Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 bekas tahanan ISA tunjuk kemajuan ketika pemulihan

Arahan Sekatan (RO) bagi tiga daripada mereka dibenarkan luput akhir 2024; seorang lagi dibebas daripada tahanan, dikenakan RO
Jan 9, 2025 | 6:21 PM
Dalam perkembangan terkini Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tiga individu tidak lagi dikenakan Arahan Sekatan (RO) selepas ia dibenarkan luput pada akhir 2024 sementara seorang lagi dibebaskan daripada tahanan dan kini dikenakan RO.
Dalam perkembangan terkini Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tiga individu tidak lagi dikenakan Arahan Sekatan (RO) selepas ia dibenarkan luput pada akhir 2024 sementara seorang lagi dibebaskan daripada tahanan dan kini dikenakan RO. - Foto fail

Empat individu yang sebelum ini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), telah menunjukkan kemajuan ketika pemulihan mereka.

Tiga daripada mereka – Abdul Basheer Abdul Kader, Mohamed Hussain Saynudin, dan Murad Mohamed Said – tidak lagi dikenakan Arahan Sekatan (RO) selepas ia dibenarkan luput pada akhir 2024.

Ini susulan keputusan ISA yang tidak lagi menganggap mereka sebagai ancaman dan tidak memerlukan sebarang sekatan.

Sementara itu, Mohamed Khairul Riduan Mohamed Sarip, telah dibebaskan daripada tahanan dan kini dikenakan RO, kata ISA pada 9 Januari.

Walaupun Khairul tidak lagi memberi ancaman keselamatan yang memerlukannya melalui penahanan pencegahan, dia perlu mematuhi beberapa syarat dan sekatan.

Ini termasuk larangan mendapat akses Internet atau media sosial serta mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan umum.

Perkembangan itu dikongsi berhubung penahanan tiga warganegara Singapura di bawah ISA – Muhammad Indra Aqmal Effendy, Mohamad Latiff Rahim dan Nurisham Yusoff – pada November 2024, yang dikatakan telah menjadi radikal dalam talian.

Ketiga-tiga mereka telah membuat persediaan untuk terlibat dalam pengganasan bersenjata di luar negara.

ISA turut menggariskan beberapa individu yang menunjukkan kemajuan dalam proses pemulihan mereka.

Abdul Basheer, 46 tahun, ditahan pada Februari 2007 selepas didapati menjadi radikal dengan sendirinya.

Dia dibebaskan pada Februari 2010, namun ditahan semula pada Oktober 2012 selepas sekali lagi didapati mempunyai rancangan untuk turut serta dalam pengganasan bersenjata di luar negara.

Abdul Basheer dibebaskan daripada tahanan pada Februari 2016 sebelum RO yang dijalaninya diluputkan pada Oktober 2024.

Seorang lagi individu yang diluputkan tempoh RO-nya pada November 2024 ialah bekas ahli Jemaah Islamiyah (JI), Mohamed Hussain.

Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan pada Februari 2007 sebelum dibebaskan untuk menjalani RO pada Februari 2013.

Dalam pada itu, RO bagi seorang bekas guru agama bebas, Murad Mohamed Said, 52 tahun, juga diluputkan pada Disember 2024 selepas dikenakan arahan tersebut pada Disember 2018.

Dia telah menyebarkan kepercayaan yang menggalak pengganasan dan pandangan menyokong dasar pemisahan yang memudaratkan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.

Bagi Mohamed Khairul Riduan pula, bekas guru di Kementerian Pendidikan (MOE) berusia 40 tahun itu dibebaskan daripada tahanan pada November 2024 dan kini perlu jalani RO.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berkata Khairul telah menunjukkan kemajuan yang baik dalam pemulihannya dan dinilai tidak lagi menimbulkan ancaman keselamatan, yang memerlukan penahanan pencegahan.

Dia ditahan pada November 2022 selepas didapati menjadi radikal dengan sendiri dan mempunyai rancangan untuk ke Gaza serta menyertai Hamas dan Briged Al-Qassam (AQB) untuk menyerang Angkatan Pertahanan Israel (IDF).

Khairul kini perlu menjalani RO serta mematuhi beberapa syarat dan sekatan.

Antaranya, dia tidak dibenarkan berpindah tempat tinggal atau pekerjaan, atau keluar dari Singapura tanpa kelulusan Pengarah ISD.

Dia juga tidak dibenarkan menyumbang kepada sebarang penerbitan, memegang jawatan rasmi atau menjadi anggota organisasi.

ISD mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada terhadap unsur radikal dan kandungan ekstremis yang menggalakkan atau membolehkan perbuatan pengganasan.

Ketahui tanda-tanda radikalisasi:

– Kerap melayari laman web radikal

– Menyiarkan atau berkongsi pandangan ekstremis di wadah media sosial, seperti menyatakan, sokongan atau kekaguman terhadap pengganas atau kumpulan pengganas serta menggunakan keganasan

– Berkongsi pandangan ekstremis dengan rakan dan saudara-mara

– Membuat kenyataan yang menggalakkan niat jahat atau kebencian terhadap orang berbeza kaum, agama atau masyarakat

– Menyatakan hasrat mengambil bahagian dalam tindakan pengganasan di luar negara atau di Singapura

– Menghasut orang lain agar menyertai tindakan pengganasan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg