Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

38 kariah bakal sediakan 13,000 ruang solat tarawih di estet HDB

Jumlah itu lebih banyak berbanding 31 kariah yang disediakan pada 2024
Feb 26, 2025 | 6:07 PM
Sehingga 38 kariah dijangka menganjurkan solat tarawih bagi Ramadan tahun ini.
Sehingga 38 kariah dijangka menganjurkan solat tarawih bagi Ramadan tahun ini. - Foto fail

Lebih banyak ruang di luar masjid akan disediakan untuk solat tarawih sepanjang Ramadan 2025.

Menurut laman web Salam SG Ramadan – ramadan.sg – sehingga 38 kariah, yang menawarkan sehingga 13,000 ruang solat individu, kini disenaraikan sebagai ruang solat tarawih pada 2025.

Ini merupakan satu peningkatan ruang solat di luar masjid berbanding 12,000 ruang solat yang disediakan oleh 31 kariah pada 2024.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menjelaskan:

“Tahun ini (2025), terdapat sedikit peningkatan dalam jumlah kariah yang berhasrat mengadakan solat tarawih.

“Ini menunjukkan lebih banyak kumpulan sukarelawan yang mampu dan bersedia bekerjasama dengan masjid bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan penduduk sepanjang Ramadan.”

Ruang solat tarawih ini, yang biasanya diadakan di kolong blok atau dewan serbaguna di kawasan perumahan HDB, dianjurkan oleh kariah, atau kumpulan kejiranan untuk memenuhi keperluan penduduk Muslim.

Ia bertujuan memudahkan dan mesra akses untuk masyarakat, terutamanya bagi jemaah warga emas, mereka yang mempunyai kesukaran untuk bergerak atau pekerja yang kesuntukan masa dan tidak dapat pergi ke masjid.

Kumpulan kariah biasanya bekerjasama dengan masjid-masjid berhampiran, dan dipimpin oleh sukarelawan untuk menganjurkan solat tersebut.

Ruang solat yang disediakan kariah ini merupakan tambahan kepada 110,000 ruang solat yang disediakan oleh 70 masjid pada 2025.

Pada 14 Februari, Muis mengumumkan lokasi-lokasi solat tarawih, termasuk yang dianjurkan kariah dalam satu catatan di Facebook.

“Dengan penuh kesungguhan, masjid-masjid kita menantikan ketibaan jemaah pada Ramadan ini.

“Untuk menyediakan lebih banyak pilihan dan meningkatkan kemudahan kepada masyarakat, kariah yang dihubungkan dengan masjid akan menawarkan ruang tambahan di kawasan perumahan berhampiran,” kata Muis dalam catatan tersebut.

Sistem kariah mula diperkenalkan pada 1986, apabila Masjid An-Nur memperkenalkan konsep ‘kampung-kampung kecil’ atau kejiranan dalam sebuah estet perumahan yang luas demi memastikan keluarga-keluarga di sana tidak ketinggalan oleh perkembangan sekeliling.

Sejak itu, kariah telah terus mekar di pelbagai kawasan merata Singapura.

Berdasarkan pemeriksaan BH di laman web ramadan.sg, beberapa kariah masih menunggu pengesahan untuk menganjurkan solat tarawih pada 2025.

Daripada 38 kariah yang disenaraikan – di kawasan Utara, Timur dan Barat – 23 lokasi masih lagi menunggu pengesahan.

Ketika diminta mengulas, Muis berkata:

“Muis menyediakan Surat Sokongan (LOS) kepada kariah, yang diperlukan untuk memohon permit dan kelulusan daripada pihak berkuasa bagi mengadakan solat tarawih.

“Sehingga kini, 38 kariah telah diberikan LOS.”

Berdasarkan laporan BH pada 2024, LOS diperlukan untuk kariah memohon kelulusan dan permit daripada majlis bandaran serta pihak polis.

Pengerusi Kariah Greenweavers di blok 611 Tampines North Drive 1, Encik Muhammad Hydil Jamil, berkata sokongan masjid amat penting untuk mendapatkan pengesahan bagi kariah menyediakan ruang solat tarawih.

“Jika masjid sokong, perkara lain akan menjadi mudah, kerana ia mencerminkan kariah itu juga mendapat sokongan Muis,” katanya yang sudah menjadi pengerusi kariah tersebut sejak 2023.

Encik Hydil, 35 tahun, menambah beliau dan rakan-rakan kariah telah mula membuat persiapan untuk menganjurkan solat tarawih sejak Disember 2024.

Berkongsi mengenai perasaannya untuk menyambut solat tarawih di kariah, Encik Hydil berkata:

“Perasaan ghairah bercampur risau sebab tidak tahu apa yang hendak dijangkakan. Memandangkan ini kali pertama (kita adakan solat tarawih) selepas berlakunya tempoh penginapan minimum (MOP) di kawasan kejiranan.

“Ia tidak mudah, tetapi kerana kita inginkan ia untuk terjadi, maka kita akan melaksanakannya.”

Selain daripada menawarkan ruang untuk solat tarawih, masjid juga akan padat dengan program di sepanjang Ramadan.

Pengagihan bubur, perkhidmatan penjagaan kanak-kanak sewaktu solat tarawih, pengagihan hamper Ramadan dan kem belia antara beberapa program yang tersedia di masjid Ramadan ini.

SalamSG Ramadan 2025 juga akan menampilkan beberapa daya utama baru pada 2025 antaranya, saluran WhatsApp SalamSG serta satu risalah Ramadan.

Untuk keterangan lanjut mengenai perkembangan Ramadan di Singapura, anda boleh melungsuri laman ramadan.sg.

Ruang kariah disediakan untuk solat tarawih pada Ramadan 2025:

Utara: 973A Hougang Street 91 (15 Mac sahaja); 786E Woodlands Drive 60; 658 Woodlands Ring Road; 607 Yishun Street 61; 732A Woodlands Circle; 687D Woodlands Drive 75; 524A Woodlands Drive 14; 873 Woodlands Street 81; 895E Woodlands Drive 50; 23C Kampung Lor Buang Kok

Timur: 112 Bedok North Road*; 27A Balam Road (1, 2, 8, 9, 15, 16, 22, 23 & 29 Mac sahaja); 775A Bedok Reservoir View*; 15A Marine Terrace*; 611 Tampines North Drive 1 (20 hingga 29 Mac sahaja)*; 286 Tampines Street 22*; 827A Tampines Street 81*; 353 Tampines Street 33*; 924 Tampines Street 91; 847 Tampines Street 83*; 498N Tampines Street 45*; 450 Tampines Street 42*; 116 Simei Street 1; 757B Pasir Ris Street 71; 62 Marine Drive*; 3 Geylang Serai*; 42A Circuit Road; 702 Bedok Reservoir Road (8, 15, 22 & 29 Mac sahaja)*

Barat: 563 Choa Chu Kang Street 52*; 660A Choa Chu Kang Crescent*; 530 Jurong West Street 52*; 404 Pandan Gardens*; 432 Jurong West Street 42*; 842 Jurong West Street 81*; 706 Clementi West Street 2*; 189A Boon Lay Drive (1 hingga 5, 23 hingga 29 Mac sahaja)*; 813 Choa Chu Kang Avenue 7 (7, 8, 14, 15, 21, 22, 28, 29 Mac sahaja)*; 508 West Coast Drive*

*sedang menunggu pengesahan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg