Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saluran WhatsApp, risalah Ramadan antara daya utama baru SalamSG 2025

Feb 21, 2025 | 5:30 AM
Antara pembaharuan yang dilaksanakan SalamSG 2025 ialah menubuhkan satu saluran WhatsApp SalamSG, menyokong usaha persatuan Islam  di peringkat universiti dan risalah Ramadan.
Antara pembaharuan yang dilaksanakan SalamSG 2025 ialah menubuhkan satu saluran WhatsApp SalamSG, menyokong usaha persatuan Islam di peringkat universiti dan risalah Ramadan. - Foto MUIS

Kempen SalamSG 2025 memperkenalkan beberapa daya utama baru untuk memperkaya sambutan Ramadan bagi masyarakat Islam Singapura.

Buat julung-julung kalinya, satu saluran WhatsApp SalamSG ditubuhkan bagi memberi perkembangan mengenai masjid, mesej inspirasi dan renungan sepanjang Ramadan.

Penyebaran maklumat akan menjadi lebih mudah dengan ia dapat menghubungkan individu yang berada di mana sahaja.

Tambahan itu, satu risalah yang bertujuan memperkaya pengalaman Ramadan juga akan diedarkan.

Sokongan akan juga diberikan kepada belia di peringkat pengajian tinggi, sejajar dengan peranan mereka sebagai pemimpin masa depan dan pembawa perubahan.

Ini adalah antara usaha terbaru SalamSG yang dapat dinikmati masyarakat Islam Singapura mulai Ramadan ini.

Berlandaskan tiga nilai utama – Keyakinan, Ketahanan, dan Pemerkasaan – daya utama itu dilaksanakan untuk mencapai nilai-nilai tersebut.

Saluran WhatsApp SalamSG, satu wadah digital, akan memastikan bahawa setiap individu – sama ada di rumah, di tempat kerja, atau sedang dalam perjalanan – dapat terus berhubung dan menghayati semangat serta inti pati Ramadan.

Ia bertujuan untuk menjadikan maklumat lebih mudah diakses oleh audiens yang lebih luas, terutamanya golongan warga emas yang mungkin tidak aktif di wadah media sosial.

Menurut Pengerusi SalamSG Ramadan 2025, Encik Fa’izal Abdul Rahim, setakat ini, saluran itu sudah mempunyai sekitar 800 pengguna.

Buat kali pertama, satu risalah Ramadan yang mengandungi 30 amalan ringkas untuk memperkaya pengalaman Ramadan juga akan diedarkan.

Secara keseluruhan, sebanyak 30,000 risalah akan disediakan di serata masjid di Singapura pada hari pertama solat tarawih.

Encik Fa’izal berkata ia mengandungi pelbagai amalan, doa dan zikir, serta memaparkan tiga nilai utama SalamSG.

“Kami menghasilkan risalah ini untuk berkongsi pesan-pesan Nabi yang memberi inspirasi, selaras dengan nilai-nilai SalamSG Ramadan.

“Kami berharap melalui risalah ini, kami dapat berhubung dengan sebanyak keluarga secara langsung,” ujarnya.

Risalah 30 halaman itu mengandungi kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris.

Salinan yang boleh dimuat turun juga akan disediakan dalam talian bermula hari pertama Ramadan melalui laman web ramadan.sg

Buat kali pertama juga, SalamSG akan mendekati persatuan-persatuan Islam di peringkat universiti serata Singapura untuk memberi sokongan.

Langkah itu seiring dengan peranan belia sebagai pemimpin masa depan dan pembawa perubahan.

Encik Fa’izal berkata ia akan dimulakan dengan pelajar di institusi pengajian tinggi sebelum beralih ke tingkatan belia yang lain.

“Kalau kita lihat pada Persidangan Sektor Satu Masjid (OMS), belia merupakan salah satu fokus kita (masjid) untuk tiga tahun akan datang.

“Bagi SalamSG Ramadan, ia merupakan sebahagian daripada gambaran besar dalam usaha melibatkan belia. Oleh itu, kita perlu mula dekati (pelajar) dari institusi pengajian tinggi terlebih dahulu,” ujarnya.

SalamSG bakal mengadakan sesi pertemuan bersama persatuan Islam dari universiti di Singapura serta bakal memberikan mereka sokongan kewangan bagi menjalani program persatuan semasa Ramadan, selaras dengan tema SalamSG 2025.

Program Ramadan SalamSG

  1. *Saluran WhatsApp SalamSG.
  2. *Risalah Ramadan yang akan diagihkan pada hari pertama Solat Tarawih.
  3. SalamSG Gives bermula pada 22 Februari dan diadakan di empat kelompok berbeza. Utara (Masjid Al-Muttaqin dan Masjid Ahmad Ibrahim); Selatan (Masjid Haji Muhd Salleh (Palmer) dan Masjid Omar Kampung Melaka); Timur (Masjid Abdul Aleem Siddique); Barat (Masjid Al-Khair, yang akan bekerjasama dengan Harmony Circle untuk diagihkan kepada penerima Muslim dan bukan Muslim).
  4. Program Cabaran Belia Ramadan (RYC) pada 15 hingga 16 Mac dan diadakan di empat kelompok berbeza. Utara (Masjid Al-Muttaqin); Selatan (Masjid Sultan); Timur (Masjid Al-Islah); Barat (Masjid Al-Iman).
  5. Tazkirah Nuzul Al-Quran pada 17 Mac di Masjid Al-Muttaqin.
  6. Night of Power pada 21 Mac di Masjid Sultan.
  7. *Sokongan SalamSG kepada persatuan Islam di universiti Singapura.

(*dilaksana pada 2025)

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg