disertai sekitar 20 pemimpin masyarakat.
Mengulas mengenai FGD itu, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata perbincangan itu mencerminkan iltizam BH untuk mendekati masyarakat dan mendapatkan maklum balas daripada pembaca dan audiens mengenai keinginan serta keperluan mereka.
“Maklum balas ini akan kami gunakan untuk membaiki mutu kandungan berita dan maklumat yang kami sajikan.
“Usaha ini diharap dapat menjadikan pembaca sebagai sebahagian daripada proses pembentukan kandungan.
“Kami percaya akhbar yang berkesan ialah akhbar yang lahir daripada suara dan denyut nadi masyarakat,” katanya.
Seorang peserta, Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, berkata perbincangan sedemikian memberi pemimpin dan penggerak masyarakat, yang akrab dengan isu semasa dan sentimen yang wujud di masyarakat, bertukar pendapat.
Beliau menyifatkan BH sebagai wadah penting untuk melaporkan, menerangkan dan memberi gambaran mengenai masyarakat Melayu Singapura, maka ia harus memberi ruang bagi perdebatan idea yang wujud di dalam masyarakat.
“Masyarakat Melayu semakin matang dan akur akan pertembungan pandangan yang sudah muncul di media sosial.
“BH dapat menjadi wadah yang boleh dipercayai untuk membahaskan isu-isu demi mencerdaskan dan membuka minda pembaca,” ujarnya.
Seorang lagi peserta, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim Alwee, berkata BH menjadi penggerak kepada literasi kebudayaan – seperti hal pemikiran, nilai, budaya, hubungan sosial, tradisi intelektualisme – yang sangat diperlukan dalam pembangunan masyarakat Melayu.
Dr Azhar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Persuratan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Timbalan Pengerusi MBMS, berkata:
Paling penting, (BH) menjadi suara bagi masyarakat Melayu dalam menyuarakan hasrat dan saranan mereka kepada masyarakat luar, negara mahupun kepimpinan kita.
“Ia juga mewakili pelbagai suara dalam masyarakat Melayu – baik daripada golongan senior, belia, agamawan, budayawan, pendidik, pengusaha dan kelompok yang lain.
“Menampung keragaman ini dalam sebuah surat khabar sangat diperlukan untuk menjadi surat khabar ulung dalam masyarakat kita,” ujarnya.
Sesi tersebut merupakan yang kedua daripada siri pendekatan yang diadakan BH untuk mendekati pembaca dan mendengar maklum balas mereka berhubung liputan dan kandungan lain.
Sebelum ini, BH telah menganjurkan satu sesi perbincangan kumpulan fokus (FGD) bersama sebilangan pembaca pada 19 Julai.
Ia bertujuan mengupas liputan berita mengenai ehwal semasa Malaysia untuk pembaca Singapura.
Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, yang turut menghadiri FGD pada 23 Julai berkata hubungan rapat dengan masyarakat amat penting bagi membantu BH merangka kandungan lebih relevan.
“Penting untuk kita kenal pasti apa yang diinginkan masyarakat dan apa yang boleh mendorong mereka terus menjadikan BH sebagai sumber utama berita mengenai masyarakat, tanpa perlu merujuk kepada sumber lain,” katanya.
Peguam yang juga pemilik firma guaman, A Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sarip, pula menyifatkan BH sebagai akhbar yang perlu mengekalkan kerelevanan memandangkan ia merupakan satu-satunya akhbar Melayu.
“Masyarakat Melayu perlu diyakinkan untuk menjadikan BH sebagai sumber utama yang relevan dan tidak berpihak bagi berita masyarakat dan bahasa Melayu.
“Memang tidak mudah memenuhi kehendak semua peringkat usia dan minat, namun hal ini membuka peluang untuk berkembang,” katanya, sambil menambah, tempoh 10 tahun seterusnya akan menjadi tempoh paling mencabar terutama dengan media cetak semakin berkurangan.
Untuk mengatasi isu tersebut, Encik Abdul Rohim menyarankan agar kehadiran digital diperkukuh, termasuk melalui pelaburan lebih besar dalam teknologi dan penggunaan AI.
Berkongsi pendapat, Pustakawan (Bahasa Melayu) Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Encik Herman Rothman, berkata:
“BH perlu memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap isu-isu penting yang mempengaruhi kehidupan kita, iaitu menawarkan huraian, merangsang perbincangan aktif dan sihat bagi membina masyarakat pembaca yang kritis, bijaksana, proaktif, bersifat ihsan, bangga terhadap bangsa, budaya, bahasa dan cintakan negara,” katanya.
Beliau menambah, BH boleh memperluas program sedia ada seperti bengkel kewartawanan agar alumni program tersebut boleh menyumbang kandungan pada masa depan.
“Jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Kementerian Pendidikan dan kumpulan pemikir dapat menjanakan lebih banyak kandungan bermutu, sentiasa diperlukan sekali gus meningkatkan kadar pengguna,” tambahnya.
“
“Maklum balas ini akan kami gunakan untuk membaiki mutu kandungan berita dan maklumat yang kami sajikan. Usaha ini diharap dapat menjadikan pembaca sebagai sebahagian daripada proses pembentukan kandungan. Kami percaya akhbar yang berkesan ialah akhbar yang lahir daripada suara dan denyut nadi masyarakat.”“
“Masyarakat Melayu semakin matang dan akur akan pertembungan pandangan yang sudah muncul di media sosial. BH dapat menjadi wadah yang boleh dipercayai untuk membahaskan isu-isu demi mencerdaskan dan membuka minda pembaca.”“
“Paling penting, (BH) menjadi suara bagi masyarakat Melayu dalam menyuarakan hasrat dan saranan mereka kepada masyarakat luar, negara mahupun kepimpinan kita. Ia juga mewakili pelbagai suara dalam masyarakat Melayu – baik daripada golongan senior, belia, agamawan, budayawan, pendidik, pengusaha dan kelompok yang lain. Menampung keragaman ini dalam sebuah surat khabar sangat diperlukan untuk menjadi surat khabar ulung dalam masyarakat kita.”“
“Masyarakat Melayu perlu diyakinkan untuk menjadikan BH sebagai sumber utama yang relevan dan tidak berpihak bagi berita masyarakat dan bahasa Melayu. Memang tidak mudah memenuhi kehendak semua peringkat usia dan minat, namun hal ini membuka peluang untuk berkembang.”“
“BH perlu memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap isu-isu penting yang mempengaruhi kehidupan kita, iaitu menawarkan huraian, merangsang perbincangan aktif dan sihat bagi membina masyarakat pembaca yang kritis, bijaksana, proaktif, bersifat ihsan, bangga terhadap bangsa, budaya, bahasa dan cintakan negara.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg