Lebih 8,000 penerima dari pelbagai daerah serata negara telah menerima daging korban, merangkumi keluarga penerima zakat, yang kurang berpendapatan dan kumpulan pekerja migran.
Sebagai usaha mendapatkan lebih ramai penerima untuk SalamSG Gives, SalamSG Korban (SSGK) dan masjid tempatan telah bekerja rapat dengan pelbagai pertubuhan dan agensi.
Ini termasuk bantuan daripada Persatuan Rakyat (PA), Projek Dian@M3, Rangkaian Sokongan Masyarakat atau Community Link (ComLink), Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Muslim (MMO) dan kumpulan pekerja migran.
Sekitar 42 tan, atau 42,000 kilogram, daging korban diagihkan kepada golongan memerlukan menerusi usaha SalamSG Gives dalam tempoh lapan hari.
Antara masjid yang terlibat adalah Masjid Al-Muttaqin, Masjid An-Nur, Masjid Hajjah Rahimabi yang meliputi daerah Utara; Masjid Al-Islah dan Al-Mawaddah di daerah Timur; dan Masjid Mujahidin bagi daerah Selatan.
Masjid Ahmad, Masjid Hasanah dan Masjid Maarof juga terlibat bagi daerah Barat Singapura.
Sejumlah 4,000 kakitangan dan sukarelawan terlibat dalam pengagihan itu.
Pengerusi SSGK, Encik Khalid Lani, menghargai sokongan masyarakat yang sedia membantu bagi menjayakan pengagihan korban kali ini.
“Kami berterima kasih atas sokongan dan dedikasi kakitangan dan sukarelawan kami semasa perancangan, pembungkusan dan penghantaran daging korban.
“Kami juga berterima kasih atas sumbangan murah hati masyarakat yang terus menyokong SalamSG Korban, dan mengharapkan sokongan berterusan mereka tahun depan (2025),” tambahnya.
Pada awal Julai, SSGK turut bekerjasama dengan 52 masjid untuk melaksanakan ibadah korban di Australia.
Buat julung-julung kalinya, tiga masjid dari kelompok masjid selatan iaitu Masjid Al-Amin, Masjid Al-Falah dan Masjid Burhani telah bekerjasama dengan mengadakan acara pengagihan daging korban dan bungkusan nasi beriani kepada 300 keluarga dan orang perseorangan yang memerlukan.
Sebanyak 600 kilogram daging telah diagihkan dalam acara yang turut dihadiri Anggota Parlimen (AP) Radin Mas, Encik Melvin Yong.
Sementara itu, Anggota Lembaga Pentadbir Masjid Al-Falah dan penyelia hubungan awam bagi Masjid Burhani, Dr Mustafa Izzuddin, mengalu-alukan kerjasama seperti itu yang mampu membantu masyarakat Islam di Singapura.
“Kerjasama ini membantu mewujudkan kesepaduan antara masjid dan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk memenuhi matlamat acara ini,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg