Dari 2020 hingga 2024, secara purata setiap tahun sekitar 450 warga asing didapati bekerja secara haram tanpa pas pekerjaan yang sah, kata Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, di Parlimen pada 26 September.
Secara purata, 13 daripada warga asing tersebut telah didakwa, empat dikenakan denda, manakala selebihnya diberi amaran, kerana kebanyakan kes melibatkan tempoh pekerjaan haram yang pendek.
“Mereka juga telah dihantar pulang dan diharamkan daripada bekerja di Singapura,” katanya sebagai jawapan kepada Anggota Parlimen (AP) Cik Elysa Chen (GRC Bishan-Toa Payoh).
Dalam soalan tambahan, Cik Chen bertanya sektor manakah mempunyai kes pekerjaan tanpa pas yang lebih tinggi.
Encik Dinesh berkata kes itu kebanyakannya berlaku dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan, “yang biasanya mencatat jumlah kes yang tinggi sedikit daripada sektor lain”.
Menjawab soalan lain daripada Cik Chen mengenai warga asing yang bekerja secara haram dalam sesi penggambaran perkahwinan, Encik Dinesh berkata terdapat purata dua kes setiap tahun antara 2021 dengan 2023, lapor The Business Times (BT).
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) telah bekerjasama dengan Persatuan Karyawan Visual, Audio dan Kandungan Kreatif (Vicpa) untuk memahami keadaan tersebut, dan juga bertindak berdasarkan maklumat yang diterima, tambah beliau.
Dalam soalan berasingan, AP Cik Yeo Wan Ling (GRC Punggol), bertanya mengenai amalan bekerja sambilan secara haram oleh pekerja domestik migran serta Skim Perkhidmatan Keluarga (HSS) yang membolehkan syarikat mengambil pekerja migran untuk kerja domestik sambilan.
Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang, menjawab bahawa antara 2020 dengan 2024, secara purata 12 pekerja domestik migran dan 15 majikan dikenakan denda setiap tahun atas kesalahan tersebut.
Belaiu berkata sejak HSS dimulakan secara rasmi pada 2021, bilangan syarikat yang terlibat meningkat daripada sekitar 80 kepada 240.
“Berdasarkan tinjauan, jumlah isi rumah yang menggunakan perkhidmatan syarikat HSS juga telah meningkat,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg