Majlis bandaran akan mempertingkatkan pemeriksaan di kawasan umum perumahan HDB, serta mengambil tindakan segera terhadap aduan yang dilaporkan melalui Aplikasi OneService.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada kempen baru ‘Kesedaran Lebih Baik, Rumah Lebih Selamat’ (Bash), yang diumumkan Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat semasa pelancaran kempen itu dalam acara Hari Ketahanan Komuniti di Plaza@128, Toa Payoh pada 19 Oktober.
Menjelaskan mengenai kempen anjuran bersama Majlis Persediaan Kebakaran dan Kecemasan Awam Kebangsaan (NFEC), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Persatuan Rakyat (PA) itu, Encik Chee berkata:
“Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran ramai tentang tiga punca utama kebakaran di kawasan kediaman mereka, serta menggalakkan pemilik rumah menggunakan alat semakan keselamatan kebakaran di laman web NFEC bagi mempertingkat tahap keselamatan kebakaran di rumah masing-masing.
“Selain itu, majlis bandaran akan menggiatkan pemeriksaan di kawasan awam perumahan HDB, serta mengambil tindakan segera terhadap aduan yang dilaporkan melalui Aplikasi OneService.”
Wakil majlis bandaran dan unit kesediaan kecemasan komuniti yang dibentuk di setiap kawasan perumahan telah dilatih dalam pengesanan bahaya, dan akan meningkatkan tinjauan blok di ruang umum untuk mengenal pasti kemudahan yang memerlukan penyelenggaraan.
Encik Chee juga menarik perhatian bahawa kebakaran yang melibatkan alat mobiliti peribadi (PMD) kini menjadi isu yang semakin membimbangkan di Singapura, dan penduduk dinasihatkan supaya tidak menggunakan PMD terlarang yang dibeli secara dalam talian, lapor The Straits Times.
“Sentiasa beli dari kedai yang sah. Jangan ubah suai peranti anda... Gunakan bateri asal yang diluluskan demi keselamatan diri anda sendiri,” nasihat anggota parlimen Bishan-Toa Payoh itu.
Sebanyak 187 kebakaran melibatkan peranti mobiliti aktif (AMD) dilaporkan sejak lima tahun lalu – kira-kira 46 peratus melibatkan PMD, 42 peratus melibatkan basikal bantuan kuasa dan 12 peratus melibatkan alat bantuan mobiliti peribadi.
Kempen tersebut dilancarkan susulan peningkatan insiden kebakaran di kawasan perumahan.
Antara bahaya kebakaran yang dikenalpasti termasuklah memasak tetapi ditinggalkan tanpa pengawasan, penggunaan elektrik secara berlebihan, penggunaan peranti mobiliti yang tidak mematuhi piawaian di dalam rumah, serta halangan di koridor dan ruang bawah blok.
Pemilik rumah digalakkan supaya menggunakan alat Semakan Keselamatan Kebakaran Rumah yang terdapat di laman web NFEC.
Acara tersebut, yang dianjurkan oleh NFEC Bishan-Toa Payoh dan Marymount, turut menampilkan simulasi kebakaran melibatkan PMD serta latihan pemindahan kecemasan.
Dua lagi AP Bishan-Toa Payoh, Encik Cai Yinzhou dan Cik Elysa Chen, turut hadir ke acara tersebut, di mana para penduduk berpeluang mencuba kemahiran seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR), pertolongan cemas, dan cara menggunakan alat pemadam api.
Encik Chee juga menggalakkan penduduk untuk mendapatkan pengalaman secara langsung dalam kemahiran menyelamat nyawa ini, serta menyertai Program Responders Plus anjuran SCDF bagi latihan yang lebih menyeluruh.
Selepas menjalani latihan yang berkaitan, orang awam boleh mendaftar sebagai responden pertama komuniti melalui aplikasi myResponder SCDF, atau menyertai Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) di bawah PA.
Encik Chee juga mengalu-alukan agar semua memainkan peranan mereka dalam menjaga keselamatan masyarakat.
“Setiap kemahiran yang anda pelajari hari ini, setiap pemeriksaan keselamatan yang anda lakukan, menyumbang kepada sebuah komuniti yang lebih berdaya tahan,” katanya.
“Saya berharap kita dapat bekerjasama untuk memastikan rumah dan komuniti kita kekal selamat dan berdaya tahan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg