Empat lelaki, berusia 35 hingga 63 tahun, telah didakwa pada 26 Jun atas kesalahan menipu dan terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah $1.6 juta berkaitan dengan penipuan pelaburan.
Mereka ialah Timothy Solomon Patrick, 35 tahun; Daniel Lars Stevenson, 39 tahun; Kamaraj Gopal Krishnan, 53 tahun; dan Patrick Lourdasamy, 63 tahun.
Polis berkata pada 25 Jun, Jabatan Ehwal Perniagaan (CAD) telah memulakan siasatan terhadap tiga entiti perniagaan pada Februari 2020, selepas menerima maklumat bahawa akaun bank mereka di Singapura telah menerima kiriman palsu sekitar $1.6 juta daripada mangsa penipuan pelaburan di luar negara dari November 2018 hingga Oktober 2019.
Satu lagi perniagaan kemudian didapati menerima sekitar $64,000 daripada mangsa sama pada Oktober 2019.
Perniagaan tersebut adalah milikan tunggal yang didakwa ditubuhkan di Singapura oleh Stevenson, Kamaraj and Lourdasamy.
Siasatan mendedahkan antara 2018 dengan 2019, tiga lelaki itu diperkenalkan secara berasingan kepada seorang individu yang tidak dikenali di Singapura oleh Solomon, untuk menjadi sebahagian daripada perniagaan rundingan, kata polis.
Sebagai sebahagian daripada perniagaan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa menubuhkan milikan tunggal mereka dan membuka akaun bank untuk menerima dan mengeluarkan wang daripada pelanggan yang dikatakan.
Solomon didakwa bertindak sebagai perantara, menyampaikan arahan daripada individu yang tidak dikenali itu kepada tiga lelaki tersebut, yang kemudian akan menyimpan sebahagian wang yang mereka terima, dan memberi bakinya kepada Solomon.
Siasatan juga menunjukkan, Solomon dan Stevenson didakwa bersubahat untuk menipu bank dengan menyerahkan invois, baucar pembayaran dan sebut harga palsu, apabila ditanya oleh bank mengenai pengeluaran $279,740 daripada akaun tersebut.
Solomon menghadapi satu pertuduhan bersubahat untuk melakukan pengubahan wang haram, satu pertuduhan bersubahat untuk menipu bank, dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.
Stevenson menghadapi satu pertuduhan bersubahat setiap satu untuk melakukan pengubahan wang haram dan menipu bank.
Kamarraj didakwa dengan dua pertuduhan pengubahan wang haram, dan Lourdasamy didakwa dengan satu pertuduhan pengubahan wang haram.
Keempat-empat lelaki itu tidak menunjukkan mereka akan membuat rayuan apabila mereka didakwa.
Kes mereka ditangguhkan ke 31 Julai.
Mereka yang disabitkan dengan pengubahan wang haram boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga $150,000, atau kedua-duanya sekali.
Bagi menipu, pesalah boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg