Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam didenda $7,000 bagi setiap kesalahan bohong kepada jawatankuasa Parlimen

Ketua WP akan rayu terhadap hukuman; hakim putuskan Pritam bohong ‘dengan sengaja’
Feb 17, 2025 | 11:54 AM
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) dan Ketua Pembangkang (LO), Encik Pritam Singh (tengah) bercakap dengan pihak media selepas hukuman dijatuhkan ke atasnya pada 17 Februari.
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) dan Ketua Pembangkang (LO), Encik Pritam Singh (tengah) bercakap dengan pihak media selepas hukuman dijatuhkan ke atasnya pada 17 Februari. - Foto ST

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) dan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, telah dikenakan denda $14,000 setelah didapati bersalah pada 17 Februari atas dua tuduhan berbohong semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh sebuah jawatankuasa parlimen.

Denda $7,000 bagi setiap tuduhan, yang dikenakan oleh Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan itu adalah jumlah maksimum yang diminta pihak pendakwa, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pendakwa Raya (DCP) Wong Woon Kwong.

Menurut DCP Kwong, Encik Pritam telah berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) untuk melindungi modal politik sendiri dan mengkhianati mantan Anggota Parlimen (AP) WP, Cik Raeesah Khan, sambil menambah tindakan tersebut amat serius dan tidak bermaruah.

Bercakap dengan media di luar mahkamah selepas perbicaraan itu, Encik Pritam berkata yang beliau akan membuat rayuan terhadap hukuman itu serta akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini disahkan oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam kenyataannya di Facebook pada 17 Februari, yang mengatakan hukuman dikenakan ke atas Encik Pritam tidak melebihi had hukuman untuk hilang kelayakan untuk bertanding.

Menurut Perlembagaan Negara, AP yang sedang berkhidmat akan kehilangan kerusinya di Parlimen jika dipenjara selama sekurang-kurangnya setahun atau didenda sekurang-kurangnya $10,000 bagi satu kesalahan.

Semasa menjelaskan keputusannya selama dua jam, Hakim Tan mendapati Encik Pritam telah berbohong kepada COP yang bersidang pada November 2021 setelah dia memberikan jawapan palsu kepada soalan COP pada 10 dan 15 Disember 2021.

Dalam merumuskan hukumannya itu, Hakim Tan berkata denda maksimum yang dikenakan memberi isyarat jelas untuk memberi kenyataan yang benar selepas mengangkat sumpah atau pengakuan berikrar.

“Saya menganggap status (Encik Pritam) bukan sahaja sebagai pemimpin parti dan (pemimpin) Cik Raeesah, beliau juga seorang peguam yang sepatutnya sedia maklum atau tahu implikasi berbohong di bawah pengakuan berikrar,” kata Hakim Tan.

Jumlah denda yang diminta pendakwa telah disangkal oleh peguam belanya, Encik Andre Jumabhoy, yang berhujah bahawa jumlah denda bagi setiap tuduhan tidak seharusnya melebihi $4,000 memandangkan kes tersebut bermula dengan Cik Raeesah dan Encik Pritam tidak terlibat sama sekali.

Cik Raeesah didenda $35,000 setelah COP, yang meneliti kontroversi pembohongan melibatkannya, mendapati beliau menyalahguna hak istimewa Parlimen.

Encik Jumabhoy menambah usul pihak pendakwa bukanlah kerana Encik Pritam menyuruh Cik Raeesah untuk berbohong, tetapi Encik Pritam tidak meminta Cik Raeesah untuk memberi penjelasan mengenai pembohongannya.

Mengenai langkah selanjutnya, Encik Pritam berkata beliau telah mengarahkan pasukan guamannya untuk menghantar notis rayuan dan menyemak keputusan bertulis yang dikenakan ke atasnya dengan lebih terperinci.

“Saya meletakkan niat untuk bertanding dalam GE akan datang dan kita lihat apa yang berlaku (dari saat ini).

“Saya rasa keperluan pada masa ini adalah untuk saya serlahkan diri, bukan undurkan diri,” kata beliau.

Encik Pritam merupakan individu pertama sejak kemerdekaan negara pada 1965 yang didakwa dan didapati bersalah di bawah Seksyen 31(q) Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa) atau PPIPA.

Di bawah PPIPA, adalah menjadi satu kesalahan untuk berbohong semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Parlimen atau jawatankuasanya.

Kesalahan di bawah seksyen itu adalah denda hingga $7,000 atau dipenjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Hakim Tan sebelum ini bersetuju dengan hujah kedua-dua pihak pendakwa dan pembela bahawa hukuman penjara tidak wajar dikenakan, memandangkan tiada bahaya sebenar berlaku terhadap Cik Raeesah.

Encik Pritam hadir di mahkamah sekitar 9.10 pagi bersama peguamnya, Encik Jumabhoy dan Encik Aristotle Emmanuel Eng Zhen Yang.

AP WP lain yang turut hadir di mahkamah termasuk Encik Jamus Lim, Encik Gerald Giam and Encik Dennis Tan.

Encik Pritam kelihatan tenang apabila keputusan dibacakan kepadanya di dalam bilik mahkamah yang padat dengan orang awam dan pihak media.

Ayahnya, Encik Amarjit Singh – mantan Hakim Daerah dan pendakwa raya – berada di samping Encik Pritam apabila hakim menjatuhkan hukumannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg