Topik diikuti
Pergi ke BHku35 tahun Masjid Al-Amin semai ilmu, memperkukuh ukhuwah
Pelbagai program imarah masjid diatur sempena ulang tahun ke-35 pembinaan
35 tahun Masjid Al-Amin semai ilmu, memperkukuh ukhuwah
Masjid Nabawi di Madinah bukan sekadar tempat ibadah, malah menjadi lambang perpaduan masyarakat melalui kegiatan menuntut ilmu, mengeratkan persaudaraan dan membantu golongan memerlukan.
Semangat ini menjadi inspirasi dalam usaha mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu dan kebajikan masyarakat.
Rasulullah saw turut memuji golongan yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid dan menjanjikan mereka naungan Allah swt di akhirat.
Usaha memakmurkan masjid mencerminkan kekuatan iman dan komitmen meneruskan warisan Rasulullah saw.
MASJID SEDIAKAN PELUANG BERKHIDMAT
Tahun 2026 merupakan detik yang cukup bermakna apabila Masjid Al-Amin menyambut ulang tahun ke-35 pembinaannya.
Tiga dekad setengah bukanlah tempoh yang singkat. Di sebalik setiap kelas duha, kuliah solat, kursus keagamaan, program imam atau bilal, khidmat agama seperti tahnik, tahlil, program kemasyarakatan, serta bantuan yang disalurkan kepada keluarga memerlukan dan sebagainya, terdapat sokongan serta khidmat masyarakat yang menjadi kekuatan utama masjid.
“Sokongan dan khidmat anda tidak terlahir melainkan bertujuan mendapatkan keredaan Allah swt.
“Justeru, kami sentiasa mendoakan agar Allah swt merahmati, memberkati, dan memudahkan urusan anda sekeluarga,” kata Pengurus Jabatan Dakwah & Khidmat Masjid Al-Amin, Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan.
Setiap sumbangan dan khidmat, sama ada dalam bentuk kewangan, masa, tenaga, kepakaran ataupun sekadar kehadiran, mempunyai nilai tersendiri.
Usaha ini bertepatan dengan semangat Islam yang melihat masjid bukan sekadar tempat beribadah, bahkan sebagai tempat menyatukan hati, berkhidmat dan membina sebuah masyarakat yang saling mengambil berat.
Masjid yang hidup ialah masjid yang memberi peluang kepada masyarakat berkhidmat mendapatkan keredaan Allah swt.
PROGRAM SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN
Tema ‘35 Tahun Kekuatan, Melangkah Bersama’ membawa mesej bahawa kekuatan sesebuah masjid terletak pada kebersamaan masyarakat yang menghidupkannya.
Sempena sambutan ulang tahun ke-35 ini, Masjid Al-Amin turut merancang beberapa program istimewa bagi mengajak masyarakat bersama-sama meraikan perjalanan masjid, menimba ilmu serta mengerat hubungan sesama insan dan menambahkan keimanan terhadap Allah swt.
Antara program bakal dianjurkan ialah Simposium Muslimah Penyejuk Hati: Ketenangan di Tengah Ketegangan, yang akan berlangsung pada Sabtu, 17 Oktober, dari 10 pagi hingga 2 petang.
Simposium ini menampilkan Ustazah Shameem Sultanah, dan Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa, sebagai anggota panel, dengan pengacara televisyen, Fiza O, sebagai moderator.
Pengunjung juga berpeluang mengunjungi pelbagai bazar dan reruai menarik.
Pada malam sama, ‘Forum Perdana: Bila Rumahku Menjadi Syurgaku’ akan berlangsung dari 7.30 malam hingga 10 malam.
Forum ini menampilkan Presiden Kanan Mahkamah Syariah Singapura (SYC), Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy; dan Datuk Dr Ustazah Norhafizah, seorang pendakwah bebas dari Seberang Tambak sebagai anggota panel.
Forum ini akan dikendalikan oleh Pegawai Dakwah Masjid Al-Amin, Ustaz Abdul Rashid Suhaimi, sebagai pemudah cara.
Seterusnya, pada Ahad, 18 Oktober, satu sesi khas bertajuk, Closed-Door Session – Heart-to-Heart Talk: Husnul Khatimah, Usaha yang Tidak Datang Bergolek’, akan diadakan bersama Datuk Dr Ustazah Norhafizah, dari 10 pagi hingga 12 tengah hari.
Ia akan dikendalikan oleh Ustazah Naszirah Abd Kadir, Pegawai Dakwah Masjid Al-Amin.
Sesi ini memberi ruang kepada peserta mendalami kepentingan mempersiapkan diri bagi memperoleh pengakhiran hidup yang baik atau husnul khatimah.
“Program-program ini bukan sekadar bertujuan meraikan ulang tahun penubuhan masjid, malah menjadi wadah bagi masyarakat berkumpul, menimba ilmu, mengeratkan silaturahim dan menghayati kembali peranan masjid dalam kehidupan harian.
“Marilah kita terus menyokong usaha Masjid Al-Amin, mengimarahkan rumah Allah dan memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu dan kebajikan masyarakat,” akhiri Ustaz Muhammad Syafiee.