Pihak pendakwa dan pembela dalam kes bekas Menteri Pengangkutan S. Iswaran bercanggah pendapat sama ada terdapat penyalahgunaan kuasa dalam jawatan, dan sama ada terdapat kerugian akibat tindakan Iswaran.
Semasa perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi pada 24 September, pihak pembela yang diketuai Peguam Kanan Davinder Singh daripada firma guaman Davinder Singh Chambers LLC berhujah bahawa tiada kemudaratan berlaku, meskipun Iswaran menerima pemberian sedemikian.
Beliau berkata: “Melihat pada semua tuduhan (yang dikenakan), di manakah terdapatnya penanda bahawa jawatan atau kuasa sebagai menteri telah digunakan, apatah lagi disalah guna?”
Beliau menambah bahawa Iswaran “tidak lakukan apa-apa yang merugikan pemerintah” dan sedia maklum bahawa terdapat situasi unsur kesalahan jenayah bagi Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang telah dipenuhi kerana penjawat awam telah menerima hadiah.
Iswaran mengaku bersalah atas lima tuduhan, termasuk empat tuduhan di bawah Seksyen 165. Namun beliau menegaskan tiada penyalahgunaan berlaku.
“Kesalahan harus diakui, seperti apa yang sedang dilakukan anak guam saya,” ujarnya.
Pihak pendakwa, yang diketuai Timbalan Peguam Negara (DAG) Tai Wei Shyong, membidas hujah tersebut dan menjelaskan bahawa penerimaan hadiah secara berulang kali “merupakan penyalahgunaan jawatan”, tanpa mengira manfaat yang berpihak kepada pihak lain.
Menurutnya, dengan menerima hadiah atau pemberian semasa melaksanakan urusan rasmi bersama peniaga, ia memberi isyarat kepada masyarakat awam atau pemberi hadiah bahawa penerima boleh dipengaruhi.
Empat tuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan melibatkan Iswaran menerima pemberian berharga daripada pengerusi penganjur perlumbaan Formula Satu (F1) Singapore Grand Prix, Encik Ong Beng Seng dan Encik David Lum, pengarah urusan syarikat pembinaan Lum Chang Holdings.
Berkenaan berlakunya kemudaratan, pihak pembela berkata tiada tanda bahawa mana-mana pihak ketiga terjejas dengan kerugian disebabkan kesalahan oleh Iswaran di bawah Seksyen 165.
Peguam bela, Encik Davinder, berkata: “Adalah jelas bahawa tiada kemudaratan hasil daripada kesalahan di bawah kes ini di bawah Seksyen 165 dan kebersalahan Iswaran adalah rendah.”
Beliau menambah Encik Ong dan Encik Lum memberi barangan itu kepada Iswaran sebagai hadiah atas dasar persahabatan.
Pihak pendakwa juga telah menerima, kata beliau, bahawa menurut kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), tiada penanda atau indikasi bahawa kontrak F1 disusun untuk merugikan pihak pemerintah.
Bagi kontrak yang diberikan syarikat Encik Lum daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), ia dianugerahkan sebelum Iswaran menjadi menteri pengangkutan dan dia tidak ada kena-mengena dengan kontrak tersebut, kata Encik Davinder.
Salah satu syarikat Encik Lum, Lum Chang Building Contractors, memenangi kontrak LTA pada 2016 bagi kerja-kerja di stesen MRT Tanah Merah.
Menyanggah usulan itu, Encik Tai berkata sungguhpun tiada kerugian yang ditanggung pemberi, ia bukan faktor pengurangan hukuman.
Sebagai respons kepada Encik Davinder, beliau merungkaikan kemudaratan hasil daripada kesalahan di bawah Seksyen 165 merujuk kepada kemudaratan atau kerosakan kepada kepentingan awam, tidak kira sama ada pemberi tersebut mengalami kerugian.
“Kami menolak sebarang usulan bahawa tiada kemudaratan atau kemudaratan adalah minimal. Sebarang kesalahan di bawah Seksyen 165 ini bercanggah dengan kepentingan pemerintah.
“Singapura terkenal dengan komitmen terhadap piawaian kejujuran tinggi bagi pemerintah, dan adalah agak jelas bahawa kesalahan ini telah merosakkan reputasi tersebut,” ujar Encik Tai.
Kemuncak perbicaraan menyaksikan kedua-dua pihak bertikam lidah dalam dewan mahkamah, dengan Encik Davinder dilihat meninggikan suaranya terhadap Encik Tai apabila pihak pendakwa menyatakan terdapat dasar untuk menyiasat Iswaran atas tuduhan rasuah apabila ia dikenakan pada mulanya.
Encik Tai berkata bahawa tuduhan tersebut tidak ditarik balik, tetapi sebaliknya diubah.
Sebagai respons, Encik Davinder mengekalkan pendirian bahawa anak guamnya tidak menerima mana-mana hadiah daripada Encik Lum dan Encik Ong dengan tujuan rasuah dan menyifatkan kenyataan pihak pendakwa “sebagai tiada dasar sama sekali”.
Hakim Vincent Hoong mencelah kedua-dua pihak dan menyatakan bahawa tiada dasar kukuh untuk meneruskan percanggahan mengenai tuduhan rasuah yang diubah, dan ia tidak relevan semasa menjatuhkan hukuman.
Selepas perbicaraan bersidang semula selepas rehat dan setelah mendengar rumusan kedua-dua pihak, Hakim Hoong menjelaskan beliau memerlukan masa untuk pertimbangkan hukuman setimpal selepas mengambil kira usulan kedua-dua pihak.
Beliau akan memberi keputusannya apabila perbicaraan bersidang semula pada 3 Oktober, 10 pagi.
Iswaran, 62 tahun, mengaku bersalah pada 24 September atas lima tuduhan – termasuk empat tuduhan di bahawa Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Satu lagi tuduhan adalah menghalang proses keadilan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg