Sekitar 42 tan, atau 42,000 kilogram daging korban yang dipesan melalui masjid pada 2024, diagihkan kepada golongan memerlukan menerusi usaha SalamSG Gives.
Lebih 6,000 keluarga dan individu penerima zakat, keluarga Projek Dian@M³, anggota keluarga yang dipenjara, pekerja migran serta sukarelawan, telah meraih manfaat daripada agihan itu.
Dalam satu kenyataan pada 30 Jun, SalamSG Korban (SSGK), yang menyelaraskan upacara korban di luar negara untuk masjid setempat, berkata daging itu adalah daripada lebih 4,200 ekor haiwan korban yang ditempah dan disumbang oleh sohibul korban melalui 52 masjid di bawah usaha SSGK.
Upacara korban itu diselesaikan dalam masa dua hari pada 17 dan 18 Jun di Australia, dan daging itu kemudian dibekukan dan diterbangkan ke Singapura untuk diagihkan.
Bagi mendekati lebih ramai benefisiari, SSGK dan masjid telah bekerja rapat dengan pelbagai pertubuhan dan agensi termasuk M³@Bandar, Projek Dian@M³, Rangkaian Sokongan Masyarakat atau Community Link (ComLink), Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO), dan kumpulan pekerja migran.
“Usaha kerjasama ini bukan sahaja meluaskan jangkauan sokongan kami malah memastikan pendekatan yang lebih komprehensif dalam memberi perkhidmatan kepada penerima kami,” kata SSGK.
Pengagihan daging korban telah dijalankan menerusi beberapa usaha agihan berasingan.
Pada 29 Jun, seramai 200 penerima bantuan di bawah 11 MMO menerima daging korban.
Pengagihan itu diselaraskan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Pejabat Fitrah, dan Rangkaian Pemulihan MMO, dengan sokongan sukarelawan Masjid An-Nur.
Pada hari yang sama, Masjid Al-Amin mengetuai satu lagi acara SalamSG Gives dengan sokongan Masjid Burhani, Masjid Al-Falah, dan kumpulan sukarelawan seperti MantapSG dan ForesterSG.
Sekitar 300 penerima, termasuk penerima zakat dan skim bantuan Kelab Masyarakat Radin Mas, serta pekerja migran, menerima daging korban.
Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, turut menyertai Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen dan relawan untuk mengagihkan daging korban kepada 250 penerima skim bantuan Zakat Muis dan Projek DIAN@M³ di Tampines pada 30 Jun.
Agihan itu diselaraskan Masjid Darul Ghufran.
Ketika ditemui wartawan, Encik Masagos menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan yang meluangkan masa dan tenaga bagi membantu usaha pengagihan daging korban itu.
“Saya juga berterima kasih kepada semua sukarelawan dari Muis (Majlis Ugama Islam Singapura), dan dari masjid yang telah mengusahakan supaya ibadah korban dijalankan dengan baik dan daging korban dapat diagihkan kepada semua yang memerlukan termasuk juga sukarelawan dari M³ dan semua badan Islam yang terkait dalam mengusahakan ibadah ini,” kata beliau.
Menurut SSGK, daging korban itu juga bakal diagihkan kepada lebih 600 pekerja migran pada 6 Julai, sebagai tanda penghargaan masyarakat setempat atas kerja keras, dedikasi mereka bagi membantu membina negara ini serta sumbangan tenaga mereka terutama di masjid ketika Ramadan.
Pengerusi SSGK 2024, Encik Mohd Khalid Lani, turut merakamkan penghargaan kepada semua sohibul korban yang menyumbangkan daging korban pada 2024.
Beliau berkata: “Melalui SalamSG Korban, korban anda bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima zakat tempatan dan golongan yang kurang mendapat bantuan malah menyokong usaha mengumpul dana masjid kami.
“Kami gembira semua daging korban selamat diterbangkan mengikut jadual. Ini telah membolehkan penghantaran tepat pada masanya kepada sohibul korban dan penerima bantuan kami.”
Encik Khalid turut berharap bahawa kemurahan hati dan sokongan masyarakat akan berterusan, dan menekankan bahawa sumbangan masyarakat terhadap ibadah korban bukan sahaja menambah nilai kepada kehidupan beragama malah juga dapat menyokong masyarakat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg