Topik diikuti
Pergi ke BHku4 stesen MRT baharu dibina bagi CRL, stesen pertukaran di Jurong Pier, Gul Circle
Fasa ketiga dan terakhir Laluan Rentas Pulau (CRL) akan dilengkapi empat stesen bawah tanah serta menawarkan perjalanan lebih pantas ke kawasan barat apabila ia siap dibina pada lewat 2030-an.
Laluan terbaharu sepanjang kira-kira 10 kilometer itu apabila siap sepenuhnya akan bersambung dengan laluan lain di dua stesen pertukaran iaitu Jurong Pier dan Gul Circle.
Buat masa ini stesen tersebut diberi nombor kod CR20 hingga CR23.
Stesen CR20 bakal menawarkan khidmat pengangkutan bagi penduduk di Taman Jurong, manakala CR21 pula sebagai pintu masuk ke Pulau Jurong.
Ia juga akan disambungkan dengan Laluan Daerah Jurong (JRL) yang bakal siap kelak.
Stesen CR22 bakal dibina di Kawasan Perindustrian Jurong.
Stesen terakhir, CR23 atau stesen Gul Circle, akan bersambung dengan Laluan Timur-Barat (EWL).
Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, ketika bercakap di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC) pada 31 Julai, berkata stesen baharu tersebut bakal memberi khidmat pengangkutan bagi penduduk dan pekerja di serata kawasan perindustrian barat serta meningkatkan ketersambungan ke bahagian lain di Singapura.
Beliau menambah bahawa CRL akan memainkan peranan penting dalam rangkaian rel tempatan, dengan menawarkan 11 stesen pertukaran secara keseluruhannya.
Ini sekali gus akan mengukuhkan daya tahan rangkaian MRT kerana lebih ramai penumpang dapat mengambil laluan alternatif sekiranya berlaku gangguan perkhidmatan, kata Encik Siow.
Dalam satu kenyataan bersama pada 31 Julai, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) berkata peringkat terakhir CRL akan menyediakan pilihan perjalanan MRT “lebih terus dan mudah” bagi penduduk serta pekerja di daerah barat.
Kerja pembinaan fasa ketiga itu dijadualkan bermula pada 2027.
Kajian kesan bunyi dan getaran akan dijalankan sebelum kerja bermula, menurut kenyataan itu.
Apabila CRL beroperasi sepenuhnya pada masa akan datang, penumpang yang berulang-alik dari dan ke bahagian barat Singapura dapat menjimatkan masa perjalanan sehingga 50 minit, kata Encik Siow.
Bagi membolehkan kerja pembinaan dijalankan, pihak berkuasa berkata tujuh hartanah perindustrian akan diambil alih, manakala lapan lagi hartanah perindustrian akan diambil alih sebahagiannya.
Pengambilalihan sebahagian hartanah itu hanya melibatkan bahagian kecil hartanah berkenaan, seperti pagar sempadan.
Perniagaan terjejas masih boleh meneruskan operasi, dan bahagian yang diambil alih akan dipulihkan kepada keadaan asal selepas kerja pembinaan selesai.
