Empat lelaki yang ditahan pada 8 Ogos di Bukit Timah selepas polis menjalankan operasi pencarian dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pecah masuk rumah yang melibatkan warga China.
Kesemua empat lelaki warga China itu didakwa pada 10 Ogos.
Zhuo Yinggui, 36 tahun; Yang Chao, 41 tahun; Zhou Qifa, 36 tahun; dan He Jiao, 38 tahun, masing-masing didakwa atas satu pertuduhan memiliki alat pecah masuk rumah.
Menurut dokumen mahkamah, mereka dikatakan telah ditemui di Koridor Kereta Api berhampiran kawasan perumahan Greenleaf dengan dua topeng muka hitam, tiga pemutar skru yang hujungnya bengkok, tiga pasang sarung tangan, dua sepana dan sebuah lampu suluh.
Jika disabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda.
Operasi polis berhampiran Koridor Kereta Api dan Bukit Timah Road dijalankan pada 8 Ogos apabila keempat-empat lelaki itu dilihat berkelakuan mencurigakan di sebuah taman.
Selepas didekati polis, mereka melarikan diri ke kawasan berhutan.
Polis memaklumkan pada 10 Ogos bahawa mereka sedang menjalankan operasi membanteras pecah rumah kerana penjenayah biasanya menggunakan kawasan berhutan di sepanjang Koridor Kereta Api untuk menyembunyikan pergerakan mereka ketika cubaan memecah masuk rumah.
Dalam masa dua jam, dua daripada empat lelaki itu berjaya ditahan di kawasan berhutan tersebut.
Lelaki ketiga pula ditangkap di sebuah pusat beli-belah berhampiran Clementi pada 8 Ogos, manakala lelaki keempat ditahan pada pagi berikutnya di sebuah hotel di Geylang.
Mereka didapati memiliki alat-alat pecah rumah seperti pemutar skru, sepana, pakaian, dan wang tunai berjumlah lebih $400, lapor The Straits Times (ST).
Keempat-empat lelaki, yang berasal dari wilayah Guizhou, China, memasuki Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dengan pas lawatan sosial pada 8 Ogos.
Tiga daripada mereka pernah memasuki Singapura sebelum ini.
Polis memaklumkan lelaki-lelaki itu mungkin mempunyai kaitan dengan beberapa kes pecah rumah yang dilaporkan di Singapura antara April dengan Julai.
Dalam tempoh itu, terdapat tiga kes pecah rumah yang dilaporkan terjadi berhampiran Koridor Kereta Api, serta satu kes cubaan pecah rumah.
Dalam dua kes pecah rumah, jam tangan mewah dan barang kemas bernilai sekitar $60,000 telah dicuri.
Siasatan sedang dijalankan untuk memastikan sama ada empat lelaki tersebut mempunyai kaitan dengan kes-kes pecah rumah sebelum ini yang melibatkan sindiket jenayah antarabangsa.
Keempat-empat lelaki tersebut telah direman untuk siasatan lanjut.
Mereka belum ditawarkan ikat jamin dan kes mereka dijangka akan didengar semula pada 15 Ogos.
Polis telah meningkatkan langkah pencegahan bagi mengelak kes pecah rumah dan kecurian di kawasan perumahan privet sejak Jun 2024, termasuk memasang lebih banyak kamera polis dan menjalankan rondaan secara kerap.
Mereka turut menggesa penduduk untuk mengambil langkah pencegahan jenayah seperti memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera pencuri.
Penolong Pesuruhjaya Polis Serene Chiu, Komander Divisyen Polis Clementi, berkata: “Melalui penyelarasan dan penilaian situasi yang berkesan oleh polis, keempat-empat lelaki itu berjaya ditangkap dalam masa kurang daripada 24 jam sejak mereka memasuki Singapura, dan sebelum mereka sempat melakukan jenayah pecah rumah.”
Pada Ogos 2024, 10 kes pecah rumah telah dilaporkan di pelbagai kawasan berhalaman, termasuk di sekitar Greenleaf, yang didalangi sindiket pecah rumah.
Penjenayah tersebut mencuri wang tunai dan barangan berharga bernilai sekitar $3.85 juta.
Pada Disember 2024, dua warga China didakwa telah memecah rumah sebuah kediaman berhalaman di Greenleaf View.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg