Lebih 350,000 rokok elektronik, atau ‘vape’, dan komponennya bernilai lebih $6 juta dirampas dalam satu serbuan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA).
Ia melibatkan rangkaian pengedaran ‘vape’ terbesar di sini.
Pada 14 Jun, HSA menerima maklumat tentang jumlah besar ‘vape’ dan komponennya ditemui di sebuah unit penyimpanan di Woodlands Loop.
Menyusuli siasatan oleh HSA, dua lagi serbuan dilakukan di unit kondominium di Guillemard Crescent pada hari yang sama.
Semasa serbuan di Woodlands Industrial Park pada 18 Jun, HSA menemui lebih banyak bekalan untuk dijual melalui aplikasi pemesejan Telegram.
HSA turut menemui 14 ‘vape’ yang disyaki mengandungi dadah terkawal tetrahydrocannabinol (THC), bahan psikoaktif yang boleh menyebabkan kebimbangan, kekeliruan, atau paranoia.
‘Vape’ itu dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB).
Dua lelaki dan dua wanita berumur antara 34 dengan 52 tahun kini membantu siasatan HSA dan CNB.
Sejak Januari 2024, ‘vape’ dan komponennya bernilai lebih $18 juta dirampas oleh HSA.
Agensi pemerintah itu mengingatkan orang ramai bahawa mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan untuk penjualan ‘vape’ dan komponennya adalah satu kesalahan di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan).
Sesiapa yang disabitkan dengan kesalahan itu boleh dihukum denda hingga $10,000, atau penjara hingga enam bulan, atau kedua-dua hukuman bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua atau selanjutnya, mereka menghadapi hukuman denda hingga $20,000, atau penjara hingga 12 bulan, atau kedua-dua hukuman.
Pembelian, penggunaan dan pemilikan ‘vape’ juga dilarang dan membawa denda maksimum $2,000.
Maklumat berkaitan tembakau yang dilarang produknya di Singapura boleh didapati di laman sesawang HSA dan butiran lanjut tentang kemudaratan ‘vape’ boleh didapati di https://bh.sg/vape
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan penjualan ‘vape’ boleh menghubungi Cawangan Peraturan Tembakau HSA di talian 6684-2036 atau 6684-2037 semasa waktu pejabat dari 9 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg