Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 warga asing dituduh pecah masuk rumah Bukit Timah; larikan barangan bernilai $684k, wang tunai

May 12, 2025 | 4:20 PM
Sebuah kereta, gergaji bulat dan pelbagai jenis barang kemas, serta wang tunai dalam pelbagai mata wang berjumlah lebih $18,000 telah ditemui daripada tiga lelaki itu pada 11 Mei.
Sebuah kereta, gergaji bulat dan pelbagai jenis barang kemas, serta wang tunai dalam pelbagai mata wang berjumlah lebih $18,000 telah ditemui daripada tiga lelaki itu pada 11 Mei. - Foto ST

Tiga lelaki warga asing yang didakwa terlibat dalam tiga kes pecah rumah dan mencuri di Bukit Timah dihadapkan ke mahkamah pada 12 Mei.

Dari sebuah rumah sahaja, mereka didakwa mencuri barang kemas, jam tangan mewah dan wang tunai bernilai kira-kira $684,800 kesemuanya, lapor The Straits Times (ST).

Warga negara Sepanyol-Colombia, Hernando Giraldo Franco, 60 tahun; warga negara Mexico, Hector Danial Garcia Iglesias, 51 tahun; dan warga negara Mexico-Colombia, Mateo Andres Garces Murillo, 48 tahun, masing-masing menghadapi satu pertuduhan pecah rumah. Hernando dan Mateo mempunyai dua kewarganegaraan.

Menurut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa menceroboh rumah berhalaman di Dunearn Close pada 9 Mei sekitar 9.55 malam dengan membuka tingkap gelongsor secara paksa.

Mereka melarikan barang kemas bernilai sekitar $421,300, dan tujuh jam tangan mewah – seperti jam tangan vintaj Mont Blanc dan Bruguet bernilai kira-kira $58,000 dan jam tangan Cartier bernilai sekitar $80,000.

Turut dirampas daripada mereka termasuk mata wang tempatan dan asing dari rumah itu, berjumlah kira-kira $11,500.

Pada 12 Mei, Hakim Daerah Paul Quan membenarkan permohonan pendakwa polis supaya lelaki itu direman selama seminggu, dengan kebenaran membawa mereka keluar untuk siasatan.

Pendakwa raya menyatakan bahawa kehadiran mereka diperlukan untuk menjalankan serbuan, mendapatkan semula barang bukti dan menyiasat kemungkinan pertuduhan tambahan terhadap mereka.

Bercakap di mahkamah menerusi jurubahasa Sepanyol, Hector dan Mateo meminta diberi pengampunan dan mahu memulangkan semua barang yang dicuri kepada mangsa.

Hector berkata, dia telah memaklumkan kepada pegawai penyiasat tempat baki barang curi disimpan dan dia menyesal atas perbuatannya itu.

“Saya melakukan kesalahan ini kerana masalah keluarga, masalah ekonomi di negara saya,” kata Hector.

Dia juga bertanya soal hukuman penjara maksimum 10 tahun bagi kesalahan pecah rumah dengan menyatakan ia “terlalu lama” kerana dia mempunyai “keluarga, anak dan cucu”.

Hakim Quan menyatakan ini bukan perbicaraan untuk menentukan salah atau tidak, sambil menambah bahawa mereka boleh merayu di peringkat kemudian.

Hakim juga menyatakan kehadiran pegawai dari Kedutaan Mexico di mahkamah untuk membantu Hector dan Mateo.

Polis berkata ketiga-tiga mereka telah diberkas 27 jam selepas kes pertama dilaporkan.

Kes di Cluny Park itu dilaporkan kepada polis sekitar 11 malam pada 9 Mei, manakala kes pecah masuk kedua, di Dunearn Close, dilaporkan sekitar 8 pagi pada 10 Mei.

Kejadian ketiga, di Eng Neo Avenue, dilaporkan sekitar 10 malam pada 10 Mei.

Selepas mengenal pasti identiti mereka melalui siasatan terperinci dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta kamera polis, pegawai memberkas Hernando dan Hector di Jalan Kubor, dan Mateo di Tyrwhitt Road, pada 11 Mei.

Polis berkata ketiga-tiga mereka telah memasuki Singapura dengan menggunakan pas lawatan sosial dua minggu lalu.

Sebuah kereta, gergaji bulat dan pelbagai jenis barang kemas, serta wang tunai dalam pelbagai mata wang berjumlah lebih daripada $18,000 telah ditemui daripada mereka.

Jika sabit kesalahan, mereka masing-masing berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg