Masjid Darul Makmur di Yishun terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pembangunan ummah dengan menganjurkan Festival Masyarakat 2025 dan Forum Santunan Emas, yang berlangsung meriah pada 20 Julai.
Acara itu berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung secara fizikal dan lebih 10,000 tontonan dalam talian.
Ia disifatkan sebagai pencapaian yang mencerminkan sambutan hangat terhadap pendekatan masjid itu yang kontemporari, bersifat terangkum dan memberi tumpuan kepada masyarakat.
Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf, menjelaskan bahawa program seperti Forum Santunan Emas, sesi inspirasi ‘Jom Subuh’ bersama Ustaz Zahil Zakaria, dan perkongsian kisah kerohanian oleh penyanyi, Taufik Batisah, berupaya menarik perhatian ramai khususnya generasi muda.
“Acara itu dimulakan dengan solat subuh berjemaah yang dihadiri lebih 600 anggota jemaah, sebelum diteruskan dengan sesi inspirasi yang mengangkat nilai keimanan, keinsafan dan ketabahan dalam menempuh cabaran kehidupan.
“Festival itu menampilkan pelbagai segmen menarik yang meliputi aspek kerohanian, sosial, kesihatan dan keharmonian antara agama.
“Ia termasuk program ‘Home Coming’, atau ‘Kepulangan’, yang memperkukuh persefahaman antara kaum melalui lawatan ke rumah ibadah pelbagai agama di sekitar Yishun,” kata Encik Mohd Fairus.
Turut diadakan ialah ceramah kesihatan mental oleh ClubHEAL serta Program Penuaan Aktif anjuran Pusat Kesihatan dan Penjagaan Muhammadiyah (MHCC) bagi menyokong warga emas dalam mengekalkan gaya hidup sihat, aktif dan bermakna.
Reruai yang menghimpunkan rakan strategik, dan mengetengahkan makanan serta produk tempatan. menambah semarak acara itu, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi mikro dan semangat keusahawanan tempatan.
Kemuncak festival itu ialah Forum Santunan Emas: Fiqh Pesakit, yang berlangsung di dewan solat utama dari 10 pagi hingga 12 tengah hari.
Forum itu menampilkan tiga panelis tersohor – mantan Mufti, Ustaz Dr Mohd Fatris Bakaram, Ustaz Jazair Jummat dan Ustaz Saiful Adli – yang membincangkan topik penting berkaitan fiqah pesakit dan penjagaan warga emas.
Isu seperti solat dalam keadaan uzur, wuduk dan tayamum, penjagaan aurat, cabaran kesihatan mental serta tanggungjawab seorang penjaga disentuh secara mendalam dan penuh hikmah.
Forum itu bukan sahaja membuka ruang menimba ilmu, bahkan memberi kekuatan moral kepada penjaga dan keluarga dalam menyantuni earga emas.
– Kebangkitan semula masjid sebagai pusat masyarakat aktif dan responsif pascapandemik.
– Keberkesanan pendekatan hibrid dan digital, yang memungkinkan penyertaan lebih luas, termasuk mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal.
– Pengisian memberi tumpuan bermakna, khususnya yang menyentuh realiti kehidupan masyarakat seperti penjagaan ibu bapa dan isu kesihatan.
– Peningkatan kepercayaan masyarakat terhadap masjid sebagai institusi yang memahami keperluan zaman dan mampu mendampingi semua lapisan usia.
“Dengan pencapaian ini, Masjid Darul Makmur membuktikan bahawa masjid bukan sekadar tempat ibadah, malah ruang rahmah dan mangkin masyarakat, yang mampu menyatukan pelbagai golongan menerusi program menyentuh hati dan memenuhi keperluan semasa.
“Festival ini menjadi titik tolak kepada perjalanan lebih besar untuk membina masyarakat berdaya tahan, bersepakat dan berjiwa besar,” tambah Encik Mohd Fairus.
– PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf)
– Pemindahan bank ke akaun: OCBC Semasa 581-652138001 (Rujukan: Wakaf)
– Cek: Atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke alamat: 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099
* Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian masjid di 6752-1402 atau e-mel kepada corporate@darulmakmur.mosque.sg


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg