Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 syarat bolehkan warga emas dengan demensia tandatangani wasiat

Bukti perubatan, keterangan tingkah laku bantu tentukan sama ada mereka mampu buat keputusan
Jul 27, 2025 | 5:30 AM
demensia, wasiat, syarat
Warga emas yang menghidap demensia masih boleh membuat wasiat, jika ada bukti mereka sedar akan tindakan mereka, dan mahkamah memutuskan bahawa ‘lupa sekali-sekala’ tidak menghilangkan kelayakan untuk berbuat demikian. - Foto BH

Warga emas yang menghidap penyakit seperti demensia masih boleh membuat keputusan mengenai urusan peribadi mereka, termasuk membuat wasiat, jika terdapat bukti yang menunjukkan mereka sedar apa yang mereka lakukan.

Mahkamah memutuskan bahawa ‘lupa sekali-sekala’ tidak akan menyebabkan seseorang hilang kelayakan untuk membuat wasiat, kerana keadaan tersebut tidak semestinya menunjukkan bahawa individu itu kekurangan kapasiti mental untuk memahami tindakan mereka.

Empat syarat itu akan digunakan untuk menilai sama ada warga emas yang menghidap penyakit berupaya menandatangani wasiat.

Syarat-syaratnya seperti berikut:

– Adakah mereka memahami tindakan itu dan akibatnya?

– Adakah mereka tahu aset yang sedang diagihkan?

– Adakah mereka tahu siapa penerima manfaat dan memahami apa aset yang diberikan kepada mereka?

– Adakah mereka bebas daripada keadaan minda yang tidak normal, seperti delusi, yang boleh mempengaruhi perasaan atau penilaian berkaitan pembuatan wasiat?

Bukti perubatan dan keterangan tentang tingkah laku individu sebelum menandatangani sering membantu menentukan sama ada mereka mampu membuat keputusan.

Kes di bawah menekankan perkara ini.

Ibu tidak mampu buat wasiat baru

Seorang wanita tua membuat wasiat pada 2005 yang akan meninggalkan segala-galanya kepada anak sulungnya.

Apabila anak lelaki bongsunya mengetahui mengenai wasiat itu beberapa tahun kemudian, beliau memujuk ibunya untuk menandatangani wasiat baru serta dokumen lain yang memberinya hak ke atas harta ibunya.

Ini dilakukan pada 2017, setelah keadaan wanita yang menghidap demensia semakin buruk.

Anak lelaki itu beranggapan bahawa membuat wasiat baru untuk menamakan dirinya sebagai penerima tunggal akan membatalkan wasiat asal.

Apabila abang sulungnya mengetahui tentang tindakan itu, beliau segera mendapatkan ibunya untuk membuat wasiat lain bagi menggantikan yang kedua dan mengekalkan haknya ke atas harta ibunya, yang terdiri daripada salah satu tiga rumah keluarga.

Secara keseluruhan, kedua-dua anak lelaki ini membawa ibu mereka ke doktor sebanyak enam kali untuk memastikan ibunya sihat untuk menandatangani dokumen tersebut.

Tindakan mereka berlangsung selama enam bulan, walaupun salah seorang doktor menyatakan ibu mereka mungkin tidak sedar apa yang dilakukan. 

Wanita itu meninggal dunia pada 2019 dan kedua-dua anaknya membawa kes ke mahkamah dengan wasiat mereka untuk merebut harta ibunya. 

Namun, usaha mereka untuk mendapatkan wasiat tambahan gagal kerana wasiat kedua dan ketiga ditolak oleh mahkamah daerah pada 2024. 

Hakim mendapati dua wasiat yang mereka peroleh pada 2017 tidak sah, kerana ibu mereka mungkin tidak mempunyai kapasiti mental untuk menandatanganinya, seperti yang didiagnosis doktor pada masa itu.

Justeru, hakim menegakkan wasiat asal 2005 kerana ia adalah ‘wasiat terakhir yang sah’ dan tiada cabaran daripada keluarga. 

Ini memberi hak kepada anak sulung ke atas harta peninggalan ibunya. 

Dalam mengesahkan keputusan itu, Mahkamah Tinggi mengkritik tingkah laku kedua-dua anak itu, menyatakan bahawa ini adalah kes yang mana ‘anak sulung yang berhak dan anak kesayangan yang berhak cuba saling mengalahkan antara satu sama lain’ untuk merebut harta ibu mereka.

Apa perlu anda lakukan

Ramai orang mempunyai tanggapan salah bahawa wasiat hanya perlu dibuat apabila anda sudah tua dan tidak sihat, tetapi hakikatnya kita tidak tahu bila ajal akan menjemput.

Oleh itu, anda harus membuat wasiat awal untuk memastikan harta anda diserahkan kepada penerima tepat.

Penting bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk merancang perkara ini kerana anak boleh terperangkap dalam pertikaian penjagaan jika sesuatu yang tidak dijangka berlaku kepada ibu bapa mereka.

Pastinya, anda tidak seharusnya menunggu sehingga saat akhir untuk membuat wasiat hanya kerana masih sihat.

Jika anda menyelesaikan urusan anda lebih awal, seperti semasa anda masih sihat, peluang seseorang untuk mendakwa bahawa anda tidak waras ketika membuat wasiat adalah amat kecil.

Empat syarat itu akan digunakan untuk menilai sama ada warga emas yang menghidap penyakit berupaya menandatangani wasiat. Syarat-syaratnya seperti berikut:– Adakah mereka memahami tindakan itu dan akibatnya? – Adakah mereka tahu aset yang sedang diagihkan? – Adakah mereka tahu siapa penerima manfaat dan memahami apa aset yang diberikan kepada mereka? – Adakah mereka bebas daripada keadaan minda yang tidak normal, seperti delusi, yang boleh mempengaruhi perasaan atau penilaian berkaitan pembuatan wasiat? Bukti perubatan dan keterangan tentang tingkah laku individu sebelum menandatangani sering membantu menentukan sama ada mereka mampu membuat keputusan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg