Empat lelaki ditahan menyusuli operasi mencari yang dijalankan pihak polis di kawasan berhutan berhampiran Koridor Kereta Api, selepas pegawai polis rondaan ternampak mereka berlari ke dalam kawasan berhutan itu pada petang 8 Ogos.
“Memandangkan kelakuan mereka dianggap mencurigakan, pegawai dari Divisyen Polis Clementi, Pusat Markas Operasi Polis, Jabatan Perisik Polis, Kontinjen Gurkha, Pusat Markas Operasi Khas dan Markas Pesawat Tanpa Pemandu Home Team telah dikerahkan untuk menjalankan operasi pencarian,” menurut kenyataan polis pada 9 Ogos.
Lelaki-lelaki tersebut berumur antara 36 dengan 41 tahun, dan siasatan polis masih dijalankan.
Pegawai, termasuk anggota Gurkha, unit anjing pengesan polis dan anggota polis berpakaian biasa, dilihat menjalankan operasi mencari di kawasan hutan berhampiran Greenleaf Place di Bukit Timah pada malam 8 Ogos.
Greenleaf Place merupakan jalan mati yang sunyi, dipenuhi rumah-rumah berhalaman di sebuah kawasan kediaman privet, dan berdekatan dengan Koridor Kereta Api.
Seorang penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan, Sixth Avenue, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa pada malam 8 Ogos “terdapat kereta polis diletakkan berhampiran simpang masuk ke jalan saya (Sixth Avenue), dengan sekitar enam kenderaan polis lain diletakkan di bahagian jalan yang lebih jauh”.
Beliau menambah bahawa polis telah berada di kawasan itu sejak sekitar 7 malam pada 8 Ogos dan masih dilihat di sana pada 8 pagi, 9 Ogos.
Beliau juga perasan beberapa trak polis, yang tidak kelihatan pada malam 8 Ogos, tiba di kawasan itu kemudian.
Apabila dihubungi semula oleh ST sekitar 11.30 pagi pada 9 Ogos, beliau berkata kenderaan polis sudah beredar dari kawasan tersebut.
Pada malam 8 Ogos, katanya, suaminya ternampak pegawai polis berdiri di jalan, sesuatu yang jarang dilihat di kejiranan tersebut.
Beliau juga berkata kereta-kereta polis telah menyalakan lampu berkelip sepanjang malam, namun tiada bunyi siren kedengaran.
Pegawai-pegawai tersebut juga tidak dilihat berbual dengan mana-mana penduduk di kawasan sekitar, tambah beliau.
Meskipun beliau biasanya menutup pintu pagar dan tingkap serta tidak bimbang tentang keselamatan, beliau menganggap kehadiran polis yang ramai itu sesuatu yang luar daripada kebiasaan.
Apabila ST melawat lokasi sekitar 10.50 malam pada 8 Ogos, tiga kereta polis dan sebuah van dilihat berada di kawasan tersebut.
Sebuah dron kelihatan sedang diterbangkan di ruang udara hutan berdekatan.
Pegawai polis turut ditempatkan di setiap persimpangan jalan kecil yang menghala ke kawasan itu.
Menjelang hampir tengah malam, tiga daripada empat kenderaan, termasuk van, meninggalkan lokasi apabila operasi polis itu kelihatan hampir selesai.
Pada sekitar 12.30 pagi, 9 Ogos, hanya sebuah kereta polis masih diletakkan di situ.
Sebuah kereta polis juga dilihat diletakkan di perhentian bas di Holland Road, jalan utama bersebelahan kawasan berhutan itu.
Seorang pengawal keselamatan wanita yang bekerja di sebuah kondominium di kawasan tersebut memberitahu ST bahawa beliau melihat kehadiran polis dan anggota berpakaian seragam tentera di kawasan itu.
Pengawal tersebut, yang enggan dikenali, menambah bahawa kenderaan polis dan tentera diletakkan sepanjang jalan itu sepanjang malam, dan operasi mereka kelihatan selesai sekitar 8.30 pagi pada 9 Ogos.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg