BEIJING: Singapura tidak boleh menjadi proksi atau jurucakap bagi negara lain kerana ia berisiko kehilangan kredibiliti dan nilai strategiknya, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.
Bercakap di Forum Xiangshan di Beijing pada 18 September, Encik Chan menambah bahawa pendekatan Singapura adalah untuk sentiasa menunjukkan kepentingan dan nilai sebagai rakan kongsi, lapor The Straits Times (ST).
Selain menjadi rakan ekonomi dan mengekalkan hubungan baik dengan negara lain, Singapura juga ingin menjadi rakan yang boleh dipercayai di peringkat sejagat, termasuk dengan bersikap konsisten dan berpegang kepada prinsip, kata Encik Chan, yang sedang mengadakan lawatan empat hari ke China.
“Justeru, kita tidak boleh menjadi proksi atau jurucakap bagi pihak lain. Apabila sesebuah negara menjadi proksi atau jurucakap, ia kehilangan kredibiliti dan seterusnya nilai strategiknya,” katanya.
Singapura mengekalkan kedaulatan dan prinsipnya, kata beliau dalam sesi pleno forum keselamatan tahunan yang dihadiri pegawai pertahanan, akademik dan wakil antarabangsa.
Encik Chan, yang juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, memulakan lawatan ke China pada 15 September.
Di Guangdong dan Beijing, beliau melawat kemudahan ketenteraan dan mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan China serta pegawai pertahanan.
Dalam forum Xiangshan, beliau memberi amaran bahawa keadaan dunia yang tidak stabil boleh menyebabkan masalah besar, yang mana ketidaktentuan ekonomi boleh menjejas keselamatan, dan sebaliknya.
Selama beberapa dekad, banyak negara telah mendapat manfaat daripada pembebasan ekonomi dan penyepaduan sejagat, termasuk di Asia seperti Singapura dan China.
Namun kini, terdapat ketidakpuasan yang meningkat akibat pengagihan manfaat yang tidak seimbang, dengan pelbagai kumpulan menolak penyepaduan sejagat, katanya.
“Fahaman perlindungan (proteksionisme) mula mengubah dasar-dasar.”
Selain itu, banyak negara menghadapi kekangan fiskal yang ketat, dan apabila lebih banyak sumber dialihkan kepada keselamatan, lebih sedikit boleh digunakan untuk memenuhi keperluan sosial dan ekonomi, tambah Encik Chan.
Golongan yang tercicir akan menerima kurang bantuan, lalu menimbulkan lebih banyak tekanan dalam negara terhadap globalisasi dan membangkitkan sentimen nasionalisme.
Encik Chan berkata:
“Sejarah menunjukkan bahawa keadaan seperti ini boleh mencetuskan konflik.
“Krisis ekonomi 1930-an membuka ruang kepada politik radikal dan menyumbang kepada ketidakstabilan yang akhirnya membawa kepada Perang Dunia Kedua.”
Encik Chan menyeru supaya aturan ekonomi dan keselamatan sejagat terus diperkukuh, berasaskan undang-undang dan kesamarataan, agar semua negara boleh bersaing dan menyumbang secara adil.
Mengulas mengenai hubungan Amerika Syarikat dan China yang semakin tegang, Encik Chan berkata kedua-dua negara masih boleh bersaing dan bekerjasama pada masa yang sama.
Terdapat ruang untuk negara besar mengurus perbezaan mereka dan bekerjasama dalam menangani cabaran sejagat seperti perubahan iklim dan kesihatan global, katanya.
Beliau menyebut bahawa Presiden China, Encik Xi Jinping, mencadangkan pada 3 September agar negara-negara mengelakkan sikap zero-sum mentality, yang mana satu pihak untung dengan pihak lain rugi, dan sebaliknya bekerjasama membina dunia yang lebih stabil.
Encik Chan menukil Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, yang semasa Dialog Shangri-La Mei lalu berkata bahawa Amerika tidak berniat menguasai, menyekat, mengepung, mencetus provokasi, menukar rejim atau menghina China.
“Kenyataan daripada kedua-dua kuasa besar ini memberi kami keyakinan,” kata Encik Chan.
“Dunia ini cukup luas untuk semua negara maju, berkembang dan belajar bersama secara setara.”
Negara kecil juga mempunyai peranan, tambah beliau.
Dalam keadaan keselamatan dan ekonomi sejagat yang semakin rapuh, negara kecil mungkin berasa lebih tertekan untuk memihak.
“Tapi memilih pihak dan menjadi proksi menyebabkan (negara kecil) jadi tidak relevan dan melemahkan kuasa. Oleh itu, negara kecil tidak harus memihak,” katanya.
“
“Kita tidak boleh menjadi proksi atau jurucakap bagi pihak lain. Apabila sesebuah negara menjadi proksi atau jurucakap, ia kehilangan kredibiliti dan seterusnya nilai strategiknya.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg