Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bateri AMD, masalah elektrik mungkin punca kebakaran rumah

Aug 30, 2025 | 7:56 PM
Encik Goh Pei Ming, program responder plus
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming (dua dari kiri), turut sama belajar cara menggunakan alat pemadam api bersama penduduk semasa Program ‘Responder Plus’ (RPP) pada 30 Ogos. - Foto ST

Pek bateri alat mobiliti aktif (AMD) dan masalah elektrik telah dikenal pasti sebagai antara punca yang berkemungkinan menyebabkan kejadian kebakaran di rumah kebelakangan ini, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming.

Pemerintah bimbang tentang kejadian kebakaran itu dan mungkin akan mempertimbang tindakan lebih tegas terhadap pemilik dan penjual AMD yang tidak mematuhi peraturan, kata Encik Goh kepada media di Kelab Masyarakat Joo Chiat pada 30 Ogos, semasa menghadiri Program Responder Plus (RPP).

Seramai 26 peserta berpeluang meraih kemahiran asas menyelamatkan nyawa seperti memadam api, memberi bantuan kecemasan serta bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam program latihan kesiapsiagaan kecemasan anjuran Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) itu.

Setakat ini, sekurang-kurangnya lapan kematian akibat kebakaran dilaporkan pada 2025, berbanding lima pada 2024 dan tiga pada 2023, lapor The Straits Times (ST).

Encik Goh berkata pemerintah sedang meneliti pelbagai langkah meningkatkan perlindungan keselamatan kebakaran.

Beberapa langkah telah pun dilaksanakan termasuk mewajibkan semua flat baru dan flat sedia ada yang sedang menjalani kerja pengubahsuaian memasang alat penggera kebakaran di rumah sejak 2018.

Menurut Encik Goh, Majlis Bandaran turut bekerjasama dengan SCDF untuk membersihkan koridor dan ruang yang dikongsi bersama daripada barangan yang berpotensi menyebabkan kebakaran.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) juga telah mewajibkan semua sistem kuasa, basikal dan alat mobiliti peribadi (PMD) didaftarkan serta menjalani pemeriksaan keselamatan, tambah Encik Goh.

Di Singapura, PMD perlu didaftarkan dengan LTA, disahkan mematuhi piawaian UL2272, serta dilengkapi dengan plat LTA selain diperiksa setiap dua tahun. 

Bateri pula perlu kerap diperiksa untuk mengesan sebarang kerosakan dan dicas hanya menggunakan pengecas yang sesuai serta mempunyai tanda keselamatan.

Menurut SCDF, sebanyak 20 kebakaran melibatkan PMD dilaporkan pada separuh pertama 2025, dua kali lebih banyak berbanding separuh pertama 2024.

“SCDF telah memasang alat pemadam api di pelbagai estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang diletakkan berhampiran kebanyakan alat Defibrilator Luaran Automatik (AED), untuk membolehkan orang ramai menggunakan alat kecemasan ini dan bertindak lebih pantas semasa kebakaran,” kata Encik Goh, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights.

Adalah penting juga bagi penduduk mengetahui lokasi alat pemadam api terdekat, atau membeli alat pemadam api bagi rumah masing-masing, jika mereka bersedia melakukannya, tambah Encik Goh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg