Kesemua 4,323 ekor ternakan bagi ibadah korban – termasuk 2,707 kambing, 1,547 kambing biri-biri, dan 69 lembu (bersamaan dengan 484 bahagian lembu) – yang ditempah melalui 52 masjid setempat di bawah usaha SalamSG Korban (SSGK) berjaya disembelih di Australia pada 18 Jun.
Dalam satu kenyataan pada 18 Jun, SalamSG melaporkan bahawa haiwan-haiwan itu “telah disembelih mengikut ketetapan dan nasihat agama”.
Ini termasuk keperluan kawal selia yang ditetapkan agensi seperti yang diiktiraf Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Kenyataan itu menambah, ini adalah tahun pertama selepas pandemik umat Islam di Singapura ditawarkan pelbagai pilihan untuk melaksanakan ibadah korban.
Ini setelah pilihan tersebut tidak terhad hanya kepada pelbagai haiwan ternakan, seperti lembu, kambing dan kambing biri-biri, bahkan pelbagai pengendali perkhidmatan bagi melaksanakan korban – melangkaui SSGK.
Ini termasuk korban luar negara yang dilaksanakan pertubuhan Melayu/Islam (MMO) atau entiti swasta dan korban secara langsung yang dijalankan vendor swasta di sini.
SalamSG menambah, sebagai sebahagian daripada jaminan kepada mereka yang memilih melaksanakan ibadah tersebut (sohibul korban), beberapa wakil SSGK berada di Melbourne, Australia, semasa Hari Raya Haji untuk memerhatikan ibadah korban yang dijalankan di beberapa rumah penyembelihan di sana.
Hasil pemerhatian, mereka mendapati bahawa semua keperluan kawal selia seperti mempunyai lesen yang sah dan pensijilan halal yang diluluskan oleh agensi berkaitan di Singapura dan Australia “telah dipenuhi oleh rumah penyembelihan yang dikendalikan rakan kongsi bertauliah yang dilantik SalamSG”.
Pengerusi SSGK, Encik Mohd Khalid Lani, berpuas hati dengan pematuhan semua keperluan agama bagi ibadah korban dan melahirkan rasa syukur atas sokongan kukuh daripada masyarakat Muslim Singapura.
“Pemerhatian kami menunjukkan bahawa korban luar negara yang dianjurkan oleh masjid-masjid kami mendukung syiar agama. Sepertimana nasihat daripada Pejabat Mufti, korban di luar negara tidak mengurangkan teras dan kepentingan korban untuk sohibul korban.
“Oleh demikian, korban di luar negara yang dilakukan oleh masyarakat Muslim Singapura setanding dengan korban yang dibuat secara tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, kenyataan itu menjelaskan bahawa penghantaran daging korban tersebut dijangka tiba di sini seawal hujung minggu ini, iaitu 22 atau 23 Jun.
Sohibul korban yang memilih untuk menerima daging tersebut akan mendapat pengesahan penghantaran daripada rakan kongsi bertauliah yang dilantik pada minggu ini.
Bagi mereka yang mendermakan daging korban, ia akan dikongsi dalam kalangan penerima zakat, pekerja migran dan golongan memerlukan lain, tambah kenyataan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg