Sehari selepas kematian Dr Lee Wei Ling pada 9 Oktober, adik lelakinya telah membawa perhatian terhadap masa depan rumah keluarga mereka.
Menurut laporan AsiaOne, Encik Lee Hsien Yang, dalam hantaran di Facebook pada 10 Oktober, menulis beliau menyampaikan mesej mendiang kakaknya.
“Bapa saya, Encik Lee Kuan Yew, dan ibu saya, Cik Kwa Geok Choo, tidak berbelah bahagi dan amat inginkan agar rumah mereka di 38 Oxley Road dirobohkan apabila kematian ibu bapa yang terakhir.
“Lee Kuan Yew telah mengarahkan setiap daripada ketiga-tiga anaknya agar memastikan hasrat orang tua mereka untuk merobohkan (rumah) itu dipenuhi. Beliau juga telah merayu secara langsung kepada rakyat Singapura.
“Tolong hormati bapa saya dengan menunaikan hajat agar rumahnya dirobohkan,” kongsi beliau.
Dr Lee, yang meninggal dunia pada usia 69 tahun, menetap di 38 Oxley Road sebelum kematiannya.
Rumah keluarga tersebut telah menjadi tumpuan perselisihan panjang antara adik-beradik itu dengan abang mereka, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Pada Disember 2015, SM Lee, yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu, dan adik lelakinya, mengeluarkan kenyataan bersama yang mengatakan bahawa mereka masing-masing telah bersetuju untuk mendermakan separuh daripada nilai 38 Oxley Road kepada badan amal yang dinamakan dalam notis obituari bapa mereka.
Setahun kemudian, SM Lee berkata beliau telah mengundurkan diri daripada semua keputusan pemerintah yang melibatkan rumah tersebut.
Beliau turut menambah bahawa atas sifat peribadi, beliau juga ingin melihat hasrat itu dihormati.
Namun, pada Jun 2017, Dr Lee dan Encik Lee Hsien Yang berkata mereka berasa terancam dalam usaha memenuhi hasrat mendiang bapa mereka untuk merobohkan rumah tersebut.
Mereka menuduh abang mereka, yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, menentang hasrat sedemikian “kerana pemeliharaan rumah tersebut akan meningkatkan modal politik”.
Selepas Encik Lee Hsien Loong menafikan dakwaan tersebut di Parlimen, sebuah jawatankuasa menteri telah mengeluarkan laporan pada 2018, yang menggariskan tiga pilihan untuk rumah tersebut – sama ada ia boleh dikekalkan, atau sebahagiannya dikekalkan, atau dirobohkan.
Menurut jawatankuasa itu, tiada keputusan diperlukan pada waktu itu sambil menambah bahawa “Dr Lee berkemungkinan terus menetap di sana untuk masa yang akan datang”.
Selepas laporan itu dikeluarkan, Encik Lee Hsien Loong berkata:
“Saya berharap apabila tiba masanya untuk memutuskan apakah yang perlu dilakukan dengan rumah itu, laporan ini akan membantu pemerintah pada hari tersebut untuk membuat keputusan dengan maklum bahawa kedua-duanya menghormati hasrat bapa saya dan juga demi kepentingan awam”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg