Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ICA kesan 99 percubaan tukar alamat tanpa kebenaran

Sebanyak 71 percubaan itu berjaya dan penjenayah telah ambil alih akaun Singpass 16 mangsa
Feb 4, 2025 | 5:39 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling. - Foto MDDI

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah mengesan 99 percubaan tanpa kebenaran untuk menukar alamat kediaman berdaftar melalui khidmat dalam taliannya, dengan 71 percubaan itu berjaya dilakukan.

Daripada 71 kes tersebut, penjenayah telah mengambil alih akaun Singpass 16 mangsa dengan menetapkan semula kata laluan akaun mereka.

Berkata demikian di Parlimen pada 4 Februari, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, menambah bahawa akaun Singpass bagi 99 kes yang dikesan telah digantung, dan pihak berkuasa sedang membantu mereka menetapkan semula kata laluan bagi menjadikan akaun mereka lebih selamat.

ICA, katanya, akan terus menggantung sebahagian fungsi pertukaran alamat elektronik (eCOA) di laman webnya sehingga ia lebih selamat.

“ICA telah memastikan perubahan tanpa kebenaran berlaku hanya dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dari Ogos 2024. ICA mendapati suspek cuba menukar alamat berdaftar bagi 99 individu. Mereka berjaya menukar alamat 71 individu tersebut,” kata Cik Sun.

Anggota Parlimen (AP) Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar) bertanya mengapa ICA tidak menggantung eCOA lebih awal, apabila ia dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Menurut Cik Sun, ICA hanya menggantung perkhidmatan pada 11 Januari kerana agensi itu memerlukan masa menyiasat pelbagai laporan.

“Jika difikirkan semula, ICA mungkin mengambil langkah menghentikan perkhidmatan lebih awal pada Disember 2024 apabila modus operandi diwujudkan. Tetapi ini adalah keputusan yang perlu dibuat pegawai awam setiap hari,” jelasnya.

Pemegang Kad Pengenalan Pendaftaran Nasional (NRIC) mesti melaporkan pertukaran alamat dalam masa 28 hari selepas berpindah ke kediaman baru.

Mereka yang menggunakan alamat palsu boleh didenda sehingga $3,000, penjara dua tahun, atau kededuanya sekali.

“ICA juga bekerjasama dengan agensi pemerintah lain untuk menilai secara menyeluruh kesan penipuan pertukaran alamat bagi 71 individu, khususnya mereka dengan alamat yang didaftarkan dalam sistem ICA, yang telah digunakan agensi lain untuk mentadbir skim mereka sejak penipuan bermula.

“Agensi akan memberikan bantuan dan pemulihan sewajarnya jika terdapat sebarang kesan buruk terhadap pengiraan atau pembayaran faedah pemerintah, termasuk baucar CDC, kepada individu-individu tersebut,” tambah Cik Sun.

Menurutnya, tindakan jenayah individu yang menyerahkan akaun Singpass mereka untuk disalahgunakan – sesuatu yang tidak dijangkakan – adalah sebab utama mengapa penipu dapat memperalat modul ‘Others’ dalam sistem ICA untuk menukar alamat dalam talian.

Modul ‘Others’ telah diperkenalkan demi manfaat individu yang tidak celik digital, seperti warga emas atau orang kurang upaya.

Ini membolehkan mereka menukar alamat mereka secara dalam talian, tanpa perlu membuat lawatan fizikal ke ICA, dengan mendapatkan bantuan proksi.

Proksi akan log masuk ke sistem menggunakan akaun Singpassnya sendiri, dan memohon pertukaran alamat untuk individu itu, dengan memasukkan nombor NRIC individu dan tarikh pengeluaran NRIC.

Surat PIN (nombor pengenalan peribadi) fizikal kemudian akan dihantar kepada individu di alamat barunya.

Proksi akan log masuk ke sistem eCOA buat kali kedua, dan dengan PIN itu, melengkapkan pertukaran alamat buat individu tersebut.

Seramai 13 suspek telah ditangkap polis, dan siasatan sedang dijalankan, jelas Cik Sun, yang menambah bahawa empat lelaki telah didakwa di mahkamah atas kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer 1993.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga $10,000, atau kededuanya, bagi pesalah kali pertama.

“Agensi akan memberikan bantuan dan pemulihan sewajarnya jika terdapat sebarang kesan buruk terhadap pengiraan atau pembayaran faedah pemerintah, termasuk baucar CDC, kepada individu-individu tersebut.”
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg