Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 didakwa libat kes rumah sewa dijadi kelab riadah

Apr 1, 2025 | 5:22 PM
Seorang lelaki warga Singapura dan tiga warga asing masing-masing dikenakan tuduhan menipu pada 1 April selepas mereka didakwa bekerjasama menipu tuan tanah bagi sebuah hartanah di Victoria Park Road.
Seorang lelaki warga Singapura dan tiga warga asing masing-masing dikenakan tuduhan menipu pada 1 April selepas mereka didakwa bekerjasama menipu tuan tanah bagi sebuah hartanah di Victoria Park Road. - Foto fail

Seorang lelaki warga Singapura dan tiga warga asing masing-masing dikenakan tuduhan menipu pada 1 April selepas mereka didakwa bekerjasama menipu tuan tanah sebuah hartanah di Victoria Park Road, berdekatan Coronation Road.

Pada atau sekitar 14 Mac 2024, Wu Pengfei, 35 tahun, yang dikenakan satu pertuduhan, didakwa menandatangani perjanjian penyewaan yang dikaitkan dengan rumah itu.

Polis berkata dalam satu kenyataan pada 31 Mac: “(Empat orang itu)... didakwa bersubahat menipu tuan rumah... dengan memberi gambaran salah bagi penyewa utama dalam perjanjian penyewaan, dan menyatakan unit itu akan digunakan untuk tujuan kediaman secara palsu, sedangkan ia bertujuan digunakan sebagai kelab rekreasi persendirian.”

Rakan subahat Wu yang didakwa ialah warga Malaysia, Koh Hui Ming, 35 tahun; warga China, Su Zhentan, 40 tahun; dan warga Kemboja, Su Wenhui, 44 tahun.

Menukil laporan The Straits Times, keempat-empat mereka didakwa menipu bersama Wu Guojing, yang tidak didakwa di mahkamah pada 1 April.

Butiran mengenai Wu Guojing dan aktiviti di rumah kelab itu tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.

Su Wenhui dikenakan tiga pertuduhan – terbanyak dalam kalangan tertuduh itu.

Pertuduhan itu adalah menipu, bekerja di rumah kelab tanpa pas kerja yang sah, dan memindahkan mata wang berbeza bernilai lebih $22,000 – melebihi had yang ditetapkan iaitu $20,000 – dari Singapura tanpa memberikan laporan penuh kepada pihak berkuasa.

Koh, seorang penduduk tetap Singapura dan satu-satunya wanita dalam kalangan mereka, dan Su Zhentan masing-masing dikenakan dua pertuduhan.

Koh dituduh menipu dan berurusan dengan hasil daripada kelakuan jenayah. Su Zhentan dikenakan pertuduhan menipu dan bekerja di rumah kelab tanpa pas kerja yang sah.

Polis menambah, empat individu itu adalah antara 11 individu yang ditahan semasa serbuan pada 18 Mei 2024.

Pegawai polis merampas barangan termasuk wang tunai lebih $88,000 dan dua kenderaan dengan nilai gabungan melebih $1 juta.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, polis berkata baki tujuh individu – dua warga Singapura; empat warga China, yang merupakan pemegang permit kerja; dan seorang warga Kemboja – disiasat atas kesalahan di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing dan Akta Kawalan Perjudian.

Menurut dokumen mahkamah, Su Wenhui berada di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 17 Ogos 2023 apabila dia didakwa memindahkan mata wang berbeza bernilai lebih $22,000 secara keseluruhan keluar dari Singapura.

Pada atau sekitar 14 Mac 2024, keempat-empat tertuduh dan Wu Guojing didakwa bekerjasama menipu tuan tanah yang dikaitkan dengan hartanah di Victoria Park Road.

Su Wenhui dan Su Zhentan didakwa diambil bekerja oleh Wu Guojing di rumah kelab itu antara April dan Mei 2024.

Dokumen mahkamah menyatakan Su Wenhui dikatakan bekerja sebagai pengurus manakala Su Zhentan didakwa bekerja sebagai tukang masak.

Secara berasingan, Koh didakwa menggunakan hasil daripada jenayah berjumlah $26,000 untuk membayar deposit unit kondominium di Pasir Ris Grove pada 5 Ogos 2024.

Kes membabitkan empat individu itu ditangguhkan ke 28 April.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg