Topik diikuti
Pergi ke BHku4 tarikan baru bagi pengunjung Sentosa jelang 2045
4 tarikan baru bagi pengunjung Sentosa jelang 2045
Pelan Induk Greater Sentosa bakal hubungkan Sentosa dengan Pulau Brani, yang turut jalani pembaharuan
4 tarikan baru bagi pengunjung Sentosa jelang 2045
Pengunjung Sentosa bakal menikmati empat tarikan baharu menjelang 2045.
Tarikan baharu tersebut merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Greater Sentosa yang akan menyaksikan pembaharuan Sentosa dan menghubungkan pulau itu dengan Pulau Brani, dalam dua dekad mendatang.
Tarikan pertama yang dijangka siap sekitar awal 2030-an ialah laluan pejalan kaki atas paras pokok, Imbiah Lookout Walk, yang akan menghubungkan laluan Sensoryscape dengan Imbiah Lookout.
Di samping itu, tiga lagi tarikan bakal diperkenalkan secara bertahap di Sentosa, termasuk ruang acara dan runcit, Imbiah Canopy; kawasan tarikan gaya hidup yang mempunyai ruang berasaskan deria untuk mengadakan pesta, Sensorium, serta pengalaman meneroka kepulauan kecil.
Kepulauan tersebut merujuk kepada enam pulau kecil sepanjang perairan Sentosa yang dibina atas tanah tambak, untuk memecahkan ombak laut agar pantai Sentosa tidak terhakis secara semula jadi.
Di bawah pelan tersebut, kepulauan itu akan dihubungkan dengan pelantar laluan atau ‘boardwalk’ sepanjang tiga kilometer, untuk dilintasi pengunjung bagi tujuan riadah.
Kepulauan tersebut kini tidak dapat dikunjungi dan hanya wujud sebagai prasarana perlindungan pantai.
Ini diumumkan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dalam satu taklimat media di Kelab Golf Sentosa di Padang Serapong, pada 1 Julai.
Pelan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan pembangunan Greater Sentosa kekal selari dengan perubahan keperluan pelancongan dan riadah dalam tempoh masa jangka panjang.
Fasa pertama kerja pembaharuan dianggarkan siap seawal 2030 di Resorts World Sentosa, dengan Pembangunan Gaya Hidup Pesisir Air yang bakal memberikan pengunjung suatu pengalaman yang baharu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC), Cik Thien Kwee Eng, kesalinghubungan antara Greater Sentosa dengan tanah besar Singapura juga akan dipertingkatkan dengan sebuah hab pengangkutan baharu, Island Heart, yang dirancang untuk dibina atas tanah tambak.
“Sistem pengangkutan akan direka supaya lebih mudah difahami dan memudahkan orang ramai bergerak ke pulau itu serta kawasan sekelilingnya.
“Rangkaian perhubungan baharu ke pulau itu juga akan diperkenalkan bagi mewujudkan perhubungan yang lebih lancar melalui udara, darat dan laut,” ujar Cik Thien dalam sidang media itu.
Hab tersebut akan menjadi tempat perhentian utama untuk kereta kabel, teksi air, dan Sistem Penggerak Penumpang yang akan menggantikan perkhidmatan monorel Sentosa Express.
Setelah pelan tersebut siap, Greater Sentosa dianggarkan akan menarik kira-kira seganda jumlah pengunjung semasa.
Menurut SDC, sekitar 20 peratus pengunjung Sentosa kini merangkumi penduduk Singapura.
Namun, dengan siapnya pelan tersebut, jumlah tersebut dianggarkan meningkat sebanyak 10 peratus.
Pulau Brani yang merupakan antara tapak terbesar untuk pembangunan di bawah pelan tersebut, juga akan mengalami pembaharuan.
Pihak SDC masih dalam fasa perbincangan bersama pihak-pihak berpotensi, untuk rancangan pembangunan pulau seluas 120 hektar itu.
SDC juga akan mengadakan pameran terbuka untuk membentangkan rancangannya dan melibatkan orang ramai dalam pelan pembangunan ini.
Pelancaran pameran tersebut telah dihadiri Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, sebagai tetamu terhormat di pusat beli-belah VivoCity pada 3 Julai.
“Pelancaran pameran hari ini hanyalah permulaan.
“Dalam beberapa bulan akan datang, pameran ini akan dibawa ke pelbagai lokasi di seluruh Singapura.
“Kami ingin mendengar idea, harapan dan visi anda kerana versi terbaik pulau ini adalah yang dibentuk bersama oleh kita semua,” ujar Cik Fu.
Setelah tamatnya pameran tersebut di VivoCity pada 5 Julai, ia akan diteruskan di Our Tampines Hub dari 22 hingga 27 Julai; pusat beli belah Jurong Point dari 19 hingga 23 Ogos; dan pusat beli-belah Waterway Point dari 23 hingga 27 September, sebelum kembali ke Sentosa.

