Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tumpahan minyak di Pangkalan PCG Brani awalnya disangka air bocor

Feb 27, 2025 | 5:09 PM
Kejadian di Pangkalan Polis Pengawal Pantai (PCG) Daerah Brani itu mengakibatkan sekitar 23 tan minyak diesel bocor ke dalam perairan selatan Singapura pada 5 Februari.
Kejadian di Pangkalan Polis Pengawal Pantai (PCG) Daerah Brani itu mengakibatkan sekitar 23 tan minyak diesel bocor ke dalam perairan selatan Singapura pada 5 Februari. - Foto ST

Pada awal Februari, seorang pegawai polis tambahan telah terjumpa tumpahan minyak di Pangkalan Polis Pengawal Pantai (PCG) Daerah Brani, namun menyangka ia hanya tumpahan air.

Kejadian di pangkalan itu mengakibatkan sekitar 23 tan minyak diesel bocor ke dalam perairan selatan Singapura pada 5 Februari.

Pada 11.57 pagi, pegawai yang bertugas di pangkalan itu melaporkan insiden air bocor daripada paip rosak, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di Parlimen pada 27 Februari.

Beliau menambah bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan lanjut mengesahkan paip air itu sebagai punca kebocoran.

Dr Faishal memaklumkan kededua paip bahan api dan air berada di pontun, dan pegawai bertugas itu tidak dilatih untuk mengesan tumpahan minyak.

“Diesel marin kelihatan seperti cecair jernih dan lutsinar, justeru beliau sangka ia air,” kata Dr Faishal.

Dr Faishal memberi respons terhadap soalan Parlimen yang dikemukakan oleh Encik Dennis Tan (Hougang), yang bertanya sama ada siasatan formal akan dijalankan untuk memastikan punca tumpahan minyak pada 5 Februari di Pangkalan Daerah Brani, lapor The Straits Times (ST).

Menyusuli laporan itu, pegawai PCG telah menjalankan pemeriksaan lanjut pada 12.25 tengah hari, manakala kakitangan pengurusan kemudahan melakukannya pada 1.38 petang. 

Kededua pasukan tersebut tidak menemui kilauan berminyak di permukaan air atau menghidu bau tumpahan minyak, justeru kes tersebut dinilai sebagai kebocoran air.

Mereka kemudian mendapati kebocoran itu sudah terhenti pada sekitar 12.20 tengah hari, namun bersambung semula pada 2.47 petang. 

Kebocoran itu dapat dihentikan sekitar 3.40 petang apabila seorang kontraktor menemui kebocoran itu dan kemudian memisahkan injap utama, jelas Dr Faishal.

Hasil siasatan PCG mendapati bahawa kebocoran itu disebabkan oleh kerosakan paip bahan api yang menghubungkan rangkaian pengedaran bahan api di jeti ke alat pengedar bahan api di pontun, tambah Dr Faishal.

“Penilaian awal PCG (mendapati) paip bahan api tersebut mengalami retakan amat kecil akibat tekanan kitaran, semasa proses rutin menggulung dan membuka paip, yang akhirnya menyebabkan (paip) terkoyak dan bahan api tertumpah,” kata Dr Faishal, sambil menambah bahawa paip bahan api itu diperiksa dan diselenggarakan secara bulanan.

Kejadian pada 5 Februari itu membawa kepada pemeriksaan semua paip minyak di Pangkalan Daerah Brani pada 6 Februari, manakala pemeriksaan serupa di pangkalan PCG di Loyang, Lim Chu Kang dan Gul telah dijalankan pada 8 Februari.

“Walaupun protokol penyelenggaraan dan pelaporan PCG secara umumnya konsisten dengan amalan terbaik industri, PCG sedang mengkaji semula protokol tersebut untuk mengurangkan lagi kemungkinan (kejadian) kebocoran dengan magnitud sedemikian pada masa depan,” kata Dr Faishal.

Kejadian pada 5 Februari itu berlaku selepas beberapa kes tumpahan minyak lain sepanjang 2024.

Ini termasuk tumpahan minyak terbesar di Singapura dalam sedekad, apabila sebuah bot korek merempuh kapal tangki kargo yang sedang berlabuh di Terminal Pasir Panjang pada Jun 2024, mengakibatkan lebih 400 tan minyak bocor ke perairan berhampiran.

Pada Oktober 2024, sekitar 30 hingga 40 tan minyak dan air bocor daripada saluran paip darat milik kemudahan penapisan minyak Shell ke perairan antara Pulau Bukom dengan Bukom Kechil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg